Pernahkah anda dengar tentang SEBENARNYA.MY

Logo Kaji Selidik Pembaca

Pernahkah anda dengar tentang SEBENARNYA.MY ?

Pernahkah anda dengar tentang SEBENARNYA.MY ?




Sila respon kepada soalan di atas untuk menutup skrin ini

Show result

Kurangkan impak pembalakan hutan negara

JABATAN Perhutanan Negeri Kedah mengarahkan sebuah syarikat yang
JABATAN Perhutanan Negeri Kedah mengarahkan sebuah syarikat yang menjalankan aktiviti pembalakan di Hutan Simpan Ulu Muda di Sik agar menghentikan operasi serta-merta setelah disyaki melakukan pelbagai kesalahan hutan pada 5 Mac lalu. IHSAN JABATAN PERHUTANAN KEDAH

DI dalam mengharungi arus pemodenan dan pembangunan seiring dengan perjalanan waktu, seringkali masyarakat terlepas pandang terhadap peri pentingnya persekitaran yang kita diami. Satu kajian oleh Universiti Yale di Amerika yang menggunakan data satelit remote sensing ­telah menganggarkan bahawa muka bumi ini memiliki kira-kira 3.04 trilion batang pokok.

Kajian ini diterbitkan di dalam jurnal Nature pada 2015. Namun apa yang telah dilaporkan adalah sebanyak 46 peratus daripada jumlah tersebut telah ditebang secara rakusnya sejak zaman ketamadunan manusia. Antara rumusan yang dibuat bahawa hutan yang berkepadatan tinggi adalah dari hutan tropika iaitu 43 peratus.

Hutan sering disebut dan diumpamakan sebagai paru-paru kepada bumi. Tidak dapat disangkal melalui kajian saintifik hutan mempunyai banyak kepentingannya antaranya menyerap pencemaran gas karbon dioksida dan membekalkan oksigen kepada semua spesies hidupan melalui kitaran proses tertentu seperti pernafasan dan fotosintesis.

Selain itu, hutan juga membekalkan sumber kayu balak yang bermutu tinggi, menjadi span semula jadi yang berfungsi ­menyimpan air serta menyerap impak hujan dan bencana alam, sumber biodiversiti dan ekologi.

Aktiviti penuaian hutan atau pembalakan menyumbang kepada hasil negeri dan negara. Pada tahun 2015 hasil hutan me­nyumbang sebanyak 2.5% kepada ekonomi negara iaitu kira-kira RM20 bilion. Realitinya pada masa ini kawasan hutan ini semakin mengecil dari setahun ke setahun dan semakin jauh kerana desakan keperluan pembangunan bagi memenuhi keperluan masyarakat.

Secara umumnya operasi pembalakan sering dilihat sebagai penyebab utama kepada kerosakan alam sekitar dan bencana di Malaysia. Namun kenyataan seperti ini tidaklah tepat kerana negara ini mengamalkan sistem pe­ngurusan hutan yang berkekalan iaitu antara yang terbaik di dunia.

Sistem Pengurusan Memilih (Selective Management System) atau SMS yang diperkenalkan pada 1978 adalah tunjang kepada kelestarian hutan yang mencakupi kepentingan nilai ekonomi, sosial dan alam sekitar.

Selain sistem SMS, penambahbaikan teknik pembalakan telah diperkenalkan iaitu pembalakan kurang impak (Reduced Impact Logging) atau RIL. Teknik RIL ini dimulakan di Sarawak pada 1975. Di Semenanjung Malaysia amalan RIL telah didokumenkan pada 2003.

Teknik RIL dilaksanakan selari dengan teknologi yang ada seperti jentera logfisher di mana ia juga mengambil kira kesan penilaian alam sekitar (EIA), Kriteria dan Petunjuk Malaysia (MC&I), standard dan amalan pengurusan hutan untuk mengurangkan kesan negatif, seterusnya bagi membolehkan produk kayu negara mendapat pensijilan.

Sementara itu, EIA pula telah diperkenalkan kepada aktiviti pembalakan pada 1987 dengan merujuk kepada Akta Kualiti Alam Sekitar 1974.

Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM) turut mengeluarkan peraturan dan garis panduan seperti Garis Panduan Pembalakan, Spesifikasi Jalan Hutan, Garis Panduan RIL Semenanjung Malaysia dan juga mengamalkan Sistem Pengurusan Kualiti (QMS) MS ISO 9000:1994.

Garis Panduan Jalan Hutan 2010 diperkenalkan dan dikuatkuasakan pada 1 Januari 2011 bagi menggantikan Spesifikasi Jalan Hutan 1999 (Jalan tuju dan Lorong Penarik) untuk Semenanjung Malaysia.

Teknik RIL ini telah memberikan kesan kerosakan pada tahap terendah (20%) kepada pokok tinggal atau stok, tanah dan kualiti air.

Sementara itu, pembalakan dengan kaedah RIL juga telah terbukti dapat mengurangkan kerosakan pada pokok tinggal sebanyak 50% berbanding de­ngan pembalakan konvensional. Apa yang lebih penting ia dapat mengekalkan kapasiti pengeluaran hasil hutan dan melindungi alam sekitar.

Penyelidikan di dalam operasi dan kejuruteraan hutan adalah perlu bagi menyokong pelaksa­naan SMS terutamanya teknik RIL. Kebaikan yang diperoleh dari penyelidikan yang berterusan dalam bidang ini akan menambahbaik sistem operasi pembalakan. Ini kerana RIL memfokuskan kepada pembinaan jalan hutan, sistem penebangan berarah, amalan penarikan balak dan penggunaan jentera-jentera pembalakan secara yang betul.

Malaysia sentiasa komited di dalam menguruskan hutan secara berkesan melalui pengurusan yang mesra alam. Dijangkakan jumlah keluasan kawasan pembalakan dari Hutan Simpan Kekal berkurangan daripada 18.31 juta hektar kepada 16.73 juta hektar menjelang tahun 2020.

Ini berdasarkan purata tahunan kawasan hutan yang telah di balak sejak 1985 hingga 2014. Teknik pembalakan akan lebih menitikberatkan elemen-elemen pemeliharaan dan pemuliharaan kepada kepelbagaian biodiversiti hutan dan perlindungan alam sekitar.

Menjelang 2020 pengurusan hutan akan lebih tertumpu kepada integrasi pelbagai guna hutan untuk menjamin sumber air dan melindungi kesan bencana alam seperti banjir kilat yang kerap berlaku sejak kebelakangan ini. Selain itu, pengurusan hutan negara lebih sensitif terhadap fenomena mengenai pelepasan bahang atmosfera dari kawasan berhutan untuk mengawal kesan kepada perubahan iklim.

PROF. MADYA DR. MOHD.

HASMADI ISMAIL ialah Ketua Jabatan Pengeluaran Hutan, Fakulti Perhutanan, Universiti Putra Malaysia (UPM).

Artikel Berkaitan
Video Pilihan
Artikel Lain