Hamid Karzai sudah tidak ada kuasa, presiden sekarang ialah Ashraf Ghani Ahmadzai. Jurucakap presiden itu pula mengatakan bahawa beliau tidak diberitahu mengenai bom itu. Bagaimanapun, Perdana Menteri Afghanistan, Abdullah Abdullah menyatakan bahawa pengeboman itu adalah sebahagian daripada usaha bersama tentera AS dan pasukan negaranya memusnahkan kumpulan ISIS-K yang beroperasi di daerah Achin, wilayah Nangarhar. Kawasan ini terletak di bahagian timur laut Afghanistan, iaitu bersempadan dengan Pakistan.

Menurut laporan, sebelum ini banyak pertempuran telah berlaku antara tentera Afghanistan-AS dengan ISIS-K. Bagaimanapun pihak ISIS-K dapat menggagalkan usaha tentera Afghanistan-AS itu untuk mara memusnahkan mereka. Maka pengeboman ke atas kawasan persembunyian ISIS-K yang terdiri daripada gua dan terowong dalam gunung dapat melemahkan mereka. Pihak AS menyatakan bahawa dari segi taktik, bom yang digunakan adalah tepat. Masa penggunaannya juga tepat.

ISIS-K bermaksud Islamic State in Iraq and Syria at Khorasan. Kumpulan itu dilaporkan asalnya adalah gabungan daripada Taliban Pakistan dan Pergerakan Islam Uzbekistan yang mengaitkan diri dengan Daesh di Iraq-Syria. Khorasan adalah nama negara sebelum menjadi Afghanistan.

Presiden Donald Trump yang tidak mengaku pengeboman itu adalah atas arahan atau keizinannya memuji tentera AS sambil beliau menyifatkannya sebagai satu lagi tugasan yang berjaya. Beliau menyatakan demikian sebagai rujukan kepada serangan bom yang dilakukan oleh tenteranya ke atas Syria dua minggu lalu dengan alasan negara itu menggunakan senjata kimia.

Menurut laporan, sejak menjadi presiden, Trump telah memberi kuasa pada pemerintah-pemerintahnya untuk melakukan apa yang sewajarnya bagi meng­hapuskan sepenuhnya para peng­ganas, iaitu tanpa memerlukan arahan atau keizinan khusus dari­pada beliau. Keadaan ini adalah sela­ras dengan janji pilihan raya untuk menghapuskan semua pengganas dengan meyatakan bahawa Presiden AS sebelum ini, Barack Obama tidak cukup melakukan tindakan yang sewajarnya.

Apa yang dimaksudkan dengan pengganas adalah kumpulan-kumpulan yang disenaraikan oleh AS sebagai teroris. Paling utama ialah Daesh yang juga dikenali sebagai Islamic State, IS, ISIS dan ISIL termasuklah ISIS-K di Afghanistan itu. Begitu juga termasuk dalam kumpulan utama ialah al-Qaeda. Bagaimanapun kumpulan-kumpulan seperti Hizbullah Lebanon dan Hamas Palestin juga disenaraikan sebagai pengganas itu.

Diperagakan

Dasar memusnahkan sama sekali kumpulan pengganas itu adalah selaras dengan slogan Trump semasa Pilihan Raya Presiden lalu, yang berbunyi Make America Great Again atau Jadikan Amerika Hebat Semula, dengan gambaran bahawa negaranya mestilah menjadi kuasa paling hebat, digeruni oleh negara-negara lain di dunia. Ini juga bermakna usaha meningkatkan keupayaan tentera AS untuk lebih kuat berbanding negara-negara lain.

Maka untuk keadaan ini, Trump pernah menyatakan bahawa AS wajar meningkatkan lagi keupayaan senjata nuklearnya. Beliau juga ketika membeku pengambilan kakitangan awam baharu bagi menjimatkan perbelanjaan menyatakan arahan itu tidak meliputi angkatan tentera. Maka Angkatan Tentera AS boleh mengambil anggotanya seberapa banyak yang perlukan.

Dasar Trump tentu menggembirakan syarikat-syarikat yang membekalkan senjata kepada tentera AS. Ahli-ahli perniagaan dalam komuniti yang dipanggil Kompleks Industri-Tentera umumnya mendokong mana-mana pemimpin yang cenderung untuk berperang dan seterusnya membelanjakan wang negara untuk membeli barangan keluaran mereka. Bayangkan berapa harga bom paling kuat itu, dan keuntungan yang diraih pembekal bagi pembuatannya.

Ahli-ahli Kongres dari Parti Republikan yang dikenali cenderung kepada peperangan menyokong dasar Trump dan tindakan tentera AS mengebom Afghanistan itu. Sementara Ahli Kongres daripada Parti Demokratik mengecam tindakan itu kerana ia tidak akan mencapai matlamat untuk menghapuskan keganasan tetapi sebaliknya meningkatkan suasana perang di seluruh dunia, yang akhirnya membahayakan AS sendiri.

Setakat ini tindakan tentera AS di bawah pimpinan Trump telah melancarkan serangan ke atas sasaran di Yaman, Syria dan kini Afghanistan. Maka dibimbangi juga Trump akan meluaskan lagi tindakan ketenteraan ke atas tempat-tempat yang ada ketegangan seperti Korea Utara dan Laut China Selatan.

Pada sudut lain, penggunaan bom konvensional paling besar dunia itu adalah satu peragaan kekuatan tentera AS untuk menunjukkan pada dunia, khususnya negara-negara penyaingnya seperti Rusia, China, Korea Utara dan Iran bahawa ia adalah terhebat, serta amaran supaya jangan cuba mencabarnya.

Terdapat dua jenis bom di dunia. Pertama, bom nuklear dan kedua ialah bom konvensional. Bom nuklear tentulah jauh lebih kuat dan hebat daripada bom konvensional. AS pula mempunyai bom nuklear paling banyak dan besar. Menurut laporan, kini ia mempunyai 7,000 butiran (warheads) bom nuklear. Semua bom bukan nuklear dipanggil bom konvensional.

Bom konvensional paling besar dunia ini bernama Massive Ordnance Air Blast Bomb (MOAB) GBU-43/B’ juga dipanggil sebagai Mother Of All Bombs iaitu Ibu Segala Bom. Panjangnya sembilan meter dengan berat 9,798 kilogram. Ia menggunakan GPS untuk mengenakan sasarannya. Bom ini digugurkan oleh pesawat MC-130, iaitu Hercules yang diubah suai di bawah arahan Afghanistan US Air Force Special Operation Command dan ia meletup sebelum sampai ke bumi untuk meluaskan lagi kemusnahan. Setakat ini dilaporkan 36 militan ISIS-K terbunuh. Menurut pihak Afghanistan, sebelum serangan itu telah dipastikan tidak ada orang awam.

Menurut strategi pertahanan, senjata-senjata seboleh-bolehnya tidak digunakan. Ia hanya diperagakan supaya para musuh, atau bakal musuh berasa gerun untuk melancarkan serangan. Sebab itu penggunaan senjata-senjata besar hanya diuji, untuk menunjukkan keupayaan senjata berkenaan di samping memberi amaran pada musuh dan bakal musuh.

Tetapi apabila ia digunakan ke atas sasaran sebenar, maka ia bukan lagi merupakan ujian. Ini adalah sebahagian daripada senjata aktif dalam perang. Tetapi mungkin apa yang dimaksudkan Karzai, pengguguran bom itu adalah ujian yang menggunakan sasaran sebenar. Maka mungkin bagi Karzai, penggunaan bom itu tidak wajar.

Ini kerana ia tidak menepati tujuan perang menentang keganasan. Ini kerana menggunakan bom dahsyat itu tidak mengatasi keganasan, sebaliknya ia akan meluaskan sokongan terhadap pengganas kerana kesan propaganda mengenainya. Sebaliknya ia berkemungkinan mengorbankan orang awam dan memusnahkan persekitarannya.

Tetapi apa yang hendak dihairankan dengan gelagat AS itu. Ia adalah sebuah negara yang pernah menggugurkan dua bom atom ke atas dua bandar Jepun yang mengorbankan 90,000 orang awam.

Maka ia boleh melakukan apa saja.