Berdasarkan atur cara lawatan, baginda melakukan tinjauan di kawasan kedai dan gerai yang terbakar baru-baru ini di Kea Farm, Brinchang, beramah mesra dengan penduduk dan melawat kampung Orang Asli Larear di Ringlet.

R. RAMAKRISHNAN
R. RAMAKRISHNAN

Sempena lawatan dan ramah mesra bersama penduduk, Tengku Abdullah akan mengislamkan enam penduduk Orang Asli di kampung tersebut. Baginda seterusnya akan berangkat ke majlis makan-makan bersama masyarakat di Cameron Highlands dan mengakhiri lawatan de­ngan menunaikan solat Jumaat di Masjid Abu Bakar.

Selain rakyat, keberangkatan baginda ke Cameron Highlands amat dinanti-nantikan oleh Persatuan Kesedaran Alam Sekitar Cameron Highlands (REACH) yang adalah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang cukup ter­kenal kerana bersuara lantang dalam memperjuangkan banyak isu berkaitan alam sekitar di kawasan tanah tinggi itu.

Presiden REACH, R. Ramakrishnan sudah tentunya antara individu yang tidak sabar-sabar untuk menyambut keberangkatan tiba Tengku Abdullah. Hasratnya cu­ma satu, mahu Tengku Abdullah melihat sendiri perkara-perkara yang se­ring dibangkitkan di Cameron Highlands.

“Setelah baginda me­ngetahui betapa Came­rons Highlands semakin terancam dengan pelbagai isu, mungkin dengan teguran daripada baginda sendiri, isu-isu ini dapat diatasi sepenuhnya de­ngan segera,” katanya.

Adalah besar hasrat beliau agar lawatan Tengku Abdullah membuka lembaran baharu buat Cameron Highlands yang dihimpit masalah seperti penerokaan tanah haram yang tidak terkawal sehingga menyebabkan pencemaran alam sekitar terutama sumber air bersih dan bencana alam seperti banjir dan tanah runtuh.

Walaupun banyak tindakan telah diambil, namun masalah-masalah berkenaan masih belum selesai. Ketika isu-isu tersebut masih belum menampakkan petanda akan berakhir, Ramakrishnan mendedahkan satu lagi isu yang harus diberi perhatian iaitu pembangunan projek hartanah yang terlalu banyak sehingga tidak terkawal.

Apa yang menjadi kebimbangan, projek hartanah untuk kediaman dan pejabat ini ada yang dibina melebihi had tingkat yang dibenarkan.

“Ada di antara pembangunan-pembangunan ini yang agak meragukan kerana dipercayai ada yang dibina lebih tinggi daripada yang diluluskan. Contohnya, ada projek pembinaan untuk pejabat di Kea Farm yang sepatutnya dibina tiga tingkat tetapi sekarang sudah naik sehingga lima tingkat.

“Sedangkan sejak zaman British lagi, pembinaan ba­ngunan di Cameron Highlands disyorkan tidak melebihi tiga tingkat tetapi sekarang melebih lima tingkat. Malah ada yang sehingga 15 tingkat. Ini bermakna pemaju tidak mempedulikan aspek keselamatan,” katanya.

Menurut Ramakrishnan, pembangunan hartanah mendadak di Cameron Highlands dilihat bukan untuk masyarakat tempatan tetapi untuk orang luar kerana ia dijual terlalu tinggi sehingga RM400,000 seunit.

“Orang tempatan tidak mampu untuk membeli rumah semahal itu,” katanya.

Beliau berkata, perkara itu harus diberikan perhatian dan pembangunan hartanah perlu dikawal.

“REACH berharap baginda dapat melihat isu baharu ini sebelum sesuatu bencana yang lebih besar berlaku di Cameron Highlands,” katanya.