Ketua Pasukannya, Zaiduna Jauhar, 62, berkata, tiga lagu ber­kenaan adalah lagu khusus kepada Sultan Kelantan yang dimainkan pada acara-acara tertentu.

“Lagu yang paling kerap dimainkan adalah Raja Berangkat yang dialunkan ketika keberangkatan tiba dan pulang mana-mana Sultan Kelantan di Balairung Seri, Istana Kota Lama di Kota Bharu pada setiap tahun. Namun lagu ini hanya kedengaran ketika Hari Keputeraan baginda sahaja.

“Cuma sekali sahaja lagu ini dimainkan pada luar kebiasaan iaitu ketika keberangkatan Seri Paduka (Sultan Muhammad V) ke Kuala Lumpur bagi menduduki takhta sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-15 pada 13 Disember lepas dan dialunkan di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, Pengkalan Chepa di Kota Bharu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui Bernama semasa menjalani latihan bersama ­pasukan itu di Wakaf Tembesu, Berangan di sini.

Mengulas lanjut, Zaiduna berkata, lagu Seri Istana akan dimainkan semasa ­perarakan alat-alat kebesaran diraja manakala lagu Raja Bertabal pula akan dialunkan semasa seseorang Sultan Kelantan itu ditabalkan menjadi pemerintah.

“Kedua-dua lagu ini - Seri Istana dan Raja Bertabal - hanya dialunkan sekali seumur hidup kepada seseorang Sultan Kelantan ketika baginda ditabalkan menjadi pemerintah di negeri ini.

“Bagaimanapun, ketiga-tiga lagu ini akan turut dimainkan sempena pertabalan Sultan Muhammad V sebagai Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara, Kuala Lumpur pada 24 April ini,” katanya.

Zaiduna berkata, ketiga-tiga lagu berkenaan terutama Raja Berangkat, tidak boleh dialunkan sesuka hati kepada umum kecuali mendapat per­kenan daripada Sultan Kelantan.

“Selain itu, ia juga tidak boleh direkodkan dan pemain muzik ini perlu peka dengan melodi lagu-lagu tersebut ketika menjalani latihan bagi memahirkan mereka dengan melodi setiap lagu.

“Ini bagi memastikan lagu ini tidak disebarkan kepada umum dan menjadi hak milik utama kepada Sultan Kelantan sahaja,” katanya.

Beliau berkata, pasukan gendang besar itu terdiri daripada sembilan orang iaitu dua juru serunai, seorang pemain gong yang mengendalikan dua alatan itu, dua pemain rebab dan empat pemain gendang besar.

Ditanya mengenai sejarah penubuhan pasukan itu, beliau berkata ia ditubuhkan sejak kira-kira 150 tahun yang lepas oleh datuknya, Che Umar Daud yang adalah Seri Pendekar ­Diraja, iaitu ketua pendekar bagi seluruh pendekar yang berada di Kelantan ketika itu.

Generasi ketiga yang menge­tuai pasukan itu berkata, sehingga kini, alatan muzik ­seperti rebab, gendang dan gong, berusia kira-kira 150 tahun yang diwarisi daripada generasi ­terdahulu, masih digunakan oleh pasukan itu untuk digunakan ketika Hari Keputeraan ­Sultan Kelantan.

Katanya, empat gendang besar itu diperbuat menggunakan kayu nangka kerana ia tahan reput, manakala gong pula diperbuat daripada tembaga dan disimpan di Istana Balai Besar, Kota Bharu.

Zaiduna berkata, walaupun menggunakan peralatan muzik berusia ratusan tahun, namun tiada sebarang unsur mistik ke­tika pasukan itu membuat persembahan.

Beliau berkata, sebelum memulakan sebarang persembahan, pasukannya hanya membaca surah al-Fatihah dan berselawat kepada Nabi Muhammad SAW serta memohon agar persembahan pada hari berkenaan berjalan lancar.

Katanya, pasukan itu bermula di Wakaf Tembesu dan kebanyakan anggotanya kini adalah keturunan daripada generasi terdahulu.

“Bagaimanapun, terdapat beberapa anggota yang bukan ber­asal daripada keturunan turut kami ambil untuk latih mereka sebagai pelapis.

“Antaranya, seorang juru serunai berbangsa Tionghua, Yap Chong Sing, 63, yang telah berkhidmat hampir 20 tahun dengan pasukan ini dan merupakan satu-satunya bukan bangsa Melayu yang pernah berkhidmat dengan pasukan ini,” katanya.

Zaiduna berkata, disiplin dan komitmen dalam diri setiap anggota pasukan ketika menjalani latihan juga amat perlu kerana mereka hanya berlatih secara formal selama sebulan pada setiap tahun.

Uniknya, beliau berkata, bagi pemain senior, mereka boleh memainkan beberapa alat muzik yang berbeza dan mampu mengesan jika berlaku sebarang melodi sumbang dalam setiap lagu.

“Contohnya, Che Hussin Che Soh, 57, yang adalah juru serunai, juga seorang pakar gendang.

“Ini adalah sebahagian kecil khid­mat yang kami curahkan kepada negeri tempat kami dilahirkan, dan Sultan Kelantan sebagai pemerintah yang memayungi rak­yat jelatanya,” katanya. – BERNAMA