Ramadan adalah bulan yang sa­ngat istimewa berbanding bulan-bulan Islam lain kerana kelebihan dan keunikan bulan tersebut. Bulan ini adalah bulan yang penuh de­ngan keberkatan daripada Allah SWT. Bulan yang di dalamnya ada satu malam yang cukup istimewa dan sangat ditunggu-tunggu oleh orang yang beriman iaitu Lailatulqadar.

Lailatulqadar disebut malam yang cukup istimewa kerana ia dinamakan sendiri oleh Allah SWT di dalam al-Quran dengan mengkhususkan satu surah yang dinamakan surah Al-Qadr. Firman Allah SWT yang bermaksud:”Sesungguhnya kami telah menurunkannya di malam Al-Qadr. Apakah kamu tahu apa itu malam Al-Qadr? Malam Al-Qadr adalah lebih baik daripada seribu malam. (Pada malam tersebut) para Malaikat dan Al-Rub (Malaikat Jibrail) turun padanya dengan izin Tuhan mereka untuk mengatur segala urusan. Sejahte­ralah malam tersebut sehingga terbit fajar.” (Surah Al-Qadr : 1-5)

Para ulama berbeza pendapat bagi menentukan tarikh tepat Lailatulqadar. Namun mereka ber­sepakat bahawa Lailatulqadar berlaku pada bulan Ramadan iaitu pada 10 malam terakhir. Sudah tentu Allah SWT mempunyai sebab untuk menyembunyikan rahsia malam tersebut daripada pengetahuan manusia. Salah satu daripada sebabnya adalah untuk menggalakkan manusia bersungguh-sungguh beribadah sepanjang masa dalam bulan Ramadan tanpa mengira hari-hari tertentu dengan harapan agar dipertemukan dengan malam yang teragung iaitu Lailatulqadar.

Lailatulqadar atau malam Al-Qadr ini dikaitkan dengan 10 malam terakhir di dalam bulan Ramadan yang penuh dengan keistimewaannya. Pada 10 malam terakhir ini, Rasulullah SAW akan meningkatkan amalan dengan berjaga malam, beriktikaf dan mengejutkan ahli keluarganya untuk bangun bersama-sama bagi menghidupkan malam-malam tersebut. Imam Bukhari dan Muslim meriwayatkan bahawa: “Aisyah r.a meriwayatkan bahawa Nabi Muhammad SAW apabila masuknya 10 malam terakhir (Ramadan), baginda menghidupkan malamnya. Baginda mengemaskan kainnya dan mengejutkan isterinya dan uzlah daripada isterinya (yakni tidak bersama dengan isterinya).”

Antara amalan yang boleh sama-sama kita lakukan di dalam bulan Ramadan bagi menghidupkan 10 malam terakhir adalah menghidupkan malam hari de­ngan solat malam iaitu solat sunat seperti tahajjud, taubat, hajat dan sebagainya. Juga memperba­nyakkan berzikir kepada Allah SWT dengan jumlah yang kita mampu. Selain itu, digalakkan supaya mengejutkan ahli keluarga untuk bersama-sama menghidupkan malam dengan amal ibadah. Ibu bapa juga memainkan peranan penting untuk mengejutkan dan mengajak anak-anak khususnya yang dewasa untuk berqiamullail dan menghidupkan malam-malam tersebut. Insya-Allah, keberkatan dan keredaan Allah SWT akan hadir dalam sesebuah keluarga yang bersungguh-sungguh dalam mengerjakan Ibadah dengan niat ikhlas semata-mata kerana Allah SWT.

Mencari malam Al-Qadr ini bukan hanya dengan beribadah pada hari-hari tertentu sahaja tetapi hendaklah dilakukan amal ibadah itu secara istiqamah bermula dari malam pertama Ramadan agar kita kekal niat beribadah untuk mendapat keredhaan daripada Allah SWT. Pencarian malam yang teragung ini juga harus berlandaskan kepada niat ikhlas dan tidak hanya untuk mendapat pujian daripada manusia semata-mata.

Ada beberapa riwayat yang menceritakan sebab Allah SWT menurunkan malam Al-Qadr untuk umat Nabi Muhammad SAW. Menurut Imam Malik, Rasulullah SAW melihat umur umatnya tidak sepanjang umat terdahulu.

Justeru, baginda bermohon dan berdoa kepada Allah SWT a­gar memberikan peluang kepada umatnya kesempatan untuk ber­amal dengan nilainya yang sama dengan amalan umat sebelum mereka. Dengan sebab itu Allah SWT menurunkan Lailatulqadar.

Sesungguhnya, jelaslah bahawa salah satu daripada keagu­ngan, keistimewaan dan kehebatan bulan Ramadan ialah wujudnya satu malam penuh kemuliaan yang lebih baik daripada 1,000 bulan iaitu Lailatulqadar. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:”Sesungguhnya Ramadan sudah tiba kepada kamu, dalamnya ada malam di mana amal ibadah yang dilakukan pada malam itu lebih baik dan lebih besar ganjarannya daripada amalan 1,000 bulan. Sesiapa yang kehilangan malam itu, sesungguhnya dia kehilangan semua kebaikan. Dan tidak akan kehilangan semua perkara itu, kecuali orang yang telah diharamkan (tidak mendapat petunjuk) daripada Allah SWT.”(Hadith Riwayat Ibnu Majah)

Beruntunglah kita sebagai umat Nabi Muhammad SAW ke­rana memperoleh peluang sebesar ini dalam kehidupan kita. Dan rugilah pula bagi mereka yang sedikit pun tidak berusaha memanfaatkan kesempatan yang diberikan oleh Allah SWT di dalam bulan yang mulia ini. Sedangkan, Nabi Musa a.s ketika hayatnya pernah bermunajat dan memohon kepada Allah SWT agar me­nempatkan dirinya di dalam golongan umat Nabi Muhammad SAW.

PENULIS ialah Pegawai Hal Ehwal Islam Kanan, Unit Hal Ehwal Islam (UHEI), Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Johor.