Aura White House begitu kuat walaupun bagi orang Malaysia yang terpaksa mengharungi penerbangan lebih 20 jam dan risiko berdepan dengan kerenah imigresen. Percayalah ia berbaloi kerana kota ini mencerminkan hasrat untuk mengabadikan sejarah.

Dan, sejarah bakal dilakar. Di bangunan ini Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak akan mengadakan pertemuan dengan Presiden Donald J. Trump. Beliau menjadi Perdana Menteri Malaysia kedua berkunjung ke White House selepas Tun Abdullah Ahmad Badawi pada 2004.

Cuma kali ini, rasanya tidak pernah berlaku dalam sejarah lawatan ketua kerajaan Malaysia ke negara asing mendapat begitu banyak reaksi di kedua-dua buah negara. Ini menjadikan kunjungan atas jemputan Trump itu benar-benar berbeza.

Daripada politikus amatur, senior, populis dan penganalisis di Malaysia sehinggalah pelobi dan media elit AS seakan-akan berlumba-lumba mahu memberi makna kepada lawatan ini mengikut kepentingan masing-masing.

Politikus parti pembangkang yang paling sibuk cuba menterjemah lawatan ini. Sekali lagi, usahlah diharap kupasan yang konstruktif walaupun lawatan ini berkait dengan kepentingan kerajaan dan hubungan baik kedua-dua buah negara, serantau malah dunia Islam.

Semuanya berbaur dengan nada cemburu dan cemuhan. Barangkali sudah begitu kebiasaan mereka. Barangkali itulah sahaja kemahiran politikus kelas ini - membuat provokasi dan cemuhan.

Lim Kit Siang, politikus DAP paling lama dalam sejarah politik Malaysia antara yang terlihat paling teruja. Dalam nada mencari sengketa, Kit Siang mencabar anggota Kabinet membatalkan lawatan Najib ke White House itu.

Bunyinya memang aneh tetapi semua ini mudah difahami. Mereka tidak mahu lawatan kerja ke AS kali ini memberi kesan positif kepada Najib mahupun kerajaan walaupun atas jemputan presiden sebuah negara yang paling berkuasa di dunia.

Politikus pembangkang paling gentar lawatan ini akan berjaya. Habislah modal kempen politik mereka nanti untuk mengaitkan Najib dengan dakwaan sedang diburu pihak berkuasa AS dalam kontroversi 1MDB.

Kita pun sudah lama tidak mendengar politikus seperti Kit Siang dan konco-konconya memberi reaksi positif terhadap tindakan kerajaan. Waima di bawah kepemimpinan Tun Dr. Mahathir Mohamad yang kini dijulang, dulu semuanya serba cacat dan salah.

Waima bekas pemimpin UMNO yang kini bersama pembangkang dianggap berpengalaman luas walaupun pengalaman itu diraih semasa dalam kerajaan yang dulu mereka label sebagai korup dan mengkhianati rakyat.

Entahlah rasanya tidak terhitung berapa kali politikus ini telah salah terjemah dan membuat provokasi yang tidak perlu. Yang jelas, Pakatan Harapan semakin terdesak. Apa yang mereka lakukan sekarang tidak menjadi, serba tidak kena.

Pakatan Harapan yang baru dibentuk tidak lebih baik daripada Pakatan Rakyat yang telah berkubur itu. Sesama parti masih jauh daripada mencapai komitmen dan kepercayaan penuh.

DAP, PPBM dan PAN menolak kerjasama dengan Pas tetapi PKR bertindak sebaliknya. Daripada kelompok PKR yang berpecah, bermacam pendedahan dibuat termasuk Langkah Kajang yang akhirnya diakui hanya konspirasi beberapa orang sahaja.

Serangan

Di pihak kerajaan pula, aura positif semakin menyebar. Rakyat mendapat banyak manfaat daripada kemahiran diplomatik pentadbiran Najib mengangkat hubungan dua hala ke tahap lebih menguntungkan Malaysia contohnya dengan China dan Arab Saudi dan kini AS.

Di AS, serangan terhadap pentadbiran Trump yang baru berumur sembilan bulan bukan perkara asing. Saban waktu ada perkara dicetuskan. Sejak dari awal, pihak-pihak elit AS memang secara terbuka tidak menyenangi Trump.

Mudah sahaja, ini kerana Trump bukan daripada kelompok mereka yang sebelum ini menguasai kerajaan sama ada daripada Republikan mahupun Demokrat. Ada sahaja usaha untuk menyingkirkan bekas usahawan berjaya dan personaliti televisyen popular ini daripada tunjuk perasaan di jalanan sehinggalah serangan dalam media, forum dan di Parlimen.

Dan, berikutan lawatan ini Najib yang merupakan rakan Trump dimasukkan sekali dalam bakul ‘musuh’ Presiden AS ke-45 itu. Wall Street Journal umpamanya mencadangkan agar Trump membatalkan lawatan Najib. Kecaman berteusan daripada akhbar ini tiada bezanya semasa pertemuan Presiden Barack Obama dengan Najib pada 2014.

Lawatan Najib ini juga menarik perhatian bekas Duta AS ke Malaysia, John R. Malott (1996-1998) yang tidak lebih hanya satu lagi luahan sakit hatinya. Umum tahu Malott adalah pendukung dan pembela tegar Datuk Seri Anwar Ibrahim. Baginya tiada pemimpin yang lebih layak memimpin Malaysia kecuali Anwar.

Realitinya hubungan Najib dengan Trump bukan baru dibina malah bukan sahaja atas nama pemimpin dua kerajaan. Kedua-duanya saling mengenali sebagai rakan golf. Mereka yang memahami golf tentu tahu bagaimana keakraban hubungan itu.

Malaysia pula adalah negara kedua ASEAN dijemput Trump ke White House sebelum Vietnam. Menyusul Oktober ini ialah kunjungan rakan tradisional AS, Singapura.

Banyak yang boleh dibincangkan dalam lawatan bersejarah ini. Selain isu-isu berkepentingan Malaysia yang dijangka turut disentuh ialah keselamatan Laut China Selatan, keganasan dan peranan Malaysia sebagai negara pengimbang rantau Asia Pasifik.

Menyentuh isu semasa, kekejaman ke atas minoriti Rohingya di Rakhine dijangka akan turut dibincangkan. Dalam suasana Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) akhir bulan ini, pendirian Malaysia yang berada dalam ASEAN dan AS sebagai ‘penguasa dunia’, diharapkan bakal membawa perubahan kepada nasib etnik Rohingya.

Tentu sekali pertemuan mana-mana ketua kerajaan dan dalam hal ini antara Najib dan Trump, bakal memberi banyak manfaat. Peluang berkunjung ke White House tidak selalu datang. Masalahnya, masih ada yang terperangkap mahupun terikut-ikut dengan kecaman, cemuhan dan kecemburuan sesetengah pihak yang hanya mahu menggagalkan kejayaan diraih Malaysia.