Tidak timbul soal serah menye­rah kerusi tetapi yang paling perlu adalah mencari formula untuk menjadikan kemenangan milik BN. Jika peralihan kerusi menjadi formula terbaik, lakukanlah. Tidak se­­harusnya terlalu terikat dengan tradisi sehingga kerusi itu dijadikan ‘korban’ semata-mata bagi meme­nuhi status quo. Kayveas menyatakan kesediaan itu selepas beliau difahamkan Gerakan ingin mengambil alih kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor di Kota Alam Shah. Mungkin MCA dan MIC juga mempunyai formula yang sama untuk bersedia menyerahkan kerusi sekiranya itu pilihan terbaik demi menjamin kemenangan BN. Gerakan sudah tentu mempunyai perkiraan tersendiri sekiranya benar mahu mengambil alih kerusi itu. Menyelak kembali rekod PRU13, PPP gagal memenangi kerusi yang diperuntukkan iaitu kerusi Parlimen Kepong di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan empat kerusi DUN di Kota Laksamana (Melaka), Kota Alam Shah (Selangor), Pasir Bedamar (Perak) dan Manik Urai (Kelantan).

Seperti yang ditegaskan oleh Pe­ngerusi BN, Najib Tun Razak, PRU14 hanya akan berlangsung pada tahun 2018. PRU itu perlu diadakan selewat-lewatnya akhir Ogos 2018 selepas mengambil kira Mesyuarat Pertama Penggal Pertama Parlimen ke-13 yang diadakan pada 24 Jun 2013. Jika tempoh itu diambil kira, maka perjalanan ke PRU masih berbaki sekurang-kurangnya 30 bulan lagi. Masih terlalu jauh kecuali berlaku keadaan sebaliknya. Dalam tem­­poh itu, parti-parti politik ber­usaha mengukuhkan perpaduan parti. UMNO sendiri menangguhkan pemilihan selama 18 bulan selepas ia sepatutnya berlangsung pada tahun hadapan, 2016.

Tidak pasti sama ada keputusan ini akan kekal atau sebaliknya kerana situasi politik yang melanda parti itu sendiri apabila orang No. 2 dalam parti kini berada di luar kerajaan, tidak seperti kelazimannya, orang No. 2 dalam parti juga merupakan No.2 di dalam kerajaan. Menyelak kembali situasi politik UMNO ini, si­tuasi yang sama pernah berlaku ketika era kepemimpinan Dr. Mahathir Mohamad pada tahun 1986 apabila Ghafar Baba menggantikan Musa Hitam sebagai Timbalan Perdana Menteri. Musa kekal sebagai Timbalan Presiden UMNO selama setahun sehinggalah beliau tewas kepada Ghafar dalam pemilihan yang diadakan pada April 1987. Selepas peralihan itu, PRU berlangsung pada 21 Oktober 1990. Begitulah yang berlaku pada masa lalu. Perkara yang sama dijangka berulang. Mungkin masih terlalu awal untuk memperkatakan tentang isu ini tetapi apa yang berlaku hari ini, hampir semua parti politik masih dalam keadaan gawat atau berjerebu.

Ada parti politik yang nampak gawat di peringkat pemimpin tetapi kesetiaan anggotanya tidak berganjak, iaitu terus memberi keyakinan kepada parti. Ada juga parti yang gawat melibatkan pemimpin serta anggota parti. Begitu juga parti yang gawat dengan kepemimpinan tetapi di akar umbinya masih samar-samar sokongan yang diberi atau berbelah-bahagi. Berhubung situasi ini, semalam, Najib juga menggesa parti-parti komponen BN mengukuhkan perpaduan dengan menghentikan pertelingkahan dalaman. Fokus kepada usaha memperkukuhkan parti sebelum PRU akan datang. Dalam tempoh menjelang PRU14, MIC sedang melakukan peralihan dalam barisan kepemimpinannya. Adakah selepas peralihan itu, tidak timbul lagi masalah dalaman MIC yang boleh menjejaskan peluang BN? Mampukah kepemimpinan baharu yang diterajui S.Subramaniam memulihkan keyakinan pengundi terhadap MIC? Tunggu dan lihat. Bagi MCA pula, kata Najib, sudah ada kepemimpinan baharu yang menyaksikan hubungan di antara Pre­siden dan Timbalan Presiden cukup baik. Gerakan juga nampaknya tidak menghadapi masalah selepas peralihan yang berlaku pada Oktober 2013 dengan Mah Siew Keong sebagai Presiden yang bakal tamat tempoh pada 2016. Bagaimana pula dengan kepemimpinan UMNO?

Di pihak pembangkang juga berlaku kegawatan apabila pakatan melibatkan 3P iaitu DAP, Pas dan PKR berpecah. Pakatan 3P dimatikan. Kenderaan baharu terpaksa dicari bagi menggantikan 3P. Akhirnya Pas terkeluar daripada pakatan baharu yang terdiri daripada DAP, PKR dan Amanah. DAP menolak Pas. Begitu juga sebaliknya. Mereka tidak mampu bersama. Pas juga tidak akan bersama Amanah yang dipimpin oleh sebahagian kecil bekas pemimpin Pas yang dianggap ‘mengkhianati’ perjuangan parti itu. Adakah Pas akan bersendirian pada PRU akan datang? Timbul persoalan sama ada PKR bersedia tanpa sokongan Pas yang terbukti banyak membantu parti itu serta sekutunya DAP dalam PRU lalu. Jasa Pas bagi me­numbangkan calon-calon UMNO dan BN pada beberapa PRU lalu tidak dapat ditolak ke tepi.

Sokongan Pas sebelum ini telah membawa kejayaan pembangkang di Kedah, Pulau Pinang, Perak, Terengganu dan Selangor. Memang benar kata Najib semalam, arah tuju pembangkang adalah berjerebu berbanding BN yang mempunyai pelan tindakan yang jelas untuk masa depan negara. Persoalannya adakah jerebu akan terus kekal, tidak akan hilang? Di pihak BN, seperti kata Najib: “Kita mungkin tidak sempurna, tetapi kita jauh lebih baik daripada alternatif itu, dan itulah sebabnya mengapa anda perlu percaya kepada BN. Kita boleh mencipta masa depan dengan berusaha melakukannya bersama-sama hari ini. Kita boleh mencipta masa depan kita dan masa depan itu adalah melalui BN”

Pakatan pembangkang telah pun membentuk Pakatan Harapan hasil Sidang Meja Bulat Pakatan 2.0 pada 22 September lalu tanpa kehadiran Pas. Pakatan Harapan kekal dengan pendirian Anwar Ibrahim sebagai calon Perdana Menteri sekiranya pakatan itu menang. Matlamat pakatan untuk menumbangkan BN. Semalam, PKR dalam mesyuarat khas pimpinan partinya masih menaruh harapan untuk melihat Pas bersama Pakatan Harapan. Tanpa penyertaan Pas dalam pakatan itu, sudah tentu PRU14 akan menyaksikan perebutan kerusi yang lebih menarik. Sebelum ini, hasil kesepakatan pakatan pembangkang, rebutan dua penjuru berlaku di hampir semua kawasan.

Adakah Pakatan Harapan akan menyerahkan semua kerusi yang pernah ditandingi Pas sebelum ini kepada Amanah? Berdasarkan situa­si semasa, Pas tentunya tidak akan berkompromi dengan Amanah berhubung kerusi Parlimen yang dimenangi oleh tujuh bekas anggotanya. Kerusi itu ialah Kuala Krai (Dr. Mohd Hatta Ramli); Kuala Terengganu (Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad); Parit Buntar (Dr. Mujahid Yusof Rawa); Shah Alam (Khalid Samad); Kota Raja (Dr. Siti Mariah Mahmud) dan Sepang (Mohamed Hanipa Maidin). Begitu juga dengan kerusi yang kini ‘berpindah tangan’ kepada PKR iaitu Tumpat yang dimenangi oleh Kamaruddin Jaafar atas tiket Pas sejak PRU 1999. Mungkin bagi Kamaruddin, kerusi bukan satu masalah baginya jika bertan­ding atas tiket PKR.

Pada masa yang sama, jika PKR masih mengharapkan Pas, adakah PKR bersedia mengorbankan kerusi yang pernah ditandinginya kepada calon-calon Amanah? Dalam situasi ini, Pakatan Harapan tentunya mengharapkan Pas berubah fikiran menjelang PRU14 supaya jerebu politik dapat dikurangkan. Di dalam politik, tidak ada yang mustahil. Segala kemungkinan boleh berlaku.