Perhatian terhadap orang mu­da tanpa mengetepikan yang lama memperlihatkan Perdana Menteri tahu sentimen yang diperlukan dalam usaha untuk menyiapkan segala dasar dan perancangannya melalui Transformasi Nasional 2050 (TN50).

Sebagai pemimpin, Perdana Menteri tidak bermain politik atau membuat dasar bersifat populis.

Dasar-dasar TN50 yang me­ngambil kira pandangan akar umbi ini dibuat berasaskan satu visi dan gagasan yang besar bagi mengisi impian, hasrat, cita-cita dan memberi harapan baharu kepada orang muda di negara ini.

Rakyat Malaysia khususnya ge­nerasi muda perlu bersyukur ke­rana mempunyai seorang Perdana Menteri yang memiliki perancangan strategik, mahu men­dengar pandangan rakyat ser­ta komited dalam melunaskan janjinya kepada rakyat.

Salah satunya ialah janji untuk menaikkan kadar Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) kepada RM1,200 dalam tempoh lima tahun telah tercapai dengan 97.6 peratus manifesto kerajaan ketika Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) berjaya direalisasikan.

Idea memperkenal BR1M bukanlah berunsur politik seperti mana dakwaan pembangkang tetapi ia dibuat setelah mengambil kira keberkesanannya dalam membantu golongan sasar secara langsung, berdasarkan kadar pendapatan mereka meliputi golo­ngan berkeluarga dan bujang.

Malah, berdasarkan teori eko­nomi, pemberian BR1M kepada golongan B40 adalah lebih efektif kerana ia akan memangkin pertumbuhan ekonomi domestik.

Tahun ini, kira-kira RM6.8 bi­lion diperuntukkan untuk diagihkan baru-baru ini kepada 7.2 juta rakyat di seluruh negara.

Selain itu, kejayaan dan pembangunan yang dilaksanakan Per­dana Menteri di dalam dan luar negara sehinggakan Forum Eko­nomi Dunia (WEF) pun meletakkan Malaysia sebagai negara Asia terbaik dalam Indeks Pembangunan Inklusif (IDI), juga merupakan satu pencapaian yang membanggakan buat negara.

Malaysia kini berada pada nom­bor 13 di dunia dan satu di Asia manakala China di tempat ke-25 dan India nombor 62.

Bukan itu sahaja, Malaysia juga mendapat pengiktirafan dunia daripada Bank Dunia, Tabung Kewangan Antarabangsa dan agensi penarafan kredit iaitu Fitch serta Standard and Poor berikutan kekukuhan ekonomi negara di bawah pentadbiran Datuk Seri Najib.

Pertumbuhan ekonomi negara disemak sebanyak tiga kali oleh Bank Dunia tahun lalu. Ia di­semak menaik, bukannya menurun. Bursa Malaysia sebelum ini tu­rut mengumumkan mencatat keuntungan bersih tertinggi sejak 2007.

Bagaimanapun pencapaian pe­laburan langsung asing (FDI) dan ekonomi di bawah pentadbiran Najib bukan mudah dicapai. Ia diraih menerusi komitmen yang tinggi dan kejayaan inilah yang cukup tidak disenangi pembangkang.

Justeru, banyak tipu helah dan permainan persepsi yang dimainkan Pakatan Harapan untuk membina persepsi negatif rakyat terhadap kerajaan, namun ia berjaya ditangkis oleh jentera kerajaan.

Antaranya permainan persepsi pembangkang ialah seperti dakwaan pengerusinya, Tun Dr. Mahathir Mohamad bahawa FDI kononnya dari China dengan penjualan tanah untuk mem­bolehkan rakyat China memiliki aset di negara ini.

Bekas Perdana Menteri itu juga pernah mendakwa 700,000 warga China akan dibawa masuk untuk membeli hartanah di Fo­rest City, Johor dan akan diberikan kewarganegaraan jika menetap di sini.

Sedangkan fakta sebenarnya China bukanlah pelabur terbesar di negara ini dan Malaysia tidak terlalu bergantung kepada pelaburan dari China. Pelabur terbesar Malaysia ketika ini adalah Jepun, Jerman, Amerika Syarikat dan Singapura.

Bukan sahaja tohmahan terhadap jalinan dagang dengan negara China, Perdana Menteri turut ditohmah apabila dicemburui kerana keakrabannya dengan Raja Arab Saudi, Raja Salman Abdulaziz Al-Saud.

Sedangkan, keakraban Najib dan Raja Arab Saudi itu memberikan impak yang cukup besar kepada Malaysia, khususnya umat Islam apabila menerima tambahan dalam kuota haji yang memanfaatkan ribuan jemaah setiap tahun, selain pelaburan US$7 bilion oleh Saudi Aramco di Malaysia.

Baru-baru ini juga Perdana Menteri dimaklumkan oleh menterinya bahawa urusan pelaburan Saudi Aramco selesai dimuktamadkan. Mulai 31 Mac ini dana pelaburan itu akan masuk ke dalam akaun negara, sekali gus menyaksikan Malaysia mendapat suntikan dalam ekonomi Malaysia bertambah AS$7 bilion ataupun hampir RM30 bilion.

Realitinya, banyak lagi pe­laburan yang akan diterima negara ini. Sebab itulah kedua-dua peringkat pentadbiran negeri dan Pusat mesti diketuai kerajaan yang sama bagi meneruskan usaha sama perdagangan ini.

Liku-liku politik yang dilalui Najib selama lebih 40 dalam ge­langgang politik telah mematangkan beliau dalam menghadapi ca­baran politik masa kini mahu pun yang mendatang.

Perdana Menteri membuktikan dirinya seorang pemimpin yang lasak dan berdaya tahan. Biarpun diasak dan diuji dengan pelbagai ujian berat, namun iltizam beliau untuk membina negara ke arah yang lebih baik tidak tergugat. Kekuatan Najib adalah kesabaran dan ketabahannya melalui segala liku biarpun difitnah dan ditoh­mah berulang kali.

Sudah pasti, menjelang PRU tidak lama lagi, Najib pastinya tidak akan mengambil mudah dalam mendepani cabaran yang mendatang kerana PRU-14 ini amat penting bagi survival negara untuk terus membina masa depan yang lebih cemerlang di ba­wah pentadbiran BN.

DR. NAJMIL FAIZ MOHAMED ARIS ialah Naib Ketua Pemuda UMNO Terengganu.