Sering disebutkan kita bekerja kerana Allah. Kita menuntut ilmu kerana Allah, beribadah kerana Allah, berjuang kerana Allah, berdakwah kerana Allah dan bersedekah kerana Allah. Semuanya itu membawa natijah keikhlasan. Apabila semua yang dilakukan itu terhubung dengan Allah, kita yakin bahawa Allah tahu niat kita. Ini menjadikan kita orang yang jujur dan amanah apabila segala sesuatu itu disandarkan kepada Allah.

Memiliki sifat kerana Allah ini adalah sebaik-baik sifat yang diredai Allah. Sesuatu yang difikirkan, amalkan, lakukan, janjikan bersandar dengan resam kerana Allah, ia tidak saja membawa kebaikan kepada kita tetapi juga orang lain. Hubungan menegak kita dengan Allah menjadikan kita manusia yang memiliki sifat insaf-ketuhanan yang tinggi. Insaf-ketuhanan ini menjadi faktor penting bagi seseorang manusia kerana mengingati Allah bermakna kita yakin Allah mengetahui setiap apa yang dilakukan. Sekiranya yang kita lakukan itu dalam insaf-ketuhanan yang tinggi, kita cuba untuk tidak melakukan dosa, menghindarkan yang haram, tidak melakukan fitnah dan dusta dan hikmahnya tidak saja kembali kepada kita tetapi juga terhadap orang lain.

Ini membenihkan sifat ketaatan yang tinggi kepada Allah. Darinya kita mempunyai kawalan dalaman yang kuat untuk menghindari hal-hal yang mungkar dan terlarang.

Bayangkan manusia yang tidak ada ikatan dengan Allah, akan melakukan apa saja yang dikehendakinya tanpa ada pertimbangan dosa pahala, halal dan haram seolah-olah merasakan Allah tidak nampak dan mengetahui niat dan apa saja yang dilakukannya.

Keyakinan kita kepada Allah sebagai pendinding daripada melakukan perkara-perkara keji dan mungkar ke­rana ia berdosa dan menyebabkan kita berada dalam kea­daan rugi. Meski manusia itu memiliki sifat lupa dan lalai tetapi ajaran Islam menganjurkan kita mengingati Allah, bersyukur kepada-Nya, insaf akan dosa pahala dan tahu akan syurga dan neraka.

Solat umpamanya mendidik diri supaya mempunyai jiwa rukuk dan sujud dan memiliki sifat kehambaan yang tinggi. Ia membawa amalan taat, patuh dan tunduk kepada suruhan dan larangan Allah. Puasa kita lalui sebagai tarbiah rohaniah mendidik nafsu dan hati supaya ianya terkawal dan terarah atas amalan yang baik.

Umrah dan haji yang kita sempurnakan membina semula sifat fitrah insani supaya kita menginsafi tawaf mengelilingi Kaabah umpamanya mendekatkan diri de­ngan Allah supaya kita ini kembali kepada fitrah diri untuk mendapat Haji Mabrur. Kemabruran haji mengembalikan kita sebagai insan soleh dan solehah bagi melakukan kemakrufan dalam hidup ini.

Menyebut melakukan sesuatu kerana Allah memang mudah. Tetapi melaksanakan sifat ikhlas itu sesuatu yang payah. Manusia mudah tertarik dengan pujian dan sanjungan, memperagakan diri dan ego selalu. Faktor dunia sering dijadikan ukuran tetapi faktor ukhrawi sering dilupakan.

Sifat ikhlas itu kembali kepada hati. Hati yang dipupuk dengan insaf-ketuhanan yang tinggi sentiasa mengaitkan niat, percakapan, perbuatan dengan Allah. Hubungan menegak manusia dengan Khaliqnya sentiasa menjadi barometer atau kayu ukur menentukan sesuatu bernilai ibadah atau sebaliknya.

Niat dalam melakukan sesuatu perkara mesti ikhlas. Tanpa keikhlasan sesuatu dilakukan kerana maksud duniawi atau nafsu nafsi. Matlamat dalam melakukan sesuatu mesti tidak bercanggah dengan syariat supaya ia diterima Allah. Hikmahnya adalah untuk kebaikan manusia juga.

Sekiranya proses melakukan sesuatu sentiasa me­ngambil pertimbangan kerana Allah kesannya membawa barakah kepada kita. Natijah akhirnya niat yang terpancar, matlamat yang dituju, proses dalam melaksanakannya atas landasan kerana Allah, bakal memberikan akibat baik terhadap pelaku dan umat manusia lain.

Prof. Datuk Dr. Sidek Baba ialah Dekan, Institut Antarabangsa Tamadun Melayu dan Islam, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).