Begitulah bidalan andai dikaitkan atau disamakan hubungan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak bersama timbalannya, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dengan timbalan semasa era Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Semasa Dr. Mahathir memegang tampuk kuasa, berapakah timbalannya yang ‘lekat’ de­ngannya? Tun Musa Hitam, Tun Ghafar Baba dan Datuk Seri Anwar Ibrahim? Tun Abdullah Ahmad Badawi atau Pak Lah mungkin ‘terlepas’ daripada cengkamannya dan menduduki Seri Perdana. Namun berapa lama insan yang baik atau dikenali sebagai Mr. Clean itu dapat bertahan di kedudukan nombor satunya? Ha­nya kira-kira enam tahun.

Selicik-licik Anwar pun, dia akhirnya terpaksa mengaku kalah dengan penangan Dr. Mahathir. Di kemuncak perbalahan politik dan undang-undang antara Dr. Mahathir dan Anwar selepas Se­ptember 1998, pengkritik-pengkritik Anwar amat suka menegaskan bahawa kelengahan membina kediaman Timbalan Perdana Menteri di Putrajaya disengajakan kerana Anwar yakin beliau tidak akan menduduki kediaman TPM. Sebaliknya, dia akan menduduki Seri Perdana dalam masa terdekat. Penegasan ini tidak pernah disahkan kepastiannya. Namun telah dijadikan satu gurauan politik yang kuat untuk orang baharu.

Tetapi Najib-Ahmad Zahid bukanlah kenalan baharu. Kalau dititipkan penghargaan atau pengiktirafan Najib buat Ahmad Zahid menerusi sepotong ayat berikut dalam ucapannya dalam program Sepetang Bersama Perdana Menteri di Seksyen 18, Shah Alam pada Ahad lalu, bait-bait itu sebenarnya memberi makna cukup besar dalam persahabatan kedua-duanya:

“Dia (Dr. Mahathir) tak faham, Datuk Zahid dengan saya bukan baharu, tahun 1986 lagi, susah senang bersama.”

Sebenarnya ‘kemelut’ yang dicanangkan oleh pihak tertentu termasuk terbaharu daripada Dr. Mahathir terhadap kononnya berlaku ‘kemelut’ hubungan Najib-Ahmad Zahid bukanlah ‘isu’ baharu.

Tahun lalu lagi sejak beberapa hari sekitar Disember, sepucuk surat yang dikatakan ditandatangani Ahmad Zahid tersebar di laman sosial Facebook dan aplikasi WhatsApp.

Surat berkenaan dikatakan menuntut Najib meletakkan jawatan sebagai perdana menteri dan turut menamakan barisan Kabinet bayangan Zahid.

Ekoran itu, Perdana Menteri menyifatkan perkara itu di­sebabkan pembangkang cemburu de­ngan solidariti ditunjukkan UMNO pada perhimpunan agung parti itu yang baru selesai seminggu sebelum itu.

“Mungkin pembangkang ter­salah anggap perwatakan timbalan perdana menteri de­ngan beberapa bekas pemimpin parti UMNO yang didorong oleh kepentingan peribadi, bukan kepentingan parti atau nasional,” katanya dipercayai merujuk kepada Dr. Mahathir.

Dalam hal ini, Dr. Mahathir dan pakatan pembangkang sebenarnya semakin terdesak. Mereka tidak kenal UMNO dan kesetiaan anggotanya - yang berdiri di dalam senang mahupun susah bersama parti dan kepimpinan parti yang dipilih secara demokrasi.

Oleh itu, adalah amat ­penting dalam waktu dan ketika yang genting ini tumpuan mesti diberikan kepada persiapan menghadapi pilihan raya umum (PRU) yang bakal tiba. Jangan kita terikut-ikut dengan gelagat satu dua pemimpin UMNO yang sibuk mempopularkan diri sendiri dan menjaja nama mereka pada baju-baju ahli ke arah menyiapkan diri menghadapi pemilihan UMNO akan datang. Sudah-sudahlah.

Pada suatu ketika keamanan dan kemajuan empayar di zaman Rom dicapai melalui cara pentadbiran keras maharajanya, Septimius Severus.

Pegawai dan rakyat semua takut kepadanya. Ahli sejarah semua sepakat menyimpulkan bahawa beliaulah sebenarnya yang menanam benih-benih kehancuran empayar Romawi penuh keagungan itu.

Teringat penulis akan ­ung­kapan Ahmad Zahid semasa ­merasmikan perhimpunan tiga sayap UMNO, Wanita, Pemuda dan Puteri dalam perhimpunan agung parti Disember tahun lalu.

“Masih ingatkah kita semua lagi, suatu masa dahulu, seorang nakhoda mengungkapkan perihal “Melayu Mudah Lupa dan Melayu Haprak”. Namun, malang sekali, nakhoda pengungkap “Melayu Haprak” itu terjun dari bahtera UMNO ini. Sebenarnya siapakah yang haprak ni?.”

Kata Ahmad Zahid lagi:

“Saya menyeru seluruh perwakilan agar jangan sesekali berwala’ hanya di bibir. Sesungguhnya sikap setia ahli kepada institusi kepresidenan memboleh­kan parti ampuh dan mampu menangkis setiap serangan sama ada dari luar dan mengekang pengkhianatan dari dalam dan yang munafik.”

Cubaan Dr. Mahathir untuk melagakan Najib dan Ahmad Zahid nampaknya tidak menjadi dengan dakwaannya bahawa Timbalan Perdana Menteri itu pernah berjumpa dengannya bagi mendapatkan sokongan untuk menjatuhkan Perdana Menteri.

Antara 1987 hingga 1994, Ahmad Zahid berkhidmat sebagai Setiausaha Politik kepada Menteri Belia dan Sukan yang pada waktu tersebut disandang oleh Najib. Najib sudah kenal lama dengan Ahmad Zahid.

Kejayaan pemimpin Nazi Jerman yang telah membunuh jutaan orang-orang Yahudi ketika Perang Dunia terhasil daripada strategi propaganda cukup berkesan yang diasaskan kepada pembohongan.

Hitler dibantu oleh menteri propagandanya bernama Joseph Goebbels. Hitler pernah menulis bahawa: ”If you are going to tell a lie, tell a big one and if you tell it often enough, people will begin to believe it.” (Jika kamu mahu berbohong, buatlah pembohong­an yang betul-betul besar, dan jika kamu kerap mengulanginya, orang akan mempercayainya).

Apa yang penting sekarang ialah ahli UMNO dan BN harus mempersiapkan diri bagi kemungkinan ‘satu lawan satu’ dengan pembangkang dalam PRU-14. Usah pasang angan-angan wujudnya pertandingan tiga penjuru untuk menang dalam pilihan raya.

Jangan terperangkap dalam permainan politik yang tidak menguntungkan. Perkemaskan gerak kerja jentera di peringkat parti. Bukannya mengharapkan kemenangan hasil kelemahan dan perpecahan pihak lawan.

DATUK AHMAD FARIS ABDUL HALIM ialah Penganalisis isu-isu semasa.