Pernahkah anda dengar tentang SEBENARNYA.MY

Logo Kaji Selidik Pembaca

Pernahkah anda dengar tentang SEBENARNYA.MY ?

Pernahkah anda dengar tentang SEBENARNYA.MY ?




Sila respon kepada soalan di atas untuk menutup skrin ini

Show result

MALAYSIA masih lagi berdepan dengan isu-isu lama seperti membuang
MALAYSIA masih lagi berdepan dengan isu-isu lama seperti membuang sampah merata-rata, membuang sisa pepejal secara haram dan amalan 3R yang masih rendah dalam kalangan masyarakat. GAMBAR HIASAN/UTUSAN

SEDAR atau tidak setiap penduduk negara ini menghasilkan sampah sarap domestik antara satu hingga dua kilogram sehari. Mungkin ramai yang terkejut akan fakta tersebut, namun itulah dilema yang dialami negara ini. Berasaskan fakta tersebut, sampah yang dihasilkan oleh rakyat Malaysia dalam tempoh lima hari sahaja boleh menutupi seluruh negeri Kedah mahupun Perlis jika ia dikumpulkan dan diratakan.

Sebenarnya, masalah sampah ini adalah satu masalah yang tidak pernah putus dibicarakan. Bagaimanapun, Malaysia sebagai sebuah negara yang menjadikan Islam sebagai pedoman, sepatutnya menjadi contoh kepada negara-negara lain di dunia ini.

Keprihatinan dan sikap tanggungjawab terhadap kebersihan dalam kalangan rakyat Malaysia sangat perlu diperbaiki demi ­kesejahteraan semua.

Apatah lagi sebagai rakyat Malaysia yang beragama Islam, kita harus berasa malu dan berusaha mengubah sikap agar menjadi Muslim yang lebih baik termasuk dalam hal-hal kebersihan dan maslahat umum.

Sikap rakyat di negara ini dalam konteks penjagaan kebersihan persekitaran dan pemeliharaan alam sekitar masih pada tahap rendah berbanding masyarakat di negara maju. Realitinya, negara masih berhadapan dengan isu-isu lama seperti membuang sampah merata-rata, membuang sisa pe­pejal secara haram dan amalan 3R (Reduce, Reuse dan Recycle) yang masih rendah dalam kalangan masyarakat.

Perubahan minda ke arah ­melahirkan masyarakat yang ­lebih menyedari kepentingan pengurusan sisa pepejal secara teratur dalam melahirkan alam sekitar yang bersih adalah satu dilema persimpangan yang berpanjangan.

Kepada sesiapa sahaja yang pernah melancong ke Jepun ­ter­utamanya ke bandar raya Tokyo, pasti anda sedar, tidak banyak tong sampah yang disediakan. Akan tetapi begitu sukar untuk kita melihat sebarang sampah dibuang merata-rata.

Mengikut sejarahnya, tong-tong sampah mula dikurangkan selepas 1995 kerana takutkan kepada serangan pengganas yang meletakkan bom di dalam tong-tong tersebut sebagai tempat paling strategik menyembunyikannya.

Di samping itu, ia adalah satu langkah bijak untuk mengurangkan kos penyelenggaraan, serta meminimumkan pencemaran dan pengotoran akibat daripada aktiviti penyelongkaran tong sampah oleh golongan gelandangan mahupun bintang liar.

Ironinya, kekurangan tong sampah tidak menjadikan Tokyo sebuah bandar yang kotor walaupun mempunyai kepadatan penduduk mencecah 40 juta orang, malah sudah acap kali dipilih antara bandar terbersih di dunia saban tahun.

Ini semua disebabkan oleh didikan mereka sejak kecil untuk membawa sendiri plastik untuk mengumpulkan sampah milik sendiri dan dibuang di rumah masing-masing. Mereka berdiri di belakang teori bahawa kawasan yang sedia ada bersih tidak mungkin ada yang akan mengotorinya.

Yang menariknya, sudah ter­dapat beberapa buah sekolah di Malaysia yang mengamalkan konsep tiada tong sampah di sekolah seperti yang diamalkan di Jepun. Dan yang peliknya sekolah-sekolah tersebut adalah antara sekolah-sekolah yang terbersih yang pernah penulis lihat.

Bagi penulis, kita harus mengamalkan konsep bertanggungjawab terhadap sampah sendiri sejak kecil lagi. Konsep setiap pelajar adalah bertanggungjawab untuk mengemas bilik darjah mereka sendiri dan juga kawasan persekitaran seperti kantin dan tandas perlu diterapkan.

Apabila sikap bertanggungjawab dan pemilikan bersama ini sudah dalam sanubari setiap pelajar pastinya mereka juga akan membesar dengan mengamalkan konsep ini di mana sahaja mereka berada.

Justeru setiap individu perlu mengetahui cara untuk mengurangkan pembuangan sampah dengan menjalankan aktiviti kitar semula. Di samping itu terdapat sikap segelintir masyarakat yang merasakan sampah yang telah dibuang patut diuruskan oleh orang lain patut dikikis. Hakikatnya, tanggapan salah terhadap sampah dan kebersihan seharusnya diperbetulkan. Dari situ baharulah sikap yang betul terhadap kekemasan dapat dijana.

Adalah tidak keterlaluan jika kita mewujudkan perubahan sikap ini menerusi kepimpinan menerusi teladan. Libatkan semua ketua jabatan dalam setiap program kebersihan harian. Kita kurangkan kebergantungan terhadap pekerja pembersihan, dan mengambil alih tugas mereka dan pengagihan secara bergilir-gilir kepada setiap warga di tempat kerja.

Penulis yakin jika perencanaan ini berjaya, sikap kita terhadap pembersihan pasti berubah.

Kalau kita bercita-cita untuk meletakkan Malaysia dalam senarai 10 negara terbersih di dunia, marilah mulakan dengan dua ­kaedah awal ini iaitu me­ngurangkan tong sampah secara perlahan-lahan dan menerapkan konsep kita bertanggungjawab terhadap sampah yang kita sendiri hasilkan sejak dari bangku sekolah lagi.

Penulis amat khuatir, kegagalan merancang dalam ­menyemai sikap pembersih ini, membuka ruang kepada generasi akan datang menyalahkan kita selama-lamanya.

DR. AHMAD ZAHARUDDIN SANI AHMAD SABRI dari Universiti Utara Malaysia.

Artikel Berkaitan
Video Pilihan
Artikel Lain