Saya menjawab balik “Cukup pantaskan Sdr. Daud? Pilihan raya umum pula kurang 700 hari dari sekarang...”

Seorang lagi kenalan Daud menjawab: “Dah mula countdown PRU14. Selepas berakhirnya PRN Sarawak, hari yang mendatang akan bertambah laju.”

Benar. Masa berlalu terlalu cepat. Tanpa kita sedari saya sudah menerima senarai daripada Jawatankuasa Surau Al-Hidayah tempat saya tinggal, rumah-rumah yang akan bertugas di bulan Ramadan.

Hah, sudah bulan April sekarang. Bulan Jun sudah masuk Ramadan dan umat Islam akan sibuk bertarawih dan masuk Syawal, lebih meriahlah suasananya.

Namun bahang politik tanah air masih belum reda. Kepanasannya masih membara. Kedua-dua pihak cuba mempertahankan diri masing-masing.

Saya lihat belum ada kesudahannya. Rakyat mula gelisah.

Semalam saudara mara dari Kedah berkunjung ke rumah. Ber­cerita perkara yang sama.

Tiba-tiba dia berkata, hari ini Ulang Tahun ke-60 Mara (Syabas Mara!). Betapa sedihnya jika institusi kenegaraan ini tidak boleh dipertahankan.

Ramai orang Melayu, termasuk saya mendapat habuan besar pendidikan daripada majlis amanah itu.

“Mara dahulu yang akan pergi,” kata pendek ahli biologi pencen itu, sambil merenung jauh.

Tiba-tiba jiwa saya berkata “memang benar kata Bang Kob”.

Suasana politik masih belum reda. Sudah ada puak-puak pula? Puak itu ada sub pecahan puak pula. Melayu sudah berpecah lebih dahsyat.

Dulu teori empirikal Cuit mentafsirkan Melayu pecah tujuh - Melayu UMNO, Melayu Pas, Melayu PKR, Melayu DAP, Melayu Liberal, Melayu NGO, Melayu Atas Pagar (Melayu Tak Kisah). (Rujuk Buku Cuit: Dilema Melayu Moden)

Kini ia semakin berkecamuk. Kini sudah ada Melayu yang mengikuti pemimpin pula? Tiada lagi erti negarawan. Mantan pemimpin dahulu kini menjadi musuh. Macam suami isteri baru bercerai.

Nampak gaya dendam orang Melayu ini mengatasi keimanan mereka. Tiada lagi tatasusila.

Politik nampak lagi keliru. Yang menentang dulu kini boleh berkawan pula. Yang sana sini, yang sini sana. Dah jadi rojak politik ­Malaysia ini.

Melayu sebaliknya semakin tenat. Melayu yang dahulu majoriti, kini sudah menjadi sub-sub pecahan minoriti.

Yang berotak liberal sanggup ke London untuk kondem kerajaan ini. Mereka itu Melayu. Tapi ala-ala hipster yang tak tentu hala. Mereka ini memanglah tak ada hati Melayu, malah tak berpijak di bumi nyata.

Saya pernah ada kawan seperti ini semasa belajar di luar negara dulu. Dia gadis Melayu totok Singapura. Tapi tak mahu mengaku Melayu. Itu berpuluh tahun lalu. Kini ia sudah menular di Tanah Melayu ini sendiri. Melayu Malaysia kini segan mahu bercakap men­genai Melayu, apatah lagi mempertahankan bangsanya sendiri.

Sesiapa yang mempunyai grand design terhadap perencanaan-perencanaan ini, kini sudah dikira berjayalah.

Misi mereka hanya akan dikira berjaya secara total mutlak, kurang 700 hari dari sekarang.

Terlalu ngeri jika kita hitung hari tu. Angka dua tahun mungkin di­kira lama, tapi kurang 700 hari adalah satu kesedaran bahawa ia seperti esok hari.

“Setahun masa berlalu...” kata Daud semasa kali terakhir kami bergambar dan berjumpa.

Kini kurang 700 hari lagi rakyat negara ini akan menentukan mandat kepada kerajaan yang akan ­datang.

Jika kita semua masih tak sedarkan diri, masih bersengketa sesama sendiri, terimalah akibatnya.

Janganlah diharap lagi simpati dari rakyat marhaen. Selama ini walau bergaduh besar macam mana pun, kedaulatan kita masih dipertahankan oleh orang-orang kampung.

Dan apabila mandat diberikan, mereka mula buat hal semula. Orang Kampung sekali lagi jadi taruhan.

Tapi saudara saya dari kampung di Jitra itu pun dah mulai bersuara. Letih, katanya. Tak habis-habis bercakaran. Yang oportunis pula menangguk di air keruh dalam kegawatan ini. Golongan ini banyak dalam politik, baik sebelah sini ­mahupun sebelah sana.

Namun bagi Bang Kob, saya ­dapat rasakan dia tiada pilihan. Benarkah dia tiada pilihan?

Tapi bagaimana pula Melayu yang lain? Kita tunggu 700 hari lagi, adakah mimpi kita ini mimpi indah atau sebaliknya.