Dalam amalan demokrasi tidak ada salahnya berbuat demikian kerana segala-galanya ditentukan oleh rakyat melalui proses pilihan raya. Namun begitu jika mengkaji tingkah laku pemimpin-pemimpin pakatan terutamanya dalam membuat persediaan bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), terbukti mereka bukanlah alternatif terbaik kepada rakyat.

Berikut penulis senaraikan lima perkara yang dianggap bukti hakikatnya, mereka tidak layak untuk memerintah negara;

l Matlamat menghalalkan cara

Dalam keadaan semakin kemaruk berkuasa dengan menumbangkan kerajaan BN, Pakatan Harapan semakin tidak tentu hala dalam tindakan politik mereka. Contoh paling klasik apabila mereka kembali bekerjasama walaupun suatu ketika dahulu permusuhan antara mereka telah memporak-perandakan politik negara.

Walaupun dalam politik tidak ada musuh dan kawan yang kekal tetapi janganlah sampai maruah dan prinsip digadaikan. Keadaan itu boleh disaksikan melalui tindakan Tun Dr. Mahathir Mohamad yang menubuhkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) bekerjasama dengan DAP.

Semua orang tahu bagaimana dahsyatnya permusuhan politik beliau dengan DAP ketika menjadi Perdana Menteri selama 22 tahun. DAP dikecam sebagai parti rasis dan cauvinis tetapi bukan sahaja Dr. Mahathir malah pemimpin-pemimpin PPBM lain seperti Datuk Seri Mukhriz dan Tan Sri Muhyiddin Yassin cukup menyayangi DAP.

Pada pandangan politik mereka sekarang, parti yang satu ketika dahulu dianggap ancaman kepada kuasa politik Melayu adalah kawan baik paling serasi. Walaupun mengetahui DAP terus teguh mempertahankan konsep Malaysian Malaysia tetapi Dr. Mahathir,Mukhriz dan Muhyiddin sudah tidak mempedulikannya asalkan matlamat mereka menjatuhkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak tercapai. Apakah pendekatan politik matlamat menghalalkan cara ini boleh diterima?

l Tidak hormati Dewan Rakyat

Saban tahun kita menyaksikan bagaimana buruknya gelagat ahli-ahli Parlimen Pakatan Harapan di sidang Dewan Rakyat. Mereka seolah-olah tidak menghormati kemuliaan dewan tersebut dengan melakukan pelbagai tindak tanduk yang cukup memualkan.

Malang sekali mereka adalah penggubal undang-undang tetapi mereka sendiri tidak tahu menghormatinya.

Lihat sahaja bagaimana beberapa hari lalu ada ahli Parlimen yang masuk ke dalam dewan bersidang dengan memakai ‘barang’ tertentu bagi menyatakan sokongan kepada himpunan haram Bersih. Itu belum lagi mengambil kira kedegilan Lim Kit Siang yang tetap menghadiri sidang dewan walaupun sudah digantung enam bulan.

Dr. Mahathir pula yang mereka mahu angkat sebagai Perdana Menteri dilihat semakin terdesak sehingga sanggup menghadiri sesi taklimat tertutup yang khusus untuk ahli Parlimen. Kalau mereka menghormati Dewan Rakyat, mereka sudah pasti tidak berbuat demikian. Walaupun kita tahu mereka berperangai seperti ‘badut politik’ tetapi mereka perlu ingat Dewan Rakyat bukanlah ‘gelanggang sarkas’.

l Demonstrasi haram medan lepas geram

Pakatan Harapan cukup sinonim dengan demonstrasi haram. Walaupun perbuatan itu tidak mendatangkan apa-apa faedah kepada rakyat dan negara tetapi mereka sanggup melakukannya kerana politik.

Dr. Mahathir yang dahulunya cukup menentang demonstrasi jalanan, kini sanggup mengerah kudratnya dalam usia 93 tahun untuk menyertai himpunan haram Bersih. Beliau sudah hilang pertimbangan dalam usaha mencapai impiannya mahu menjatuhkan Perdana Menteri.

Sebenarnya mereka bukan tidak boleh berhimpun untuk membangkitkan sesuatu isu memandangkan sudah ada peruntukan melalui Akta Perhimpunan Aman tetapi mereka enggan mematuhinya. Mereka sengaja mahu mencari pendekatan konfrontasi supaya apabila tercetusnya kekecohan maka ia akan memburukkan imej kerajaan dan negara. Itulah niat mereka.

l Semai politik kebencian

Kita memahami Pakatan Harapan sudah terdesak untuk meraih sokongan rakyat. Pelbagai usaha mereka selama ini untuk memburuk-burukkan kerajaan tidak berhasil. Kalau ada pun rakyat yang menyokong ia tidak sebanyak mana.

Oleh itu Pakatan Harapan menyemai politik kebencian rakyat kepada kerajaan. Tiada satupun perkara yang dilakukan oleh kerajaan dianggap baik atau bermanfaat kepada negara. Segalanya akan dikecam dan diputarbelitkan supaya rakyat membenci kerajaan. Ucapan dan kenyataan mereka penuh dengan perasaan dendam membara.

Sepatutnya mereka mengamalkan politik matang dengan membentangkan apa yang boleh menunjukkan mereka lebih baik daripada kerajaan BN tetapi sudah pasti mereka tidak boleh melakukannya kerana melalui pendekatan politik matlamat menghalalkan cara, pemimpin-pemimpin Pakatan Harapan ibarat ‘ayam jantan yang ekor bergelumang dengan najis’.

l Bersekongkol dengan media asing

Dalam usaha memburuk-burukkan kerajaan BN, pemimpin-pemimpin Pakatan Harapan terutamanya Dr. Mahathir sanggup bersekongkol dengan media-media asing yang sememangnya suka melihat negara ini huru-hara.

Melalui media asing, Dr. Mahathir dan beberapa pemimpin Pakatan Harapan menjadikan ia sebagai modal untuk menjatuhkan imej kerajaan bukan sahaja di dalam negara tetapi juga luar negara. Dan mereka juga meminta campur tangan asing dalam urusan politik negara ini. Oleh itu kalaulah tindakan mereka dianggap satu pengkhianatan kepada negara, pemimpin-pemimpin Pakatan Harapan tidak harus melenting.

Itulah lima perkara yang membuktikan biarpun Pakatan Harapan dianggotai pemimpin-pemimpin yang kononnya hebat tetapi hakikatnya mereka jahil dalam pendekatan politik matang dan berhemah.