“Lima tahun dulu, aku mesej kau jawab dekat mamak. Sekarang pun dekat mamak lagi? Ishh, tak balik-balik ke? Nasib baik tak buat isteri, dulu fikir-fikir hendak mengurat dah kau ni,” balas kawan lama akak cun itu, seorang pe­minat tegar ‘rock kapak’ yang sungguh ‘berkepala batu’.

“*##**$$* lah kau”, (tak lulus untuk siaran), jawab akak cun.

Sudahlah jarang-jarang menghubungi akak cun, bila sekali-sekala mesej membebel pula, kutuk-kutuk me­ngapa akak cun tak masak saja di rumah. Katanya, perempuan kena tahu masak. Kalau tak tahu masak, susahlah hendak berumahtangga. Tak akan suami hari-hari hendak makan di kedai sahaja. Lebih baik kahwin dengan anak tauke kedai makan itu. Perut kenyang, harta pun banyak!

Tambahnya, orang perempuan zaman sekarang ramai yang tak tahu masak. Asyik kongsi resipi di dalam Facebook saja, tapi bukan pernah masak pun. ‘Perangkap’ saja itu, supaya kawan-kawan lelaki di Facebook ingat, dia itu rajin dan pandai memasak. Bolehlah dijadikan calon isteri.

Ada yang hanya tahu masak air dan maggi saja, kata­nya. Itu pun tahu masak maggi sebab masa belajar di universiti dulu hari-hari dok makan mi segera tu. Kalau tidak maggi pun tak reti masak.

“Hantaran perkahwinan pula mahal melampau, macam hendak bayar deposit beli rumah tetapi tidak tahu masak, macam mana tu?” tanya kawan akak cun itu.

Akak cun malas hendak layan dan cakap lebih-lebih. Bagi akak cun, kalau setakat seorang atau dua orang duduk serumah, lebih baik­lah makan di luar sahaja. Lebih jimat. Tak akanlah makan seorang, hendak masak tom yam, ikan siakap masak tiga rasa, udang goreng tepung, sotong masak kicap dan kailan ikan masin bagai.

Bila balik dari kerja, kalau tak ramai di rumah, lebih baik makan di luar sahaja, bukan sahaja jimat belanja, jimat masa dan tenaga juga. Selalu balik kerja mesti sudah penat dan kepala pun berat. Kadang-kadang malas fikir hendak makan apa. Tetapi perut lapar. Asalkan dapat alas perut sebelum tidur, kira okaylah tu.

Dan selalunya orang perempuan bila sudah berumahtangga, yang tidak tahu memasak pandai-pandailah mereka belajar memasak. Mereka akan belajar melalui resipi yang berlambak di Youtube dan Facebook. Tak payah beli buku resipi lagi sekarang. Boleh ‘Google’ sahaja.

Mula-mula masakan memang tak boleh diterima oleh tekak suami. Lama-lama okaylah. Orang putih cakap, practice makes perfect! Janganlah disebabkan isteri tidak tahu memasak mahu dijadikan satu isu yang besar dan cari pula orang kedua. Masa bercinta dulu, okay saja, tahu teman wanita tidak pandai masak tetapi tidak kisah. Boleh belajar, katanya, tetapi bila dah kahwin, angin satu badan pula bila isteri itu terkial-kial baru hendak belajar masak.

Lelaki biasalah, masa bercinta apa pun tak kisah, bila sudah kahwin macam-macam pantang larang semua keluar, dia tak boleh minum air teh suamlah, kena panas, tak boleh makan sayur yang ada tangkailah atau ikan kena goreng garing-garinglah, kalau tidak badan dia pula yang naik merah gatal-gatal. Dulu masa bercinta, disuruh makan ikan yang masih hidup dalam akuarium pun dia sanggup rasanya!

Memasak pun bukan kerja mutlak orang perempuan sahaja. Lelaki pun kena juga pandai memasak. Jangan hanya tahu komplen sahaja. Bila banyak komplen itu yang isteri suruh makan saja di luar. Lepas itu, dikata pula isteri kuat menjawab.

Kalau isteri sakit, sibuk atau outstation, suami boleh­lah memasak. Memasak untuk diri sendiri dan anak-anak. Janganlah makan di kedai pula. Bila kena time dia reti pula makan di kedai, bila isteri penat, paksa isteri memasak juga atau perli-perli, double standard sungguh!

Bukan setakat tak nak memasak, ada suami yang tak suka menolong isteri di dapur. Bila isteri minta tolong, dia cakap isteri ‘beri arahan’ pula pada dia. Suami mana boleh terima ‘arahan’ daripada isteri! Nanti kata kena queen control pula.

Bab-bab mengemas rumah juga, ada suami yang meletakkan semua kerja tersebut kepada isteri. Kalau rumah itu bersepah dan tunggang-langgang, isterilah yang dipersalahkan, tidak pandai mengurus rumah tangga. Macam mana hendak mengemas rumah, bila anak-anak yang kecil pun turut mengemas sama! Suami pula tidak mahu menolong menjaga anak-anak asyik layan telefon. Bila diminta tolong jaga anak, dikata isteri bagi arahan lagi.

Berbalik pasal isu masak tadi, tak payahlah hendak sindir-sindir atau perli-perli orang perempuan yang tak tahu atau malas memasak kalau orang yang memerli dan menyindir itu tak pernah belanja atau keluar duit pun untuk orang perempuan yang tak tahu masak itu makan di mamak!