ANWAR IBRAHIM
ANWAR IBRAHIM 

Apakah Port Dickson akan menjadi pilihan bertuah yang akhirnya akan membolehkan cita-cita Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri akan tercapai?

Port Dickson merupakan pilihan raya kecil ketiga (PRK) yang dicipta untuk membolehkan Anwar memegang jawatan tinggi dalam Kerajaan Pusat ataupun kerajaan negeri. Kita masih ingat, pada Julai 2008, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail meletak jawatan sebagai Ahli Parlimen Permatang Pauh bagi memberi laluan kepada suaminya, Anwar untuk bertanding dalam Pilihan Raya Kecil di kerusi Parlimen tersebut. Ini juga bertujuaan untuk membuka peluang beliau menjadi Perdana Menteri ketika itu sepertimana yang diuar-uarkan bahawa parti mereka mempunyai ‘cukup kerusi’ untuk membentuk kerajaan pada 16 September 2008 dan menjatuhkan Perdana Menteri ketika itu Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Sekali lagi pada Mac 2014, tiba-tiba sahaja ‘Langkah Kajang’ menjelma apabila ADUN Kajang daripada PKR, Lee Chin Cheh meletak jawatan untuk memberi peluang kepada Anwar bertanding di DUN Kajang dan seterusnya menjadikan beliau sebagai Menteri Besar baharu.

Namun sekali lagi takdir menentukan segala-galanya. Bukan sahaja Anwar tidak dapat masuk ke rumah Menteri Besar malahan beliau terdampar di Penjara Kajang.

Ramai yang terkejut dengan pemilihan Port Dickson dan kesanggupan Ahli Parlimennya, Daniyal Balagobal untuk meletakkan jawatan. Walaupun sebelumnya terdapat beberapa Ahli Parlimen telah menawarkan kerusi mereka bagi memberi laluan kepada Anwar seperti Ahli Parlimen Selayang, Ahli Parlimen Sungai Petani dan Ahli Parlimen Sungai Siput. Persoalannya kenapakah Port Dickson yang dipilih?

Awang mendengar cerita bahawa Selayang dan Sungai Petani tidak dipilih kerana kedua-dua negeri ini dipimpin oleh Menteri Besar yang dikatakan tidak sehaluan dengan Anwar. Menteri Besar Selangor, Amirudin walaupun di bawah pimpinan parti PKR namun beliau lebih berkiblatkan kepada Azmin Ali berbanding Anwar. Apatah lagi Negeri Kedah yang dipimpin oleh Mukhriz, anak kepada Tun Mahathir.

Jika dibandingkan dengan Port Dickson di bawah Kerajaan Negeri Sembilan, pimpinan Menteri Besar iaitu Aminuddin Harun daripada PKR, beliau dilihat amat setia dengan Anwar dan lebih mudah untuk membantu kempen Anwar nanti.

Pemilihan Port Dickson juga memberi kejutan kepada ramai pimpinan kanan dalam PKR dan yang lebih peliknya kebanyakan pemimpin ini dilihat cukup rapat dengan Azmin. Komen-komen terbuka daripada Zuraida Kamaruddin, Tian Chua, dan Latheefa Koya terang-terang memberi persepsi bahawa hubungan Anwar dan Azmin sudah ada keretakan.

Apakah anak didik Anwar yang sungguh setia selama ini kini akan menjadi penghalang laluan Anwar menuju ke Seri Perdana?

Awang mendoakan Langkah PD kali ini akan membawa Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri kerana rakyat sudah pun bersetuju untuk Anwar menggantikan Tun Mahathir selepas ini. Kemenangan Pakatan Harapan (PH) pada PRU-14 lalu juga adalah berteraskan perjanjian bersama PH bahawa Tun Mahathir akan menjadi Perdana Menteri seketika sebelum digantikan dengan Anwar.

Awang amat berharap impian rakyat ini tidak akan dikhianati oleh Tun Mahathir ataupun mana-mana pemimpin lain yang cuba ‘menangguk di air keruh’.

TANPA PENCABAR

KEPUTUSAN MIC untuk tidak bertanding dilihat satu keputusan yang baik walaupun ada nada rasa tidak puas hati oleh Presiden MIC terhadap beberapa kenyataan konon-kononnya UMNO mahu bertanding di kawasan ‘milik’ mereka.

Suara itu juga sekali lagi membuktikan bahawa kepimpinan UMNO dalam Barisan Nasional (BN) sudah tidak dihormati oleh rakan-rakan dalam komponen yang lain. MCA sebelum ini terang-terang bertanding di DUN Balakong dengan menggunakan nama dan logo MCA sahaja dan kali ini MIC pula terang-terang tidak akan masuk campur dan mahu berkecuali daripada Pilihan Raya Kecil Port Dickson. Kenyataan Presiden MIC yang meminta pengundi di Port Dickson, terutamanya pengundi India untuk membuat keputusan terbaik untuk masa depan mereka seoalah-olah tidak menyokong jika UMNO meletakkan calon di PD.

Mungkin sudah tiba masa sekiranya UMNO bertanding dengan menggunakan lambang parti UMNO sendiri pada PRK Port Dickson kali ini, ia memberi gambaran seolah-olah tidak ada BN selepas ini.

Port Dickson merupakan kawasan yang paling sesuai untuk membuktikan bahawa UMNO diterima oleh semua bangsa dalam Malaysia. Dengan komposisi pengundi iaitu 43 peratus pengundi Melayu, 33 peratus Cina, 22 peratus India dan kaum- kaum lain sebanyak dua peratus, keseimbangan kaum di Port Dickson mungkin boleh dijadikan kawasan untuk UMNO membuktikan mereka relevan untuk rakyat Malaysia.

Jika sebelum ini ramai pemimpin UMNO merasakan orang India membenci MIC, ramai orang Cina tidak senang dengan MCA, maka inilah masanya untuk UMNO menguji bahawa sama ada mereka sebenarnya diterima oleh kaum lain atau tidak.

Namun bagi Awang, yang terbaik biarlah Anwar menang tanpa bertanding kerana pilihan raya ini hanya merupakan satu proses untuk meletakkan beliau sebagai Ahli Parlimen dan seterusnya untuk menjadi Perdana Menteri kelak. Seperti Awang katakan rakyat memilih Pakatan Harapan dengan harapan Anwar akan menjadi Perdana Menteri selepas Tun Mahathir.

Walau bagaimanapun, Awang ingin memetik kata-kata Anwar ketika sesi wawancara bersama Mingguan Malaysia tempoh hari, sama ada beliau menjadi Perdana Menteri atau tidak, terserah kepada ketentuan Allah. Apa pun kita rujuk firman Allah yang bermaksud: “Dan mereka merancang, Allah juga merancang, dan Allah adalah sebaik-baik perancangan” (Surah al-Imran: ayat 54).

TAHNIAH KEDAH

AWANG amat bersetuju ialah keputusan Kerajaan Negeri Kedah menghentikan aktiviti pembalakan serta membatalkan serta-merta lesen pembalakan di Hutan Simpan Ulu Muda.

Tahniah dan terima kasih kepada Menteri Besar Datuk Seri Mukhriz Mahathir dan Kerajaan Pakatan Harapan di atas keberanian ini.

Pembalakan di Kedah terutamanya di Hutan Simpan Ulu Muda dan Gunung Inas merupakan faktor yang bukan sahaja merosakkan kawasan tadahan air malahan mendatangkan pencemaran alam sekitar dan gangguan kepada ekosistem.

Pembalakan sering dikaitkan dengan isu rasuah dan salah guna kuasa oleh pihak tertentu sehingga muncul lebih banyak pembalak haram. Kegagalan penguatkuasaan seperti Jabatan Hutan, Pejabat Tanah dan Galian, Jabatan Perparitan dan Saliran merupakan penyumbang besar kebencian rakyat kepada kerajaan Barisan Nasional dan kerajaan Pas di negeri Kedah satu masa dahulu.

Kepincangan yang berlaku dalam isu pembalakan ini dicemarkan lagi dengan suara-suara mendakwa konsesi balak ini dimiliki oleh orang tertentu yang ada hubungan dengan pihak istana dan juga pemimpin besar negara.

Jika benar apa yang diperkatakan, komitmen besar perlu dimainkan oleh semua pihak bagi mengatasi kerakusan pihak yang berkepentingan ini daripada terus menggondol hutan-hutan yang masih ada.

Awang amat bersyukur kerana pembatalan ini akan membolehkan Hutan Simpan Ulu Muda yang mempunyai keluasan kira-kira 100,000 hektar dapat terus berfungsi sebagai kawasan tadahan air bagi empangan Ahning, Pedu dan Muda di Kedah dan dimanfaatkan oleh rakyat negeri ini, serta Perlis dan Pulau Pinang yang membabitkan lebih 4 juta orang.

Awang juga berharap Kerajaan Pusat akan meneruskan insentif yang sama kepada negeri Kelantan, Pahang dan Perak supaya aktiviti pembalakan tanpa kebenaran ini dapat dihentikan dengan serta-merta.

Seperti isu masyarakat Orang Asli suku Temiar di Gua Musang tentang tuntutan tanah adat mereka daripada Kerajaan Negeri Kelantan serta bantahan terhadap kegiatan pembalakan, perlombongan dan perladangan Durian Musang King, Awang pasti rakyat mahukan penyelesaian segera dapat dilakukan dan pastinya Kerajaan Pusat dan negeri dapat bekerjasama dalam hal ini.

SELAMAT HARI MALAYSIA KE-55

HARI ini genap usia Malaysia yang ke-55 tahun. Dengan gabungan daripada Sabah, Sarawak dan Malaya pada tahun 1963, Malaysia terus bergerak maju dan pesat membangun.

Awang amat kagum apabila Malaysia adalah seangkatan dengan tujuh negara lain iaitu China, Hong Kong, Indonesia, Singapura, Korea Selatan dan Thailand yang mencatat prestasi yang meningkat dalam Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK). Selama 50 tahun, KDNK negara kita melebihi 3.5 peratus manakala dalam tempoh lebih 20 tahun, unjuran tahunan KDNK ialah lebih 5 peratus.

Sudah semestinya kejayaan ini adalah komitmen daripada semua pihak sama ada perancangan kepimpinan atasan, komitmen penterjemah polisi dan juga sokongan rakyat jelata.

Walaupun kita tidak boleh lari daripada pelbagai masalah, rasa ketidakpuasan antara kumpulan etnik Melayu, Cina, India, pribumi Sabah dan Sarawak serta pelbagai masalah sosial lain, namun kita mesti berbangga kerana kita mampu melangkah jauh lebih baik daripada wajah Malaysia ketika tahun 1963 dulu.

Maka dengan semangat ‘baldatun thayyibatun wa rabbun ghafur’, Awang ingin mengajak marilah kita sama-sama melakar suatu harapan baru untuk membina Bangsa Malaysia yang berteraskan perpaduan dalam kepelbagaian kerana itulah yang menjadi asas kekuatan negara kita. 

- 55 Tahun Mendepani Kepelbagaian.

Awang Selamat