Keputusan itu dibuat susulan keganasan yang melampau dilakukan oleh pihak berkuasa Myan­mar terhadap etnik Rohingya hingga memaksa mereka me­larikan diri meninggalkan tanah air menuju ke Cox Bazar, Bangladesh bagi mendapatkan perlindungan.

Lebih 500,000 etnik Rohingya direkodkan telah memasuki Bangladesh sejak Ogos lalu demi menyelamatkan diri daripada operasi tentera di Rakhine, yang mana perbuatan tidak ber­perikemanusiaan itu disifatkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sebagai tindakan penghapusan etnik.

Sebelum ini media antarabangsa melaporkan bahawa Myanmar adalah antara negara yang bakal dilawati oleh Putera Charles dan isteri baginda, Camilla namun perkembangan yang berlaku di negara itu khususnya melibatkan tindakan ganas pihak berkuasa negara berkenaan terhadap etnik Rohingya telah membuatkan rangka jadual lawatan pasangan diraja itu ke Asia Tenggara dan India itu turut berubah.

Hakikatnya, suara Britain da­lam isu Myanmar ini nampak begitu tegas. Sebagai contoh pada 19 September lalu kerajaan Britain telah membuat keputusan menghentikan segala bantuan serta latihan membabitkan pasukan bersenjata Myanmar sehingga kerajaan negara tersebut menamatkan segera kempen ke­ganasan terhadap etnik Rohingya.

Malah Universiti Oxford iaitu sebuah universiti paling berprestij di Britain telah bertindak menurunkan potret pemimpin Myanmar, Aung San Suu Kyi ekoran kritikan masyarakat dunia terhadap beliau berhubung isu Rohingya. Potret Suu Kyi yang digantung di Kolej St. Hugh digantikan dengan lukisan baharu dihadiahkan oleh artis Jepun, Yoshihiro Takada.

Berbalik siri lawatan Putera Charles dan isteri baginda, Camilla ke Malaysia bermula hari ini, kehadiran pasangan diraja itu amat signifikan dalam konteks ulang tahun hubungan dua hala antara Malaysia dan United Kingdom ke-60.

Lebih bermakna lagi, lawatan ini adalah kunjungan buat kali pertama pewaris takhta Britain itu bersama isteri baginda ke negara ini selepas 60 tahun Malaysia dan United Kingdom menjalinkan persahabatan apatah lagi dengan kedudukan Malaysia sebagai salah satu anggota negara-negara Komanwel.

Menurut Kementerian Luar, Malaysia pernah menerima dua lawatan diraja daripada Kerabat Diraja British iaitu Ratu Elizabeth II sambil diiringi oleh Putera Philip yang juga dikenali dengan gelaran Duke of Edinburgh ketika menghadiri Majlis Pembukaan Rasmi Sukan Komanwel Ke-16 di Kuala Lumpur pada 20 September hingga 23 September 1998.

Lawatan kedua pula melibatkan kunjungan pasangan diraja Duke dan Duchess of Cambridge, Putera William dan Kate Middleton ke Malaysia pada September 2012. Putera William adalah anak sulung kepada Putera Charles.

Dalam perkembangan ber­kaitan peranan Pusat Pengajian Islam Oxford (OCIS) di Universiti Oxford sebagai satu platform mengukuhkan lagi persahabatan di antara Malaysia dan Britain, itu tidak boleh dinafikan. Bahkan tidak keterlaluan jika dikaitkan OCIS ini sebagai jambatan peng­hubung antara Putera Charles dan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak secara peribadi.

Mengapa tidak? Putera Charles adalah penaung OCIS manakala Najib adalah anggota Majlis Tertinggi OCIS dan pernah memberikan syarahan bertajuk Coalition of Moderates and Inter-civilizational Understanding (Gabungan Sederhana dan Persefahaman Antara Tamadun) pada Mei 2011.

Untuk makluman pada 16 Mei 2012, Perdana Menteri pernah dijemput untuk menghadiri majlis resepsi diberikan oleh Putera Charles di Istana St. James bersempena penganugerahan Piagam Diraja kepada OCIS,

Malaysia adalah antara negara selain beberapa negara Arab yang banyak menyumbang kepada pembangunan pusat pengajian itu. OCIS ditubuhkan pada 1985 di Universiti Oxford bagi menggalakkan pengajian kesarjanaan Islam dan dunia Islam.

OCIS ditadbir oleh sebuah Lembaga Amanah yang terdiri daripada para sarjana, negarawan dari beberapa buah negara, selain wakil universiti tersebut. Antara sumbangan terbaharu Malaysia ialah pembinaan sebuah dewan di OCIS yang dikenali sebagai Auditorium Malaysia.

Selain Najib, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi juga pernah diberi penghormatan memberikan ucapan di pusat pengajian tersebut pada 9 November tahun lalu dengan membawa tajuk De-Rooting Radicalism and Extremism (Pengislahan radikalisme dan ekstre­misme).

Lebih istimewa beliau me­nyampaikan ucapan itu di Auditorium Malaysia yang baru sahaja disiapkan di bangunan baharu OCIS yang turut dibiayai oleh negara-negara Islam.

Malaysia menyumbang RM12 juta khusus untuk membina auditorium berkenaan termasuk melengkapkan hiasan dalamannya de­ngan ukiran kayu warisan tempatan.

Apapun adalah amat diharap kunjungan Putera Charles dan isteri baginda, Camilla ke negara ini selama tujuh hari akan membuka satu lagi fasa baharu hubungan Malaysia-United Kingdom yang telah terjalin sejak enam dekad lalu.