Pernahkah anda dengar tentang SEBENARNYA.MY

Logo Kaji Selidik Pembaca

Pernahkah anda melayari portal SEBENARNYA.MY ?

Pernahkah anda dengar tentang SEBENARNYA.MY ?




Sila respon kepada soalan di atas untuk menutup skrin ini

Show result

Lagu-lagu wajib Hari Raya

MERREPAK

info

SALAH sendiri sebenarnya. Sudah beritahu diri agar tidak ke bazar Ramadan di kawasan Stadium Shah Alam. Tetapi disebabkan perlu mengambil basikal yang dihantar servis di Seksyen 13, maka mahu tidak mahu harus diredah juga kawasan tersebut.

Bayangkan dari Seksyen 9 lagi kesesakan sudah berlaku. Gunalah segala ilmu jalan pintas tetapi sangkut juga. Sesampai di bulatan depan stadium, jalan sudah ditutup. Segala lalu lintas bergerak satu hala. Sekilas itu hasrat singgah di bazar dibatalkan. Syukur basikal sudah di dalam kereta.

Luar biasa kesesakan di Shah Alam, petang Jumaat lalu. Jadi serik dibuatnya. Sejam terperangkap di jalan raya dari Seksyen 9 ke Seksyen 13 adalah sangat aneh. Mujur sepanjang tersekat itu stesen radio sudah memainkan lagu-lagu raya. Terlerai sedikit rasa bengang terhadap pemandu di hadapan yang asyik memberi laluan kereta lain memotongnya.

Ia mengundang kepada "perdebatan ringan" dengan orang rumah mengenai lagu raya yang wajib ada, dan kenapa lagu era baru sukar memecah tembok kekuatan lagu klasik seperti Selamat Hari Raya dendangan Saloma yang berirama rumba. Ia boleh didengar di YouTube.

Satu episod lagu raya yang tidak boleh dilupa berlaku pada 1991. Pulang dari Shah Alam menaiki bas 222 menuju Perhentian Bas Klang, sebelum berjalan ke Bangkok Bank untuk menaiki bas mini nombor 15 ke rumah kakak di Setapak. Rutin hujung minggu tetapi merrepak ini berkisar pada kejadian semasa bulan Ramadan. Bas nombor 222 penuh sesak. Saya terpaksa berdiri di tepi pintu. Puasa, maka itu suasana dalam bas agak berdisiplin (tiada gelak ketawa atau cakap besar). Radio bas memainkan satu demi satu lagu raya. Memang seronok dengar lagu Sudirman Balik Kampung. Tiket balik ke Kuching sudah dibeli kakak, memang senyum sokmo.

Tiba-tiba, mood dalam bas bertukar sayu bila lagu nyanyian Aishah Pulanglah berkumandang. Lirik lagu ini bertema kisah cinta iaitu Aishah minta kekasihnya pulang semula kepadanya sempena raya. Bab ini tidak terkesan pada diri saya sebab masih bertaraf pemain badminton perseorangan ketika itu.

Yang meresap jiwa saya dan entah berapa puluh lagi penumpang dalam bas nombor 222 pada hari itu ialah bila sampai ke korus lagu:

Keampunan ku pohon,

Sekiranya aku yang berdosa,

Pulanglah ku merindui mu sayang,

Ku menanti dengan hati rela.

Dengan suara lunak Aishah, terasa seperti mahu pulang terus ke Kuching saat itu. Serentak itu juga dada terasa mula turun naik dan macam ada air bergenang di mata. Tangan kiri memegang palang, tangan kanan pula menggenggam beg. Macam mana hendak menyapu air mata? Sudahlah berdiri di sebelah pemandu. Semua dalam bas mesti perasan. Pandang saja ke depan. Sejurus saja turun dari bas, terus lap mata dan jalan laju-laju menuju Pasar Seni.

"Berhantu"

Sehingga ke hari ini, saya masih tertanya-tanya. Mengapa orang seni beriya-iya menghasilkan lagu-lagu sedih sempena Hari Raya? Bukankah semasa raya, seeloknya lagu harus riang ria atau nasyid kesyukuran. Yang cipta lagu sedih sentimenal ini, kenapa? Tetapi hakikatnya lagu Aishah Pulanglah ini, memang 'berhantu.' Harap-harap Aishah yang sudah mengisytiharkan dirinya tidak lagi aktif berpolitik akan "pulanglah" bersama kita sempena hari raya ini. Tak payahlah berpolitik. Kami lebih suka Aishah terus saja berkarya dalam bidang seni. Satu lagi lagu raya berhantu Aishah ialah Setitis Cahaya di Aidil Fitri.

Tetapi lagu raya yang bernada "riang ria" pun boleh menyebabkan sebak. Lagu Azlina Aziz Indahnya beraya di desa contohnya, pasti mendorong kita cepat-cepat mahu keluar dari pejabat walaupun hari ini baharu 18 Ramadan 1436. Ada 11 hari lagi menuju ke 1 Syawal. Yarabi. Sabarlah.

Menyentuh tentang lagu Saloma yang ada dua versi iaitu klasik rumba dan pop, ia adalah lagu wajib sempena Hari Raya. Dewasa ini, lagu-lagu raya baharu yang didendangkan oleh artis-artis kontemporari tidak kurang menariknya tetapi agak sukar memecah kekuatan lagu-lagi klasik raya ini. Sama seperti Jingle Bells untuk Krismas, lagu Selamat Hari Raya nyanyian Saloma adalah lagu wajib sempena Aidil Fitri.

Beberapa lagu bertema Hari Raya yang baharu, memang sedap didengar. Tentu sekali saya merujuk kepada koleksi lagu raya nyanyian Datuk Siti Nurhaliza. Lagu Sesuci Lebaran, Nazam Lebaran dan Air Mata Syawal , Meriah Suasana Hari Raya adalah antara lagu raya yang cemerlang dari penyanyi tersohor kita ini.

Apabila Sharifah Aini menyebut "hai... selamat hari raya’"dalam lagu Suasana Hari Raya sepantas itu tergambar di kepala, sanak saudara datang berkunjung beraya sambil menjamu selera. Lagu Nostalgia di Aidlfitri adalah muzik sarat dengan irama Melayu asli yang pasti sebak 100 peratus semasa memandu pulang ke kampung.

Ada beratus-ratus lagu raya sudah dicipta dan semuanya penuh nostalgia baik oleh penyanyi lama mahupun penyanyi sekarang, walaupun saya tidak boleh terima lagu raya ala Rap atau heavy metal. Tetapi itu semua terserah kepada minat anda. Selamat Hari Raya saya ucapkan kepada pembaca Mingguan Malaysia amnya, dan Merrepak khususnya. Maaf zahir batin atas sebarang terkasar bahasa, terlepas tulisan. Terima kasih atas sokongan selama enam tahun ini.

Artikel Berkaitan
Video Pilihan
Artikel Lain