Begitu juga kalau kita me­ngunjungi laman-laman sosial termasuklah Twitter atau Facebook. Kita akan mendapati bagaimana tohmahan, fitnah, maki hamun dan caci mencaci terus berlaku biarpun yang terlibat itu sesama Islam. Ternyata bagi sesetengah kelompok yang terlibat dalam politik, ‘tiada gencatan senjata’ sepanjang Ramadan. Mereka tetap mengeluarkan perkataan yang tidak sepatutnya hanya dise­babkan perbezaan ideologi politik atau pandangan.

Tindakan itu sudah pasti bertentangan dengan ajaran Islam. Ini memandangkan bukan sahaja di bulan Ramadan malah di bulan-bulan lain juga umat Islam perlu menjaga tingkah laku, tutur kata dan perbuatan mereka.

Firman Allah SWT dalam suarah Al-Ahzab ayat 70 hingga 71 bermaksud: “Wahai orang yang beriman, bertakwalah kamu sekalian kepada Allah dan katakanlah perkataan yang benar, nescaya Allah memperbaiki amalanmu dan mengampuni dosa-dosamu. Barang siapa mentaati Allah dan Rasul-Nya, maka sesungguhnya dia telah mendapat kemenangan yang besar.”

Berdasarkan kepada firman Allah itulah pada 1 Jun lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam blognya meng­ajak umat Islam menghentikan tabiat buruk serta menjaga tutur dalam bulan Ramadan.

Perdana Menteri berkata, beliau amat tertarik dengan perkongsian Mufti Zimbabwe, Mufti Ismail Menk yang mengajak semua umat Islam supaya menghentikan segala tabiat buruk.

“Sama-samalah kita menjaga tutur kata, mengelak daripada tuduh-menuduh atau menyebar fitnah kerana perbuatan sebegini sangat merugikan dan boleh membawa kepada kemusnahan,” kata Perdana Menteri.

Tetapi malangnya nasihat ini seolah-olah tidak dipedulikan oleh sesetengah ahli politik apabila ada dalam kalangan mereka termasuk yang berada dalam kerajaan mengeluarkan kata-kata menyinggung perasaan pihak lain.

Isu yang sepatutnya diselesaikan secara berhemah dan bersopan santun sebaliknya ‘dihiasi’ dengan kenyataan angkuh dan memperlekehkan orang lain. Jus­teru bagi umat Islam khususnya bertaraf pemimpin janganlah mudah mengeluarkan kata-kata yang boleh menyakiti hati orang lain. Berhati-hati dalam berkata-kata. Tidak apalah kalau mahu berasa lebih hebat tetapi belajarlah menghormati orang lain apatah lagi di bulan suci ini.

Sepanjang Ramadan juga kita melihat bagaimana ada dalam kalangan pemimpin pembangkang beragama Islam terus mengamalkan politik tohmahan, fitnah dan persepsi. ‘Pakar persepsi, putar belit dan pembohongan (3P)’ mereka terus menyerang kerajaan dengan membangkitkan isu-isu yang antaranya sudah ‘sah-sah’ tidak benar.

Contohnya, apabila ‘pakar 3P’ itu menguar-uarkan bahawa minyak petrol dan diesel akan naik sepanjang bulan ini, tetapi setakat ini sudah dua kali harga tersebut turun. Bagaimanapun ‘pakar’ tersebut tidak bersuara dan mendiamkan diri kerana ‘misi awalnya’ untuk meracuni fikiran rakyat dengan mewujudkan prasangka buruk terhadap kerajaan sudah berjaya.

Kalau beliau jujur dalam perjuangan atas nama kebenaran maka apabila jangkaan atau ramalannya salah, beliau sepatutnya meminta maaf, tetapi perkara itu tidak berlaku kerana beliau suka mengamalkan politik prasangka biarpun ia boleh mendatangkan kemudaratan.

Individu-individu seumpama ini sengaja melupakan firman Allah SWT dalm surah Al-Hujurat ayat 12 yang bermaksud;“ Wahai orang yang beriman, jauhilah kebanyakan berprasangka, kerana sesungguhnya sebahagian tindakan berprasangka itu adalah dosa. Janganlah kamu mencari-cari kesalahan orang lain dan janganlah sebahagian kamu mengejek sebahagian yang lain. Sukakah salah seorang di antara kamu memakan daging saudaranya yang sudah mati ? Tentu kamu merasa jijik kepadanya. Dan bertakwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah Maha Penerima taubat lagi Maha Penyayang.”

Sememangnya apa yang berlaku dalam dunia politik sepanjang Ramadan kali ini amat mengecewakan. Seharusnya da­lam apa keadaan sekalipun umat Islam perlu menunjukkan teladan yang baik.

Malangnya, sesetengah ahli politik tetap dengan perangai buruk mereka di sepanjang bulan suci ini. Apa yang diperkatakan bukanlah bermaksud mereka boleh berperangai buruk pada bulan-bulan lain, tetapi perlu menjaga had kalaupun mahu terus berpolitik.

Keadaan menjadi lebih buruk apabila di laman-laman sosial pula, ada pengikut-pengikut mereka menyokong secara membuta tuli setiap hujah pemimpin idola mereka, walaupun mereka sendiri tidak tahu sejauh mana kebenarannya. Dalam soal ini, sebagai umat Islam, kita perlu memahami bahawa Allah SWT berfirman dalam surah Qaf ayat 16 hingga 18 bermaksud;

“Dan sesungguhnya Kami te­lah menciptakan manusia dan ­mengetahui apa yang dibisikkan oleh hatinya, dan Kami lebih dekat kepadanya daripada urat lehernya, (iaitu) ketika dua orang malaikat mencatat amal perbuatannya, seorang duduk di sebelah kanan dan yang lain duduk di se­belah kiri. Tiada suatu ucapan pun yang diucapkannya melainkan di dekatnya malaikat pengawas yang selalu hadir.’’

Oleh itu, di penghujung Ramadan ini, cukup-cukuplah kita bertelagah pasal politik. Kumpulkanlah tenaga dan masa bagi meningkatkan ketakwaan kita kepada Allah dan mengumpul pahala sebanyak mungkin. Kalaupun malas hendak menambah pahala tidak usahlah melakukan perbuatan yang boleh meningkatkan dosa.