PENGURUS BESAR AL ARABIYA, TURKI ALDAKHIL baru-baru ini mewawancara PERDANA MENTERI, DATUK SERI NAJIB TUN RAZAK yang berkata lawatan Raja Salman telah membantu mengukuhkan iltizam kedua-dua kerajaan untuk meningkatkan kerjasama keselamatan serta hubungan antara rakyat Malaysia dan Arab Saudi.

Najib turut mengulas kejayaan Malaysia dalam membasmi pengangguran dan kemiskinan, memerangi keganasan serta bagaimana Malaysia melihat Jepun sebagai model. Berikut adalah sedutan wawancara tersebut.

Turki Aldakhil: Datuk Seri apakah sebenarnya makna di sebalik lawatan Raja Arab Saudi Raja Salman bin Abdulaziz Al Saud ke Malaysia ini dari segi kerjasama antara kedua-dua negara?

Najib: Penjaga Dua Kota Suci, Raja Salman bin Abdul-Aziz telah selesai melakukan lawatan ke Malaysia. Lawatan ini amat bersejarah bukan sahaja kerana Malaysia adalah negara Asia Tenggara pertama yang baginda lawati, malah di rantau Asia.

Lawatan ini mempunyai erti serta kesan yang amat mendalam dan sememangnya sudah lama ditunggu-tunggu oleh rakyat Malaysia. Banyak kesan daripadanya yang perlu direnungkan, terutama dari segi hubungan persaudaraan yang wujud antara Malaysia dan Arab Saudi, hasrat bersama untuk menjalin kerjasama dalam bidang keselamatan serta hubungan antara rakyat kedua-dua negara.

Sesungguhnya, upacara menandatangani perjanjian antara Aramco dan Petronas adalah perkara paling penting dalam lawatan baginda. Ini adalah suatu kejayaan yang sangat besar.

PM JELASKAN SWAFOTO 
TULAR DENGAN RAJA SALMAN

Malaysia memberi sambutan yang sungguh istimewa kepada Raja Salman dan Datuk Seri telah memberi tumpuan secara peribadi terhadap lawatan baginda, malah anda sendiri merakamkan swafoto dengan baginda. Apakah pandangan Datuk Seri tentang kepimpinan baginda?

Saya bertuah kerana dapat mengenali Raja Salman secara lebih dekat melalui kunjungan itu; saya banyak meluangkan masa bersama baginda. Saya dapati baginda seorang pemimpin yang amat berkarisma, mesra serta prihatin. Baginda amat kaya dengan ilmu pengetahuan, terutama tentang sejarah serta memiliki hasrat yang amat mendalam untuk menggalakkan kerjasama. Saya amat menghormati peranan baginda sebagai seorang pe­mimpin.

Saya hanya mencuba nasib apabila memohon Raja Salman untuk mengambil swafoto. Saya terperanjat dan amat gembira apabila baginda berkenan memenuhi permintaan saya itu. Saya merakamkan swafoto itu sambil berkata kepada diri sendiri bahawa ini adalah peluang untuk menonjolkan Raja Salman dari sudut baharu dan oleh kerana baginda adalah seorang insan yang sangat baik, saya ingin menonjolkan sisi kemanusiaan yang terdapat pada diri baginda, suatu aspek yang tidak terzahir dengan jelas, lebih-lebih lagi apabila kita perlu mematuhi protokol dan perkara lain yang sudah menjadi kebiasaan. Saya sebenarnya mengambil risiko apabila memuat naik dalam akaun Twitter. Tetapi, gambar itu menyebabkan Malaysia dan Arab Saudi mendapat tumpuan luar biasa dan kedua-dua pihak sungguh gembira.

Seluas manakah kerjasama antara Malaysia dan Arab Saudi dan seterusnya dengan Majlis Kerjasama Teluk (GCC)?

Jumlah dagangan antara Malaysia dan negara anggota GCC ialah RM45 bilion, hampir AS$11 bilion. Emiriah Arab Bersatu menduduki tempat teratas dari segi pertukaran perdagangan, manakala Arab Saudi menduduki tempat kedua. Saya yakin hubungan ekonomi dan perdagangan serta pelaburan dua hala akan bertambah pada masa akan datang, terutama selepas kunjungan Raja Salman dan termeterainya perjanjian kerjasama baharu antara Petronas dan Aramco.

Selain itu, semasa kunjungan baginda, kami menandatangani banyak memorandum persefahaman melibatkan syarikat swasta dari kedua-dua negara yang bernilai lebih RM9 bilion. Ini menjadi bukti betapa kedua-dua negara mempunyai keinginan tinggi untuk meningkatkan jumlah dagangan dan mengukuhkan lagi hubungan ekonomi antara mereka.

RAHSIA DI SEBALIK 
KEJAYAAN MALAYSIA

Ada pihak menganggap Malaysia sebagai negara contoh kejayaan tadbir urus dan pembangunan. Apakah resepi Malaysia dalam mencapainya?

Kita patut menilai apa yang telah kami capai setakat ini. Apabila saya mengambil alih jawatan Perdana Menteri pada 2009, satu daripada cabaran yang saya hadapi ialah Malaysia terjerumus ke dalam perangkap apa yang dipanggil sebagai negara berpendapatan pertengahan. Jadi, kami memerlukan satu model baharu ekonomi untuk membawa kami keluar dari perangkap itu dan untuk membolehkan kami menjadi sebuah negara berpendapatan tinggi, sebuah negara yang maju sepenuhnya serta sebuah negara yang maju dari segi ekonomi. Saya kemukakan Pelan Transformasi Nasional yang merangkumi aspek ekonomi serta pentadbiran dan kami menolak apa yang dipanggil “inertia” dan monotoni perniagaan.

Kami perlu mempamerkan keberanian serta kesungguhan mendalam kerana seseorang yang ingin melakukan perubahan untuk negara, perlu bersedia membawa transformasi dan inilah sebenarnya yang kami lakukan. Dan kami pun mulalah melaksanakan pelan itu dengan sepenuhnya.

Pelan itu telah mencapai hasilnya seperti yang dapat kita lihat hari ini. Sebagai contoh, pada 2009, pergantungan kami terhadap minyak adalah sebanyak 41 peratus, bererti 41 peratus daripada hasil negara bergantung pada minyak. Hari ini, angka ini menurun kepada 14 peratus. Kalaulah kami tidak lakukan transformasi itu, hari ini kami akan menderita akibat kejatuhan teruk dan mendadak harga minyak, yang mungkin juga akan menjejaskan hasil kerajaan yang begitu banyak bergantung terhadapnya. Di samping itu, kami ambil keputusan mengenakan cukai barang dan perkhidmatan (GST) serta merasionalisasikan sokongan kerajaan.

Itulah langkah perlu, tetapi tidak popular yang telah diambil dan menyebabkan kami terpaksa berdepan dengan pelbagai kritikan. Tetapi, kami tidak berganjak. Hari ini, kami dapat saksikan hasil daripada langkah yang telah kami ambil beberapa tahun lepas itu.

Adakah terdapat kerjasama sama antara Malaysia dengan negara lain yang mempunyai pengalaman serupa di dunia Arab?

Sudah tentu terdapat hubu­ngan dua hala antara kita dan kami mempunyai apa yang dikenali sebagai “Pemandu”, iaitu unit yang saya wujudkan apabila mula-mula menyandang jawatan dulu. Ia adalah suatu unit hibrid yang menggabungkan sektor awam dan swasta, dengan misi untuk memastikan pelaksanaan pelan peralihan yang diperkenalkan itu berjalan lancar. Anggota unit ini melawat beberapa negara anggota GCC dan Afrika serta memindahkan pengalaman kami kepada mereka.

Beberapa langkah yang diambil kerajaan Saudi, termasuk mengenakan cukai barang dan perkhidmatan serta menyusun semula subsidi dan memberi bantuan kewangan secara langsung, adalah antara langkah yang telah kami laksanakan di Malaysia sebagai sebahagian daripada Pelan Transformasi Kerajaan.

 

Sejauh manakah model Jepun membantu dalam kejayaan yang telah dicapai Malaysia?

Ya, pada peringkat awal, kami mendapat manfaat daripada pengalaman mereka dan kami menerima pakai suatu dasar yang mencerminkan pengalaman Je­pun serta Korea kerana ia merupakan kisah kejayaan pada tahun 70-an dan 80-an dalam abad lepas.

Kami percaya itulah pelan ekonomi yang patut kami contohi daripada mereka. Kami mengambil pengajaran daripada dua eksperimen itu dan mengamalkan beberapa komponennya. Kami memberi fokus terhadap dasar ekonomi dan etika kerja daripada kedua-duanya.

Kami menghantar banyak pelajar Malaysia ke Jepun dan Korea untuk belajar di universiti mereka dan menerima pakai etika kerja Jepun. Ingin saya nyatakan kepada saudara bahawa langkah ini menyumbang kepada pencapaian kami dalam bidang pembangunan, tetapi ia tidak terhad kepada menerima pakai dasar ekonomi sahaja, terdapat juga sebab lain yang membolehkan kami mencapai kejayaan seperti yang ada hari ini.

 

Adakah Malaysia masih menghantar pelajar untuk menuntut di Jepun?

Ya, kami terus menghantar pelajar kami ke Jepun dan Korea serta ke hampir seluruh dunia.

Sejauh manakah kepelbagaian etnik dan agama menyumbang kepada kejayaan Malaysia dalam bidang ekonomi?

Masyarakat Malaysia, seperti yang saudara maklum, memiliki ciri-ciri kepelbagaian. Ia bersifat pelbagai etnik, pelbagai budaya dan pelbagai agama.

Kami berjaya bekerjasama sebagai sebuah negara. Memanglah terdapat cabaran, tetapi kami mencapai kejayaan besar kerana kami bergantung pada kekuatan setiap kumpulan etnik dan kami mengamalkan suatu dasar bagi membina perpaduan negara.

Apabila mengambil alih jawatan ini, saya melancarkan konsep “1Malaysia” untuk memberi penekanan terhadap beberapa nilai teras yang menganjurkan kesetiaan dan kolaborasi.

Ketika kami mula merdeka dulu, banyak pihak tidak yakin dengan kebolehan kami untuk berjaya sebagai sebuah negara, tetapi kami membuktikan pendapat mereka itu adalah salah.

Adakah masyarakat perlu bersifat majmuk untuk berjaya?

Kepelbagaian mempunyai meritnya, tetapi ia juga memberi cabaran dan cabaran paling besar ialah untuk mengelak berlakunya konflik antara kumpulan etnik yang berbeza.

Dari segi itu, kami mencapai banyak kejayaan. Tetapi, paling penting, kami perlu terus melangkah ke hadapan sebagai sebuah negara bersifat sinergistik. Inilah yang perlu kami usahakan serta sedar bahawa walaupun terdapat keamanan dan keharmonian yang kami nikmati hari ini, kami perlu terus berusaha untuk memupuk integrasi dan perpaduan nasional.

Kadar kemiskinan di Malaysia telah menurun kepada kurang daripada satu peratus. Bagaimanakah Datuk Seri mampu mencapainya?

Sebenarnya, angka yang ada adalah lebih mengagumkan. Ketika kami baru merdeka, nisbahnya ialah lebih enam peratus dan peratusan ini menurun pada 2015 kepada paras yang sangat rendah iaitu 0.6 peratus. Kemiskinan telah berkurang dengan banyaknya hasil daripada fokus yang sentiasa diberi terhadap pertumbuhan, dan pertumbuhan ini mempunyai kaitan dengan keadilan.

Kami pastikan wujudnya keseimbangan agar setiap orang mendapat manfaat daripadanya, tanpa meminggirkan mana-mana rakyat. Inilah falsafah yang menjadi pegangan kami dan kami menggabungkannya dengan langkah serta program berkesan dan hasilnya, saudara dapat melihat kadar kemiskinan berkurang dengan banyaknya di Malaysia, manakala pendapatan pula bertambah pada kadar yang tidak terdapat sebelum ini.

PENGANGGURAN 
DI PARAS TERENDAH

Datuk Seri juga berjaya dalam perjuangan membasmi pengangguran dan berjaya mengurangkannya ke paras paling rendah. Apakah rahsia untuk mencapai­nya?

Usaha perlu dilakukan untuk mencapai pertumbuhan dan meningkatkan pelaburan. Apabila kami berkata sektor swasta perlu menjadi enjin pertumbuhan, kami sedar ini perlu dizahirkan melalui pelaburan oleh sektor awam dan swasta.

Dulu, sektor awam begitu dominan, tetapi melalui proses transformasi yang kami laksanakan sebagai sebahagian daripada pelan peralihan sejak 2009, hari ini, sektor swasta pula menjadi enjin pertumbuhan. Apabila terdapat sektor swasta domestik yang cergas, berserta wujudnya pelaburan langsung asing, ini akan membawa kepada wujudnya peluang pekerjaan baharu.

Saya menekankan tentang perlunya mewujudkan pekerjaan dengan gaji yang tinggi bagi membolehkan pemilik menikmati pendapatan yang tinggi. Kami tidak berhasrat mewujudkan pekerjaan yang hanya memerlukan kemahiran bertahap rendah kerana ini bermakna tahap pendapatan juga rendah. Kami memberi fokus utama untuk meningkatkan paras pendapatan dengan mewujudkan peluang pekerjaan bagi warganegara yang memiliki kemahiran tinggi.

Bagaimanakah Malaysia berjaya menghalang serangan pengganas?

Kami mengamalkan pendirian yang amat tegas. Pendirian ini tidak sekali-kali akan beralah atau bertolak ansur dengan sebarang bentuk ekstremis atau keganasan.

Antara langkah yang kami ambil, termasuk menggubal undang-undang khas bagi menangani secara khusus isu pelampau dan keganasan, yang membolehkan pasukan keselamatan menangkap anasir pelampau dan membawa mereka ke muka pengadilan sebelum mereka melakukan tindakan keganasan kerana saya berpendapat bahawa menunggu hingga berlakunya sesuatu tindakan barulah tindakan hendak diambil, akan membawa kepada pembunuhan dan kecederaan banyak orang.

Bagaimanapun, untuk menghadapkan mereka ke mahkamah memerlukan bukti agar juri boleh mensabitkan kesalahan mereka. Inilah caranya kami berjaya mengelak daripada tindakan pengganas, kecuali satu kejadian, tetapi ia tidaklah besar. Malaysia tidak mengalami sebarang serangan besar oleh pengganas kerana kami mengamalkan dasar bersifat proaktif.

Kejadian manakah yang Datuk Seri maksudkan?

Kejadian melontar bom tangan di luar sebuah kelab malam. Tiada sebarang kematian, cuma kecede­raan ringan. Kami juga berjaya menangkap 270 orang yang menganut ideologi ISIS, tetapi mereka ini tidak lagi menjadi ancaman.

MENANGANI KEGANASAN 
dan ISU KOREA UTARA

Bagaimanakah caranya Malaysia menyumbang dalam usaha memerangi keganasan?

Kami bekerjasama rapat dengan negara yang mempunyai wawasan sama dengan kami. Sebagai contoh, terdapat kerjasama antara agensi untuk bertukar-tukar maklumat risikan dan campur tangan yang tepat pada masanya kerana kami menjadi pihak dalam proses damai di selatan Filipina, di mana Malaysia menerajui pro­ses itu.

Kami juga bekerjasama dengan rakyat dan kerajaan Thailand untuk mewujudkan keamanan di selatan negara itu. Ini dalam konteks serantau. Di luar rantau kami pula, kami juga bekerjasama dengan negara lain kerana terdapat beberapa rakyat Malaysia yang berada di perbatasan Syria dan Iraq, yang menyertai ISIS. Tiada sebuah negara pun yang mampu menangani keganasan global secara bersendirian kerana ia memerlukan kerjasama semua negara.

Apakah perkembangan terkini siasatan berhubung pembunuhan Kim Jong-nam, abang kepada pemimpin Korea Utara, di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2)?

Seperti yang saudara maklum, kami telah berjaya mengenal pasti bahan yang digunakan iaitu agen saraf VX. Ia adalah sejenis senjata kimia berbahaya yang tersenarai antara jenis senjata pemusnah besar-besaran.

Kami perlu membuat pemeriksaan DNA bagi menentukan identiti si mati. Ini adalah prosedur biasa dan kami sedang menunggu sampel DNA bagi mengenal pasti mayat berkenaan. Oleh itu, kami tidak boleh menyerahkan mayat berkenaan selagi belum menentukan tanpa sebarang keraguan identiti mangsa atau si mati.

Saya ingin menyatakan bahawa satu jenayah telah dilakukan di Malaysia dan kami juga sedar bahawa bahan yang digunakan itu adalah bahan kimia yang sangat berbahaya serta tidak sepatutnya digunakan sama sekali kerana jika digunakan dalam kuantiti besar, ia boleh mengakibatkan kematian ramai, bukan hanya seorang individu.

Oleh itu, kami perlu mengambil pendirian serius dan berazam sepenuhnya untuk merungkai perkara sebenar yang berlaku serta mendakwa mereka yang bertanggungjawab terhadap apa yang telah berlaku itu.