Menurut Menteri Pendidikan Tinggi itu, sehingga kini sejumlah kira-kira RM21.60 juta dana wakaf berjaya dikumpulkan oleh universiti awam di Malaysia bagi menampung defisit kewangan universiti seiring dengan kelembapan ekonomi semasa. Sungguhpun begitu dana yang ada masih sedikit berbanding keperluan kewangan universiti yang meningkat dari setahun ke setahun.

Untuk mengatasi masalah tersebut beberapa langkah drastik perlu diambil. Antaranya semua pihak yang berkepentingan perlu duduk semeja berbincang mengenai hala tuju dan kepenti­ngan wakaf di universiti sehingga akhirnya diterima sebagai satu daripada dasar pendidikan tinggi negara. Ini penting kerana tanpa sokongan dan dukungan pihak berwajib terutamanya pengenalan skim wakaf untuk pendidikan tinggi negara kemungkinan gagal diteruskan dengan jayanya.

Untuk tujuan itu, juga cadangan penubuhan Majlis Wakaf IPT adalah sangat dialu-alukan. Hal ini perlu dititikberatkan kerana berdasarkan perkembangan semasa banyak IPT awam dan swasta berlumba-lumba memperkenalkan skim wakaf de­ngan pelbagai istilah yang dikhua­tiri mengelirukan dan menimbulkan masalah di kemudian hari. Dengan wujudnya majlis ini polisi-polisi berkaitan dapat diwujudkan serta isu-isu berbangkit dapat sama-sama diatasi bagi memperkasakan agenda wakaf di IPT.

Ini seperti masalah kekurang­an dana wakaf di universiti yang kemungkinan disebabkan mentaliti masyarakat yang masih melihat wakaf dalam konteks yang sempit dan terhad kepada tanah perkuburan, masjid dan institusi kebajikan sahaja. Begitu juga masalah perundangan wakaf yang sedikit sebanyak memberi kesan kepada pengenalan skim wakaf oleh IPT.

Selain itu komitmen dan ­keterbukaan majlis agama Islam negeri (MAIN) sebagai pemegang amanah tunggal wakaf di Malaysia juga amat-amat diharapkan untuk menyemarakkan lagi skim wakaf di universiti. Dalam hal ini pindaan Seksyen 4 Enakmen Wakaf Negeri Selangor 2015 yang membenarkan penubuhan perbadanan, memberi kebenaran kepada pentadbir untuk memegang mawquf, mengiktiraf pentadbir wakaf persendirian yang dilantik oleh pewakaf elok dicontohi.

Langkah proaktif mewujudkan enakmen khas berkaitan wakaf seperti di Selangor, Melaka, Ne­geri Sembilan dan Perak juga boleh diperluaskan ke negeri-negeri lain. Ini juga selari dengan saranan Presiden Dewan Perdagangan Islam Malaysia (DPIM) Tan Sri Muhammad Ali Hashim supaya semua pihak termasuk MAIN selaku pentadbir wakaf negeri membuka luas pintu wakaf.

Dicadangkan supaya model teori al-wilayah dalam fikah perundangan Islam diaplikasikan dalam pengurusan dana wakaf universiti. Melalui model ini kuasa wilayah ammah (am) diperuntukkan kepada MAIN selaku sole trustee wakaf di Malaysia de­ngan peranan untuk menetapkan undang-undang dan peraturan berwakaf, mengawal selia pelaksanaan wakaf dan menguatkuasakan undang-undang atas ke­salahan berkaitan aktiviti wakaf. MAIN juga boleh bertindak sebagai auditor dan penasihat kepada universiti khususnya apabila terdapat kepincangan dan ketirisan dalam pengurusan wakaf.

Sementara itu, universiti atau pihak-pihak persendirian yang ingin melaksanakan aktiviti wakaf diberi kuasa wilayah khassah (khas) untuk mengurus wakaf, menjana pendapatan melalui aktiviti sewaan premis dan lain-lain serta mengagihkan manfaat wakaf untuk benefesiari yang ditentukan dengan pemantauan MAIN.

Universiti juga hendaklah melaporkan kepada MAIN secara berkala supaya pelaksanaan wakaf di IPT patuh syariah dan universiti tidak membelakangkan perundangan wakaf negeri. Dengan cara ini konflik perundangan dan pengurusan wakaf di universiti dapat diatasi terutama apabila semua pihak memainkan peranan dalam ruang lingkup masing-masing demi menye­marakkan lagi aktiviti pewakafan harta di Malaysia.

Selain untuk pendidikan tinggi dana wakaf juga pernah digunakan untuk membangun negara. Malah dikatakan bahawa kerajaan Mesir pernah meminjam dana wakaf al-Azhar ketika menghadapi era kemelesetan ekonomi. Malahan ratusan ribu pelajar dari seluruh dunia termasuk Malaysia beroleh manfaat pendidikan tinggi percuma dengan dana wakaf al-Azhar yang melimpah-ruah sehingga melahirkan ulama dan ilmuwan Islam tersohor.

Direkodkan lagi sejarah pemergian pelajar Malaysia ke Universiti al-Azhar telah bermula pada awal tahun 1900 yang mana pada 1924 Abdullah Shahabudin dan Ahmad Jamaludin dari Kedah telah memohon surat pengenalan daripada Sultan Kedah untuk mendapatkan pasport ke Mesir bagi melanjutkan pelajaran.

Hal ini bertitik tolak daripada keinginan para Muslimin untuk meraih ganjaran pahala yang berlipat kali ganda dan berpanja­ngan walaupun setelah meninggal dunia. Allah SWT berfirman maksudnya: “Bandingan (derma) orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah ialah sama seperti sebiji benih menumbuhkan tujuh tangkai, tiap-tiap tangkai pula mengandungi seratus biji. Dan (ingatlah) Allah akan melipat gandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendaki Nya, dan Allah Maha Luas(rahmat) kurnia Nya lagi meliputi Ilmu Pengetahuan-Nya”

Justeru bersempena dengan bulan Ramadan al-Mubarak ini seluruh masyarakat diajak mencontohi perbuatan Nabi Muhammad SAW yang banyak menginfakkan hartanya ke jalan Allah SWT sehingga digambarkan seperti angin­ yang bertiup. Masyarakat Islam turut diajak memperbanyak aktiviti bersedekah dan berwakaf termasuklah bagi menjayakan skim wakaf di universiti.

Melalui usaha ini, bukan sahaja pewakaf beroleh ganjaran pahala berpanjangan hingga malah turut didoakan pelajar yang mendapat pembiayaan biasiswa wakaf dan menjadi sebab beroleh kelebihan ilmu yang bermanfaat apabila diamalkan turun temurun.

PENULIS ialah Pensyarah Kanan, Akademi Pengajian Islam Kontemporari, UiTM Kampus Pasir Gudang, Johor.