Pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) merupakan salah satu daripada institusi keselamatan barisan hadapan negara yang mewajibkan anggota mereka menjalani latihan selama enam bulan manakala bagi pegawai pula, mereka wajib melepasi tempoh latihan selama sembilan bulan.

Wartawan Utusan Malaysia, NAIMAH MOHD. menemu bual Timbalan Pengarah Pengurusan (Latihan) Bukit Aman, DATUK T. NARENASAGARAN baru-baru ini mengenai kepentingan dan keberkesanan latihan dalam institusi tersebut.

 

UTUSAN: Adakah tempoh latihan sekarang cukup untuk melahirkan seorang anggota polis yang mampu mengatasi cabaran yang akan dilaluinya kelak?

NARENASAGARAN: Pada pe­ringkat asas ini, tempoh sembilan bulan bagi kadet Inspektor serta Sarjan dan enam bulan bagi Konstabel adalah mencukupi. 

Ia dikenali sebagai Program Latihan Asas Kepolisan (PLAK) bertujuan mengorientasikan pemikiran serta mentransforma­sikan fizikal dan tingkah laku seorang awam kepada seorang pegawai polis. Tujuan utamanya adalah meliputi asas kepolisan, kecergasan fizikal, kepimpinan operasi, undang-undang, pe­nguasaan teknologi maklumat serta urus tadbir dan ia dilaksa­nakan secara intensif yang mana setiap jam dalam tempoh latihan akan dinilai.

Perlukah pelatih wanita diberi layanan sama seperti pelatih lelaki supaya dapat me­lahirkan seorang ang­gota polis wa­nita yang setan­ding dengan kemampuan polis lelaki?

PLAK yang dilaksanakan di lapan buah Pusat Latihan Polis (Pulapol) menggunakan silibus standard yang dikawal oleh Bahagian Latihan Bukit Aman dan dari aspek pemba­ngunan kompetensi, pelatih lelaki dan wanita diberi latihan sama. Setiap aktiviti latihan fizikal yang diberikan kepada pelatih lelaki juga melibatkan pelatih wanita. Tiada diskriminasi jantina berlaku kerana setiap pegawai polis diperuntukkan kuasa yang sama, justeru mereka perlu dilatih untuk melaksanakan kuasa-kuasa tersebut sebelum memberikan perkhidmatan terbaik kepada ma­­syarakat.

Bagaimanakah kursus yang meliputi pendidikan, rohani dan perundangan yang diberikan kepada pegawai atau anggota pelatih dapat membentuk seseorang pelatih itu menjadi seorang polis yang cemerlang setelah tamat latihan?

PDRM melihat latihan sebagai satu pelaburan kerana kita adalah sebuah institusi berteraskan perkhidmatan. Tidak dinafikan, kos­nya menelan perbelanjaan tinggi kerana kita perlu sentiasa me­lakukan transformasi sejajar dengan aspirasi masyarakat serta ancaman semasa. Seorang pegawai polis yang bagus bermula dengan proses pengambilan lepasan sekolah dan universiti.

Tidak wajar untuk meng­harapkan mereka ini belajar daripada pengalaman sahaja kerana penugasan kepolisan berisiko tinggi, bersifat teknikal dan taktikal, oleh itu PLAK yang holistik diperlukan kerana sebaik sahaja dilantik ke perkhidmatan polis, semua kuasa dan akauntabiliti akan dipertanggungjawabkan kepada pegawai baharu ini.

Adakah kemudahan dan teknologi serta bahan latihan yang diberikan kepada pelatih di Pulapol sejajar dengan arus pemodenan masa kini?

Latihan yang diberikan selari dengan keperluan penugasan dari segi teknologi, sistem dan peralatan yang digunakan. PDRM telah pun mempunyai Pusat Simu­lasi Taktikalnya sendiri untuk memberikan latihan menggunakan teknik experiential learning.

Inisiatif yang sedang giat dilaksanakan adalah memperkasakan pembelajaran atas talian e-learning.

Rakan pintar Strategi Lautan Biru telah dijalin melalui kolaborasi PDRM dan Institusi Tadbiran Awam Negara (Intan) bagi penggunaan pelantar laman E-Pem­belajaran Sektor Awam (EPSA). Tiga modul telah diterbitkan iaitu Community Policing, Hak Asasi Manusia, dan Integriti.

Dengan adanya pembelajaran atas talian ini, PDRM juga sedang berusaha mewujudkan lebih ba­nyak kemudahan capaian internet percuma di setiap Pulapol di mana hak akses internet diberikan kepada semua pelatih bagi tujuan pembelajaran dan pengajaran.

Bagaimanakah PDRM menarik minat orang awam untuk me­nyertai polis terutamanya kaum wanita?

Berdasarkan permohonan di­terima, sebenarnya rakyat negara ini berminat berkhidmat dalam PDRM. Bagaimanapun kita perlu membuat saringan secara berpe­ringkat kerana hanya yang terbaik akan dipilih supaya tidak timbul kepincangan dalam perkhidmatan.

Dalam usaha menarik lebih banyak penglibatan kaum wa­nita, inisiatif utama diambil ialah dengan memberi pendedahan yang lebih meluas kepada umum tentang peranan, keterlibatan dan peluang kerjaya kaum hawa dalam pasukan.

Mereka perlu tahu, wanita memainkan peranan yang sama besar dengan kaum lelaki dan dari sudut kenaikan pangkat juga mereka mempunyai peluang sama.

Apa cara polis menangani isu penularan video yang dilihat berlaku di institusi tertentu yang rata-ratanya mendapat komen negatif netizen?

Kita mengawal ketat penggunaan alat komunikasi di dalam Pulapol. Bagaimanapun, sekiranya ia terjadi, kita akan menggunakan tiga kaedah iaitu melalui siaran media, sidang akhbar dan media sosial rasmi PDRM bagi menghebah dan menyalurkan maklumat terkini, seterusnya mendidik masyarakat supaya tidak mudah mempercayai sebarang maklumat yang tular tanpa mendapat penjelasan yang sahih daripada pihak berwajib.