Namun kini terdapat satu gaya kehidupan baru berdasarkan konsep minimalis atau ringkas yang tercetus di Jepun. Kehidupan gaya minimalis ini menganjurkan kita memiliki barang sesedikit atau seminimum mungkin kerana hal ini dikatakan dapat membantu kita untuk hidup gembira, tenang dan mudah.

Buku Goodbye, Things: on Minimalist Living oleh Fumio Sasaki merupakan satu rujukan untuk kita memahami kehidupan minimalis serta kaedah untuk melepaskan barang-barang yang kita miliki dalam usaha mencuba kehidupan minimalis.

Bab pertama menceritakan maksud dan tujuan minimalis, bab kedua menjelaskan mengapa kita mengumpul begitu banyak barang.

Manakala bab ketiga mencadangkan kaedah untuk kita mengurangkan barang-barang yang dimiliki.

Bab keempat menceritakan perubahan yang penulis tersebut alami sendiri apabila mengurangkan barang-barang milik beliau seminimum mungkin. Beliau menjelaskan dapat menjadi lebih positif dan gembira apabila mula mempraktikkan amalan mengurangkan barang milikan beliau.

Dalam bab kelima beliau menjelaskan mengapa kehidupan minimalis yang beliau amalkan dapat memberi rasa bahagia dan gembira.

Terdapat 55 tip dalam bab ketiga buku ini untuk membantu pembaca mengurangkan barang milikan seperti mulakan dengan barang yang jelas merupakan sampah atau tiada fungsi, rakam gambar barang yang sukar untuk kita lepaskan.

Selain itu kerja menyusun bukan bermaksud kerja mengurangkan barang, usah berasa berat hati terhadap harga asal barangan yang hendak dilepaskan serta banyak lagi tip menarik lain.

Sebagai kesimpulan, Buku Goodbye, Things: on Minimalist Living oleh Fumio Sasaki memperkenalkan idea kehidupan gaya minimalis yang berpotensi membantu kita menjadikan tempat kediaman lebih teratur, lapang serta tenang.