Hanya namanya dicalonkan, sekali gus membolehkannya terpilih menduduki jawatan itu untuk penggal 2018-2020 sebagai presiden bukan bumiputera pertama.

Beliau menggantikan Datuk Seri Kamarul Ibrahim yang tidak mempertahankan jawatan. Bercakap kepada wartawan Mingguan Malaysia, ZULKIFLI JALIL ketika mengunjungi ibu pejabat Kumpulan Utusan di Kuala Lumpur Selasa lalu, Gnanaraja berkata, banyak program yang berlegar di fikirannya untuk membantu golongan usahawan khususnya bumiputera.

“Saya juga teruja dengan peluangpeluang yang disediakan oleh kerajaan untuk usahawan dalam Pameran Pertanian, Holtikultur dan Agro Pelancongan Antarabangsa (MAHA) 2018 yang akan bermula 22 November hingga 2 Disember ini di Tapak Ekspo Pertanian Malaysia (Maeps), Serdang.

“PUAM akan berkongsi impak daripada MAHA ini tentang bagaimana kami dapat membantu kerajaan membangunkan usahawan,” kata beliau.
 


MINGGUAN: Apa perancangan PUAM dalam usaha membantu usahawan meningkatkan daya saing mereka?

GNANARAJA: PUAM bukan sekadar platform kepada mereka yang terlibat dalam bidang pertanian tetapi lebih utama ia melibatkan keseluruhan rantaian bekalan makanan negara seperti pemborong serta pengusaha pasar raya besar dan pasar raya.

PUAM turut menjadi medan membekalkan ilmu keusahawanan kepada usahawan, penternak dan peniaga kecil mengenai kepelbagaian tanaman dan makanan negara dalam memupuk kesedaran kepentingan pertanian pada masa ini.

Masih banyak ruangkah yang perlu diisi atau dicapai dalam membangunkan sektor pertanian negara ini?

GNANARAJA: Ketika ini nilai import makanan negara mencecah RM18 bilion. Jumlah ini akan bertambah dari setahun ke setahun. Bagi memastikan hasrat itu dicapai, pemain industri bagi kedua-dua sektor pertanian dan perikanan perlu lebih proaktif dengan menggunakan teknologi semasa untuk memastikan hasil lebih lumayan dan berdaya saing.

Sudah tiba masanya bidang pertanian melahirkan lebih ramai usahawan dan mereka yang mampu muncul sebagai jutawan - dengan menjana kekayaan menerusi hasil pertanian mereka. Perubahan daripada pertanian konvensional kepada kaedah pertanian berteknologi tinggi amat diperlukan.

Mampukah usahawan sektor ini bertukar jadi jutawan?

GNANARAJA: Tidak mustahil asalkan ada daya juang. Saya ingin menarik perhatian beberapa pendekatan dan kaedah inovasi yang sedang diaplikasikan sebagai memberi gambaran bagaimana besarnya potensi bidang pertanian.

Misalnya aktiviti ternakan ikan empurau, sejenis ikan air tawar yang hampir pupus di Sarawak mampu menjana pendapatan lumayan dan secara langsung boleh memberi manfaat kepada penduduk pedalaman di negeri tersebut.

Selain itu, sebuah syarikat Amerika Syarikat (AS) berminat untuk melabur bagi melaksanakan projek Akuakultur Udang Karang Bersepadu di Semporna, Sabah yang dijangka mampu meraih pendapatan RM3,000 hingga RM4,000 sebulan. Dalam pada itu, saya berharap golongan peladang, penternak dan nelayan dapat mencontohi kejayaan penerima anugerah seperti Mohd. Zakiron Zahid dari Kelantan yang menjadi pengusaha kilang padi, kilang beras, kilang dedak, kedai beras serta projek pertanian lain dan projek bukan pertanian yang memberikan hasil pendapatan pada tahun lepas melebihi RM10 juta.

Sementara Abdul Kadir Ibrahim dari Pahang pula yang menjadi awak-awak pada usia 14 tahun telah menggunakan pinjaman membeli bot pertama dengan harga RM70,000, kini memiliki tiga buah bot yang bernilai RM1 juta.

Ini diusahakan secara bersendirian dan hasil perkongsian yang digunakan untuk aktiviti pendaratan hasil tangkapan ikan meraih pendapatan RM50,000 sebulan.

Pastinya Datuk Seri melihat Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani sebagai rakan strategik dalam memperjuangkan nasib dan hak usahawan sekali gus agenda PUAM?

GNANARAJA: Kementerian berkenaan telah menghimpunkan lebih 40 orang usahawan muda yang berjaya dalam perusahaan berasaskan pertanian. Dengan penglibatan generasi muda, saya berharap ia dapat menarik lebih ramai golongan tersebut menceburi bidang pertanian sebagai satu kerjaya.

Jangan kita bersikap sambil lewa sahaja berhubung sumber bekalan makanan. Sebagai presiden baharu saya cuba memastikan segala penyertaan dan penglibatan menyeluruh semua pihak yang berkaitan dengan industri makanan – pengusaha restoran, pengilang makanan, dan firma-firma makanan berkaitan bioteknologi.

Peningkatan produktiviti yang berkesan akan menyediakan asas untuk merangsang pertumbuhan ekonomi secara mampan agar ia dapat menyumbang kepada aspirasi negara berpendapatan tinggi serta mencapai status 20 negara tertinggi dunia dari segi pertumbuhan ekonomi pada 2020. Kami akan memberi pengiktirafan secara teristimewa.

Pengumuman yang terperinci akan dibuat selepas ini. Ia adalah langkah-langkah yang diputuskan untuk menunjukkan Usahawan Agro Malaysia serius dan komited dalam memacu kadar pertumbuhan ekonomi.

Bagaimana PUAM melihat komitmen Agrobank dalam sektor ini?

GNANARAJA: Sehingga kini saya dimaklumkan Agrobank menganjurkan hampir 400 sesi latihan meliputi 14,412 usahawan tani di seluruh Malaysia membabitkan sektor pertanian, penternakan, perikanan dan industri asas tani. Selain memberi latihan, usahawan yang terbabit di bawah Program Pembangunan Usahawan (ADP), ia juga berpeluang menerima pembiayaan mikro Agrobank.

Agrobank menawarkan pembiayaan minimum RM5,000 dan maksimum RM50,000 bagi pembiayaan mikro manakala pembiayaan korporat boleh mencecah sehingga jutaan ringgit. Ini termasuk pembiayaan modal pusingan untuk pembelian tanah pertanian, mesin dan jentera serta perdagangan kewangan yang berasaskan pertanian.

Agrobank menyediakan pembiayaan menyeluruh untuk petani, penternak, nelayan, usahawan agro makanan, merangkumi hasil pembiayaan rantaian penuh seperti pembekalan hasil pertanian hingga ke pemprosesan dan penjualan produk pertanian kepada pengguna. Di bawah portfolio pembiayaan mikro Agrobank, lebih 30,000 usahawan tani mendapat manfaat.

Apa halangan dan cabaran utama sektor pertanian negara?

GNANARAJA: Penting untuk kerajaan melihat tiga ancaman jangka panjang dalam sektor ini yang tidak hanya dihadapi oleh Malaysia malah oleh seluruh negara. Tiga ancaman itu adalah jaminan bekalan makanan dan peningkatan harga barangan makanan, jaminan bahan tenaga serta cabaran kepanasan global dan perubahan iklim.

Oleh itu, mustahak untuk memastikan sejauh mana Malaysia mampu membuat persediaan dan perancangan untuk mengurangkan kesan daripada ancaman utama global itu terhadap sektor pertanian negara.

Amat penting untuk melihat perkembangan sektor pertanian dalam konteks sumbangan kepada pembangunan negara yang sedang giat diperjuangkan kerajaan pimpinan Tun Dr. Mahathir Mohamad ketika ini.

Jangan hendaknya ada dalam kalangan kita yang salah tanggapan bahawa kerajaan hanya memberi tumpuan kepada sektor korporat atau pembangunan di sekitar Lembah Klang dan Kuala Lumpur sahaja.