Pertama, dalam konteks Malaysia, Raja Salman datang untuk mengukuhkan pengiktirafan sebuah negara Islam terhadap kepimpinan kerajaan Malaysia yang menghadapi cabaran luaran dan antarabangsa serta kedudukan Perdana Menteri sendiri yang sedang cuba digugat dari faktor dalam negara dan juga luar negara.

Inilah ukhuwah kenegaraan yang sangat menarik terjadi dan seharusnya menjadi teladan kepada negara dan umat Islam lain supaya muzakarah menjadi landasan yang berguna, perpaduan sesama umat berlaku dan sumber hasil bumi yang Allah kurniakan di negara Islam digunakan untuk manfaat umat Islam dan umat manusia.

Kedua, Raja Salman pada analisis penulis merasakan amat penting kedudukan kerajaan dan Datuk Seri Najib Tun Razak diperkukuhkan untuk jangka panjang demi kelangsungan kepimpinan umat Islam di rantau ini. Faktor pelaksanaan syariah di Malaysia dalam banyak bidang harus diperteguhkan dan Malaysia memerlukan iklim politik yang stabil untuk keamanan, pembangunan dan ­kesejahteraan warganegaranya.

Dengan pakej ekonomi dan pendidikan dua hala memberikan impak besar terhadap ekonomi Malaysia kerana umat Islam di rantau ini adalah rantau penting yang perlu dipertahankan daripada elemen-elemen kuasa besar seper­ti fahaman liberalisme, sekularisme agama, penyebaran Syiah dan lain-lain yang sifatnya menggugat.

Bayangkan, kalau rantau ini dibiarkan menjadi jaringan evangelisme dan zionisme antarabangsa umpamanya globalisasi yang sedang berlangsung boleh menjejas akidah, syariah, dan kesatuan umat Islam. Sekiranya ini terjadi apa yang sedang berlaku di Syria, Iraq, Yemen, Bahrain, Libya, Kuwait dan tempat-tempat lain boleh berlaku di sini.

Hubungan baik antara Arab Saudi ini boleh memberi kestabilan ekonomi bagi Malaysia dan Indonesia dan boleh menghalang elemen ekstremis, pelampau daripada berkembang dan merosakkan Islam dan umatnya. Sekiranya ekonomi dua hala berkembang dan pembangunan sumber daya manusia terjadi peluang pekerjaan dapat diwujudkan dan tahap kemiskinan dapat dikurangkan.

Kesediaan kerajaan Arab Saudi memberikan biasiswa dan kemudahan untuk pelajar-pelajar Malaysia belajar di sana bakal menghasilkan ramai lagi sumber daya insan yang dapat membantu Malaysia pada masa depan.

Kesanggupan Raja Salman menimbangkan tambahan kuota haji adalah lambang keyakinan baginda mengenai prestasi Tabung Haji yang cemerlang dan menjadi model pengurusan haji yang terbaik kepada dunia Islam lain. Ini juga menjadi inspirasi masyarakat setempat yang berjuang atas nama Islam harus memilih jalan ukhuwah atau persaudaraan supaya perbezaan yang ada disantuni dengan etika perbezaan dan melihat maslahah hari depan dengan bijaksana supaya strategi keutamaan diberi untuk mencapai cita-cita Islami.

Perpecahan dalam kalangan umat Islam di Asia Barat terlalu membimbangkan. Jangan hendaknya Malaysia me­ngulangi apa yang berlaku akibat pendekatan konflik yang melampau menyebabkan kesatuan umat menjadi pecah.

Memang perbezaan sesama kita tetap ada kerana umat Islam sedang berdepan dengan cabaran dalaman dan luaran yang tidak mudah untuk dileraikan. Kalau kita menjadi penyumbang kepada kekusutan benang tali temali perjuangan akan bertambah rumit.

Harus ada tekad tinggi mengambil semangat kunjungan diraja Arab Saudi sebagai suatu formula ke arah ­kesatuan yang lebih bermakna bukan mengekalkan penyakit dendam kesumat dan kebencian dan mencari helah untuk menjatuhkan satu sama lain yang akhirnya akan mengulangi apa yang berlaku di negara-negara Asia Barat. Allah sentiasa menjadikan kita orang yang meneliti ibrah supaya yang buruk tidak diulangi lagi.