“Presiden Donald Trump telah beberapa kali menyatakan kemungkinan untuk mengurangkan sesetengah komitmen Amerika Syarikat (AS) di luar negara,” tambah beliau ketika berucap di Forum Fullerton 2017 yang diadakan di Singapura beberapa hari lalu.

Kenyataan Hishammuddin ini lebih menjurus kepada hasrat Trump untuk mengurangkan tanggungjawab mempertahankan sekutu AS dan besar kemungkinan sekutu mereka yang terlibat dengan pertikaian dengan China di Laut China Selatan juga akan menerima tempias dasar tersebut. Kebimbangan Hishammuddin adalah ketiadaan AS akan menjadikan China tanpa pesaing dan menyukarkan ASEAN berunding dengan China.

Memang benar tanggapan umum bahawa hala tuju pentadbiran Trump amat sukar diramal kerana beberapa jam selepas kenyataan Hishammuddin, jurucakap White House, Sean Spicer menegaskan AS akan mempertahankan kepentingan mereka di Laut China Selatan.

“Jika kepulauan itu adalah per­airan antarabangsa dan bukan milik China, sudah tentu kita akan pertahankan kepentingan antarabangsa daripada diambil oleh sebuah negara sahaja,” tambah Spicer.

Kenyataan ini dianggap bercanggah dengan pendirian Trump sebelum ini tetapi selari dengan pegangan Setiausaha Negara AS yang baharu Rex Tillerson bahawa penambakan terumbu oleh China di perairan tersebut adalah tidak sah dan boleh diumpamakan seperti tindakan Rusia menjadikan Crimea, Ukraine sebagai milik Moscow.

Keadaan menjadi lebih menarik kerana tidak sampai 24 jam selepas kenyataan Hishammuddin dan Spicer dikeluarkan, Menteri Pertahanan Filipina, Del­fin Lorenzana menyatakan bahawa ASEAN bukannya proksi bagi negara-negara kuasa besar dunia untuk saling berlumba memper­luaskan pengaruh masing-masing dan sudah tiba masa bagi negara luar membiarkan ASEAN menentukan hala tujunya sendiri.

Tidak dapat dinafikan bahawa kedua-dua menteri pertahanan Malaysia dan Filipina yang terbabit secara langsung dalam pertikaian sempadan maritim ini mahu melihat ASEAN sebagai pemain utama dalam proses penyelesaian tanpa dibayangi oleh pengaruh kuasa besar.

Cuma bezanya adalah Malaysia yang bukan sahaja terlibat dalam pertikaian sempadan maritim dengan China tetapi juga dengan Vietnam dan Brunei berpendapat keperluan kehadiran AS adalah sebagai pengimbang kuasa terhadap kerakusan China yang bertegas menyatakan 90 peratus wilayah Laut China Selatan adalah milik mereka.

Perlu dinyatakan bahawa beberapa buah pulau dan terumbu yang berada dalam Zon Ekonomi Eksklusif (EEZ) Malaysia bukan sahaja dituntut China tetapi juga bertindih dengan EEZ Vietnam dan Brunei.

Sementara itu, Filipina pula ketika era kepimpinan Presiden Rodrigo Duterte mengamalkan dasar menolak secara keseluruhan kehadiran AS di Laut China Selatan tetapi pada waktu sama mengalu-alukan kehadiran China. Padahal ketika era Presiden Benigno Aquino, dasar berbaik-baik dengan AS adalah tunjang utama dasar pertahanan yang diamalkan Manila.

Sebab itu, tidak menghairankan apabila Duterte menegaskan tentera AS sepatutnya keluar dari Filipina walaupun sebelum ini Manila adalah antara sekutu rapat Washington di Asia Pasifik melalui perjanjian persefahaman pertahanan yang terjalin lebih enam dekad lalu. Tetapi ketika Duterte cuba menyisihkan AS dalam waktu sama beliau cuba berbaik-baik pula dengan China.

Berbeza dengan dasar Malaysia yang menjalin hubungan pertahanan dengan kedua-dua kuasa besar tersebut sebagai asas pengimbangan kuasa di rantau Asia Pasifik terutama sekali yang membabitkan Laut China Selatan.

Latihan ketenteraan Kerjasama Kesiagaan dan Latihan (CARAT) di antara Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Angkatan Tentera Amerika Syarikat (USF) adalah bukti jelas keakraban pertahanan sebagaimana dengan penyertaan Malaysia dalam latihan Cobra Gold yang dianggap pa­ling besar dan tertua di rantau Asia Pasifik dengan penglibatan tentera dari AS, Jepun, Korea Selatan, Thailand, Singapura dan Indonesia.

Tetapi dalam waktu sama, buat julung kali ATM dan Tentera Pembebasan Rakyat (PLA) China telah mengadakan latihan ketenteraan di Selat Melaka pada September 2015. Latihan yang membabitkan gabungan 28 jenis aset tentera ATM dan PLA yang turut disertai oleh lebih 2,000 anggota tentera adalah latihan terbesar untuk Malaysia sebagai tuan rumah. Tetapi lebih signifikan, latihan itu juga adalah yang terbesar pernah dilaksanakan di antara China de­ngan mana-mana negara ASEAN lain.

Sebab itu, amat kritikal diteliti kenyataan Hishammuddin, Spi­cer dan Lorenzana kerana memberi gambaran dasar luar tiga negara terbabit yang sudah pasti mewarnai kemelut Laut China Selatan pada masa hadapan. Selama ini pendirian AS secara tersurat dianggap sebagai tidak menyebe­lahi mana-mana pihak kerana tidak menyokong atau menolak tuntutan semua negara terlibat. Tetapi kenyataan Spicer boleh dibaca sebagai isyarat kepada China bahawa tuntutan mereka akan dicabar oleh AS secara ketenteraan.

Sementara Filipina pula sebagai Pengerusi ASEAN 2017 yang mahukan ahli organisasi itu menentukan sendiri hala tuju jalan penyelesaian dan menyanggah kehadiran AS tetapi dalam waktu sama menerima pula kehadiran China.

Penyelesaian oleh ASEAN adalah selari dengan pendirian Malaysia tetapi menolak AS dan menerima China bertentang­an dengan dasar amalan Kuala Lumpur.