Berdasarkan perangkaan Jaba­tan Pendaftaran Negara (JPN) terdapat lebih 18 juta warganegara Malaysia berumur 21 tahun ke atas yang layak mengundi dan mengikut rekod Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pula bagi suku ketiga 2016, hanya seramai 14,079,751 orang rakyat Malaysia telah mendaftarkan diri sebagai pe­ngundi.

Ini bermakna seramai 4,060,399 rakyat Malaysia yang layak mengundi dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) didapati masih belum mendaftarkan diri sebagai pengundi. Jelas jumlah ini adalah sesuatu yang cukup serius dan tidak sepatutnya berlaku.

Situasi ini menunjukkan masih ramai rakyat negara ini bersikap sambil lewa, tidak peduli dan leka. Walaupun masing-masing menye­dari kepentingan untuk mendaftar sebagai pengundi sekali gus me­nunaikan tanggungjawab ketika pilihan raya namun kelompok ini masih degil dan tidak ambil serius perkara ini. Hal ini kerana penulis cukup yakin dengan segala kempen kesedaran yang dilaksanakan dan peluang pendaftaran yang disediakan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) selama ini. Agak mustahil jika masih ada yang mengatakan tidak tahu kepenting­an mendaftar mahupun meru­ngut tiada ruang atau sukar untuk mendaftar.

Hakikatnya apa yang berlaku di negara ini sekarang, bukan saja ramai yang tidak mendaftarkan diri sebagai pengundi tetapi trend yang turut merisaukan adalah yang berdaftar pula tidak menunaikan tanggungjawab keluar mengundi ketika pilihan raya.

Misalnya, mengikut rekod SPR peratusan yang keluar mengundi dalam sesuatu pilihan raya tidak pernah mencecah rekod 100 peratus atau lebih 90 peratus melainkan sekitar 70 hingga 75 peratus sahaja. Sebagai contoh, direkodkan semasa Pilihan Raya Negeri Sarawak yang lalu hanya 68 peratus yang keluar mengundi.

Keadaan ini menunjukkan tahap kesedaran dalam kalangan rakyat kita baik untuk mendaf­tarkan diri sebagai pengundi mahupun untuk keluar mengundi ketika pilihan raya masih rendah. ­Justeru perlu dilakukan sesuatu yang lebih efektif untuk mena­ngani isu ini. Bagi yang masih gagal ­mendaftarkan diri sebagai pe­ngundi misalnya, kita perlu terus merancakkan kempen kesedaran dengan lebih berstrategik.

Kaedah kempen juga perlu lebih menarik dan efektif di samping menggunakan pelbagai pendekatan dan medium yang berkesan. Bagi menarik perhatian golongan muda terutamanya kita perlu ba­nyak menggunakan platform media sosial kerana golongan ini sangat dekat dengan media sosial se­perti Facebook, Instagram dan juga Twitter. Maka salurkanlah segala maklumat tentang keperluan untuk mendaftar dan cara-cara untuk mendaftar supaya mesej ini sampai kepada golong­an sasaran.

Di samping itu, ruang untuk mendaftar juga perlu diperluaskan. Kaunter-kaunter pendaftaran perlu diperbanyakkan serta memfokus kepada lokasi-lokasi yang lebih strategik. Dalam konteks ini kita perlu keluar mencari mereka yang belum mendaftar dan bukannya sekadar buka kaunter dan menunggu mereka datang mendaftar. Maksudnya, jika didapati golongan muda yang masih ramai yang belum mendaftar maka elok kita pergi mencari mereka.

Misalnya, majoriti daripada mereka mungkin berada di universiti, kolej mahupun institusi pendidikan dan kemahiran lain. Maka eloklah kita adakan kerjasama strategik dengan pihak institusi pendidikan tersebut untuk membuka kaunter pendaftaran secara berkala dan berterusan sepanjang masa. Dalam konteks ini pegawai universiti juga boleh dilantik sebagai ejen pendaftaran pemilih yang bertauliah supaya proses pendaftaran berjalan dengan cepat dan efektif.

Malah bagi penulis mungkin sudah tiba masanya untuk kita melakukan transformasi terhadap kaedah pendaftaran sebagai pe­ngundi. Misalnya, apakah sudah tiba masanya untuk kita melaksanakan pendaftaran secara atas talian. Kita perlu berubah mengikut trend kemajuan teknologi yang mana golongan muda hari ini mahu semuanya cepat dan ber­ada di hujung jari di mana mereka boleh melakukan pendaftaran pada bila-bila masa dan dari mana-mana saja dengan menggunakan telefon pintar mahupun tablet.

Walaupun membabitkan isu keselamatan, kesahihan maklumat dan identiti individu yang mendaftar namun tidak mustahil untuk dilaksanakan. Harus di­ingatkan dewasa ini pelbagai urusan penting seperti urusniaga perbankan dilakukan secara atas talian dengan selamat melalui pelbagai langkah keselamatan yang terbukti berkesan dan meyakinkan pengguna.

Dan bagi yang sudah mendaftar pula, kita perlu memikirkan kaedah yang sesuai bagi memastikan mereka turun mengundi pada hari pengundian. Kelompok ini perlu disedarkan betapa mereka perlu tampil untuk menunaikan tanggungjawab terhadap negara. Jangan hanya tahu daftar tetapi tidak sanggup turun padang keluar mengundi pada hari kejadian. Ini pasti akan merugikan semua pihak.

Antara alasan yang paling klise adalah terlalu sibuk, tiada masa dan tidak minat dengan politik. Ini menyebabkan mereka tidak mendaftar dan yang mendaftar pula tidak keluar mengundi. Golongan ini perlu sedar betapa ini bukan soal tiada masa ataupun hendak menunjukkan minat terhadap politik tetapi ini adalah hak dan tanggungjawab terhadap masa depan masyarakat dan juga negara. Perlu ingat menyesal dahulu pendapatan dan menyesal kemudian tiada gunanya.

Jadi penulis ingin berpesan kepada semua individu terutamanya golongan muda yang masih belum mendaftar segeralah berdaftar dan bersedialah dari sekarang untuk melaksanakan dan menunaikan tanggungjawab anda terhadap masyarakat dan juga negara. Ingat PRU-14 bakal diadakan tidak lama lagi dan ia dilihat ibu segala pilihan raya yang menentukan masa depan dan hala tuju negara ini.

PENULIS ialah Ketua Bahagian Hal Ehwal Pelajar Universiti Putra Malaysia.