Keputusan itu disambut baik oleh pelbagai pihak termasuklah Pakar Perlembagaan Persekutuan, Tan Sri Abdul Aziz Abdul Rahman yang sebelum ini menyifatkan penyokong ICERD sebagai orang gila.
Kepada wartawan Mingguan Malaysia, SYUKRI SHAARI , ABDUL AZIZ berkongsi pandangan mengenai langkah kerajaan itu.

 

MINGGUAN: Komen Tan Sri mengenai keputusan kerajaan yang tidak akan meratifikasi ICERD?

ABDUL AZIZ: Kerajaan sudah buat keputusan dan wajar patuh. Lebih-lebih lagi keputusan itu bukanlah sesuatu yang salah, tetapi pendirian sangat tepat oleh kerajaan.

Adakah disebabkan bantahan yang disuarakan orang Melayu dan Islam mendorong kepada keputusan ini?

ABDUL AZIZ: Boleh jadi sebab kalau kita lihat sememangnya orang Melayu dan Islam menolak ratifikasi. Lagipun undang-undang Malaysia tidak ‘membenarkan’, dari segi politik juga tidak boleh.

Ratifikasi ICERD ini satu perkara yang besar. Tidak boleh laksanakan, hanya akan cetuskan huru-hara, orang Melayu akan marah.

Adakah Tan Sri menjangkakan pelobi ICERD membawa perkara ini ke peringkat antarabangsa untuk menekan Malaysia?

ABDUL AZIZ: Memang mereka boleh bawa tetapi tidak boleh buat apa-apa kerana kita ada hak untuk tidak ratifikasi. Ini saya mahu tegaskan, ada pihak konon kata sokong laksana ICERD tetapi bersyarat supaya tidak gugat Perlembagaan Persekutuan, sedangkan terang-terangan bertentangan dengan Perkara 8 (2). Itu semua mengarut!

Tan Sri sebelum ini menyifatkan golongan yang menyokong ICERD ini sebagai orang gila. Mengapa?

ABDUL AZIZ: Memang betul mereka orang gila, sebab tidak baca Perkara 8 (2) Perlembagaan Persekutuan yang menyentuh soal kesamarataan. Kita memang menghormati kesamarataan pelbagai kaum, tetapi dengan pengecualian yang telah disebut dalam Perlembagaan Persekutuan seperti Perkara 153, 152.

Tiba-tiba mahu bawa masuk konvensyen antarabangsa yang perjuang sama-rata, sedangkan perkara itu sudah ada dalam Perlembagaan Persekutuan. Sudah tentu bertentangan.

Apakah nasihat Tan Sri kepada golongan yang sibuk melobi untuk ratifikasi konvensyen antarabangsa ini?

ABDUL AZIZ: Komitmen untuk ratifikasi itu sendiri sudah merupakan satu kesilapan bagi mereka kerana terang-terangan tidak boleh dilakukan di Malaysia.

Kini, kerajaan sudah sedar mengenainya dan tahniah kerana sanggup tarik balik komitmen.