Perlumbaan yang pertama kali diadakan di tengah-tengah ibu kota itu menampilkan pelbagai siri perlumbaan seperti Lamborghini Super Cup, Formula Masters, Porsche Carrera Cup dan Audi R8 LMS Cup selain demonstrasi lima pasukan terbaik siri Supercars V8.

Mungkin ada pihak yang berpendapat mengadakan perlumbaan sebegitu di tengah-tengah bandar yang lazimnya sesak dengan kenderaan adalah sesuatu yang tidak masuk akal, namun tanggapan tersebut nyata silap.

Bukan sahaja penonton yang berpeluang menyaksikannya malah bagi pengunjung luar negara sudah pasti situasi pada kali ini memberikan sedikit kelainan apabila mereka berpeluang melihat perlumbaan tersebut sambil membeli-belah di kawasan sekitar.

Menurut Pengerusi GT Global Race, Tunku Naquiyuddin Tunku Ja’afar beliau berasa yakin perlumbaan tersebut dapat menambat hati pengunjung tempatan terutamanya, walaupun ia pertama kali diadakan di negara ini.

“Ini merupakan tahun pertama bagi tempoh lima tahun untuk tempoh penganjuran perlumbaan ini dan sekiranya mendapat sambutan kami akan menandatangani kontrak perjanjian untuk lima tahun seterusnya.

“Saya yakin perlumbaan ini akan terus mendapat sambutan pada tahun yang mendatang kerana sekiranya negara kita diberikan pendedahan secara global, sudah pasti pihak penaja tertarik untuk melabur dalam perlumbaan ini.

“Kalau di Litar Sepang mungkin penonton sahaja boleh menyaks­ikannya namun untuk Grand Prix KL pengunjung yang membeli belah di sekitar ibu negara turut berpeluang menonton perlumbaan ini.

“Ini adalah perlumbaan jalanan, sudah pasti penduduk yang tinggal di kawasan berhampiran turut teruja menyaksikannya. Saya yakin kita mampu memenuhi sasaran 100,000 penonton yang akan hadir pada hari sebenar perlumbaan.

“Dari segi pengangkutan saya tidak fikir ia satu halangan kepada warga tempatan untuk hadir menyaksikannya kerana mereka masih mempunyai alternatif lain seperti Monorel dan terminal Transit Aliran Ringan (LRT) yang terletak di kawasan sekitar,” katanya.

Malah, bekas pemandu Formula Satu (F1) negara, Alex Yoong secara terbuka turut menyatakan sokongan agar Grand Prix KL City perlu diterus diadakan kerana ia mampu memberi keuntungan kepada warga tempatan khususnya di sektor perniagaan.

“Secara peribadi perlumbaan jalanan adalah berbeza dengan perlumbaan di litar kerana peminat dapat melihat jentera dengan lebih dekat dan sudah pasti ia sangat mengujakan malah saya sendiri pernah berlumba di dalam bandar seperti di Singapura, China, Australia serta Amerika Syarikat dan ia sangat menghiburkan.

“Bagi saya tahun pertama sudah pasti sangat mencabar kepada pihak penganjur dalam menjayakan perlumbaan ini namun sebagai rakyat kita sepatutnya memberi ruang kepada mereka dan perlu banyak bersabar.

“Lihat Macau, mereka sudah mengadakan perlumbaan dalam bandar selama 61 tahun dan hasilnya sangat lumayan terutamanya kepada peniaga tempatan kerana ia membuka ruang lebih besar kepada mereka ketika hari perlumbaan,” katanya.