Pengumuman itu telah berjaya mengekang pelbagai persepsi negatif mengenai kedudukan institusi Islam yang sebelum ini dianggap berada dalam persimpangan politik semasa. Ada pihak melontarkan cadangan institusi Islam yang tertentu dimansuh, dikembalikan kepada bidang kuasa negeri kerana tidak berperlembagaan, dan lebih menyedihkan apabila orang Islam sendiri mempertikaikan peranannya.

Institusi-institusi Islam pernah dilabelkan tidak bertoleransi apabila menguatkuasakan peraturan Syariah (menangkap pasangan berkhalwat, merampas penerbitan yang isi kandungan bertentangan prinsip Ahli Sunnah Wal Jamaah dan penguatkuasaan penggunaan logo halal), melanggar prinsip kebebasan dan hak asasi (pengharaman aktiviti LBGT), menyekat ceramah agama tanpa tauliah, tidak menyokong pementasan konsert hiburan yang menjolok mata dan bertentangan dengan akidah serta menghabiskan wang pembayar cukai setiap tahun hanya untuk kepentingan segelintir umat Islam.

Institusi-institusi Islam juga dilihat kurang mencapai kejayaan walaupun matlamat penubuhannya adalah baik dan jelas. Ini disebabkan kemunduran jihad intelektual dalam kalangan pelaksana dasar, sikap acuh tak acuh elit agama menegur pemerintah yang terbabit dalam pelbagai tindakan rasuah, salah guna kuasa dan aktiviti kepartian sehingga dilihat sedikit sebanyak menjejaskan kredibiliti untuk memupuk nilai-nilai kehidupan yang mulia dan keharmonian antara pelbagai aliran pemikiran Islam itu sendiri.

Sejak cadangan Jawatankuasa Tertinggi Institusi Hal Ehwal Islam itu dikeluarkan, tidak lagi kedengaran rungutan pihak-pihak yang pernah mengeluarkan kenyataan sinis terhadap institusi-institusi Islam apabila ia diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-Raja sebagaimana diperuntukkan dalam Perkara 38, Perlembagaan Persekutuan.

Yang di-Pertuan Agong adalah ketua agama Islam bagi negeri-negeri yang tidak mempunyai Raja atau Sultan manakala Raja atau Sultan ke atas sembilan negeri Melayu yang lain (Kelantan, Terengganu, Pahang, Kedah, Perlis, Johor, Negeri Sembilan, Selangor dan Perak), iaitu berdasarkan Perkara 3(2) dan (5) Perlembagaan Persekutuan.

Terma rujukan jawatankuasa tertinggi itu secara ringkasnya menyebut ‘mengkaji kedudukan pengurusan hal ehwal Islam pada peringkat Persekutuan, latar belakang penubuhan, bidang kuasa, serta keberkesanan agensi agama yang ada termasuk agensi perundangan dan penghakiman Syariah di peringkat Persekutuan.'

Sebelum ini timbul pelbagai kemelut mengenai perundangan Syariah. Pada 2016, cadangan pindaan terhadap Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah 1965) atau dikenali Akta 355 menerima bantahan daripada pelbagai pihak termasuk aktivis masyarakat, parti politik, orang perseorangan dan sebahagian kecil umat Islam sendiri apabila had hukuman dan maksimum denda disyorkan ditingkatkan bagi memperkasakan Mahkamah Syariah dalam pengawalan moral umat Islam.

Dari segi konsep, perkataan ‘tertinggi’ dalam nama jawatankuasa itu begitu signifikan sekali dengan kedudukan institusi beraja melalui Majlis Raja-Raja yang dianggotai Sultan dan Raja selaku ketua Agama Islam negeri masing-masing. Yang di-Pertuan Agong memiliki kuasa ‘budi bicara’ yang tertinggi dan mengatasi kuasa eksekutif.

Persaingan kuasa

Jawatankuasa tertinggi diketuai oleh bekas Ketua Setiausaha Negara, Tun Ahmad Sarji dan timbalannya Felo Pusat Kajian Islam Universsiti Oxford, Datuk Dr. Afifi al-Akiti dengan ahli; bekas Rektor Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Prof. Emeritus Tan Sri Dr. Mohd Kamal Hassan; bekas Mufti Johor, Datuk Nooh Gadot; dan bekas Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Wan Mohamad Datuk Sheikh Abdul Aziz.

Jawatatankuasa ini diberi tempoh selama lima bulan untuk mengkaji dan memberikan cadangan bagi mereformasikan institusi Islam kepada Majlis Raja-Raja untuk dipertimbangkan atau dilaksanakan.

Dengan penubuhan Jawatankuasa Tertinggi itu masyarakat tidak seharusnya melihat ia sebagai satu bentuk ‘persaingan kuasa’ antara kerajaan dengan Raja-Raja Melayu. Asas itu sebenarnya terkandung dalam manifesto Pakatan Harapan (PH) ketika berkempen dalam PRU ke-14.

Manifesto PH dengan jelas menyebut, kerajaan PH akan memastikan bahawa ‘kuasa Raja-Raja Melayu dalam mentadbir agama dan adat istiadat Melayu akan dikembalikan ke negeri dan campur tangan Kerajaan Pusat akan dihentikan’.

Secara mudahnya, ia boleh ditafsirkan sebagai hasrat untuk menamatkan atau sekurang-kurangnya mengecilkan peranan Kerajaan Persekutuan dalam urusan agama Islam. Tindakan ini dianggap sebagai langkah berhati-hati kerajaan untuk tidak merugikan rakyat dan membangkit persepsi negatif lebih besar terhadap kedudukan institusi Islam di Malaysia terutama kelompok konservatif mahupun radikal.

Hasratnya adalah untuk melihat adanya sinergi yang mantap antara kerajaan dan raja-raja dalam pengamalan yang syumul dalam kehidupan bernegara dan selari dengan tuntutan Islam sebagai pembawa rahmat kepada semua manusia dan kehidupan sejagat.

Apabila kuasa hal ehwal Islam dipulangkan kepada Majlis Raja-Raja, sebarang keputusan dasar yang dibuat tidak lagi menjadi pertikaian pihak-pihak berkepentingan. Sebarang bentuk penolakan terhadapnya boleh didakwa tidak akur dengan keputusan tertinggi mengenai pengurusan hal ehwal Islam. Tetapi, ia tidak bermakna, keputusannya adalah sesuatu yang boleh ditafsirkan rigid kecuali dalam perkara-perkara yang berkaitan prinsip akidah.

Dasar yang berkaitan ‘kitaran hidup atau muamalah’ boleh dipinda asalkan asasnya ialah menjamin kemaslahatan setiap orang, Islam dan bukan Islam berdasarkan prinsip tidak menggunakan kebebasan dan hak asasi untuk melanggar hak dan kebebasan orang lain serta mencabar akidah Islam.

Cabaran utama yang mungkin perlu diberikan perhatian oleh Jawatankuasa Tertinggi ini adalah bagaimana untuk mengharmonikan secara berkesan dan optimum mengenai dua kategori institusi Islam berdasar punca kuasa.

Di bawah Majlis Raja-Raja ditubuhkan Majlis Kebangsaan Hal Ehwal Islam (dicadangkan pada 17 Oktober 1968 dan dirasmikan pada 1 Julai 1969) yang kemudiannya berkembang menjadi Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, yang diletakkan di bawah Jabatan Perdana Menteri dan institusi-institusi Agama Negeri, manakala satu lagi ialah institusi-institusi Islam yang ditubuhkan menerusi Akta Syarikat, Akta Pemegang Amanah (Perbadanan) 1952 dan Akta Pertubuhan.

Kesemua institusi Islam ini mempunyai visi dan misi yang berbeza. Istitusi Islam yang ditubuhkan oleh kerajaan lebih menumpukan peranan kepada legaliti kedudukan agama Islam manakala institusi yang ditubuhkan berdasarkan Akta Syarikat membawa mesej yang jelas untuk meningkatkan tahap ekonomi.

Manakala institusi yang ditubuhkan menerusi Akta Pemegang Amanah (Perbadanan) atau dikenali sebagai yayasan ia lebih bersifat menjaga kebajikan atau sosial umat Islam.

Institusi yang ditubuhkan menerusi Akta Pertubuhan ada ketikanya menampakkan realiti sosio-politik tertentu sehingga wujud situasi kurang harmoni antara kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), kebiasaannya ia bergantung kepada aliran pemikiran digagas pengasasnya.

Ada ketikanya wujud ‘persaingan’ yang kurang sihat antara NGO hanya kerana masing-masing berusaha ‘menarik benang merah’ akibat tafsiran falsafah dan aksiom aliran pemikiran atau kecenderungan politik tertentu sehingga mengetepikan etika Islam terhadap kepentingan memperkukuhkan jemaah.

Perakuan-perakaun yang terkandung dalam laporan Jawatankuasa Tertinggi itu nanti diharap dapat memformulakan sinergi antara institusi Islam agar dapat bergerak serentak dan saling bekerjasama memartabatkan Islam.

Hasilnya nanti, Islam bukan sahaja dilestarikan bahkan mampu menyantuni pelbagai dimensi kehidupan dalam persekitaran masyarakat majmuk yang saling memahami, dan dapat mengekang radikalisme politik.

Langkah berani ini memperlihatkan kesungguhan raja-raja buat pertama kalinya dalam sejarah Malaysia memikul tanggungjawab pengurusan hal ehwal Islam tanpa terlalu bergantung kepada institusi pentadbiran yang dinaungi oleh parti politik tertentu.

Ia boleh dilaksanakan menerusi gabungan kuasa Raja-raja sebagai ketua agama Islam di negeri dan Wilayah Persekutuan tanpa bergantung sepenuhnya kepada institusi pentadbiran naungan Kabinet.

Penulis adalah Pengarah Kanan, Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim)