Pernahkah anda dengar tentang SEBENARNYA.MY

Logo Kaji Selidik Pembaca

Pernahkah anda melayari portal SEBENARNYA.MY ?

Pernahkah anda dengar tentang SEBENARNYA.MY ?




Sila respon kepada soalan di atas untuk menutup skrin ini

Show result

Kuman rabies boleh dikawal, disekat

PEGAWAI Jabatan Veterinar Sarawak menyuntik vaksinasi kepada anjing
PEGAWAI Jabatan Veterinar Sarawak menyuntik vaksinasi kepada anjing milik salah seorang penduduk Kampung Lebor, Gedong, Serian, Sawarak, baru-baru ini. BERNAMA

RABIES adalah isu kesihatan awam di dunia ini. Ia adalah masalah kesihatan persekitaran yang kurang dititikberatkan di samping kurang tahap pengetahuan serta kesedaran dalam kalangan penduduk mahupun pekerja kesihatan di negara ini.

Ia adalah penyakit zoonotik yang berlaku di dalam populasi haiwan liar yang membiak di kawasan pedalaman atau hutan. Jangkitan bermula apabila haiwan reservoir virus rabies menggigit atau melukakan haiwan liar lain. Haiwan reservoir tersebut adalah seperti kelawar dan serigala.

Kuman rabies adalah Lyssavirus dari kumpulan Rhabdoviridae yang berbentuk seperti peluru dengan saiz 10 nanometer, berada di dalam kelenjar air liur haiwan reservoir dan haiwan yang terjangkit. Selain air liur, virus tersebut juga berada di dalam cecair badan lain haiwan seperti air mata, hidung, dan mulut. Kajian lain juga mendapati virus ini boleh terjangkit melalui titisan cecair mulut atau hidung yang terhembus keluar pada jarak dedahan yang dekat. Organ-organ dalaman juga didapati mengan­dungi virus berkenaan.

Bukan hanya anjing dan ku­cing, haiwan ternakan seperti lembu dan khinzir, dan haiwan pemeliharaan seperti feret juga boleh dijangkiti dan boleh membahayakan nyawa pemiliknya atau mereka di sekitarnya seperti di rumah atau kampung. Haiwan-haiwan lain mempunyai risiko yang amat rendah untuk dijangkiti dan menjangkiti kepada manusia.

Kerapkali serangan yang berlaku pada manusia adalah ketika haiwan peliharaan tersebut nampak seperti sihat, tanpa sebarang kesusutan dari aspek kesihatan, pemakanan mahupun tabiat. Ini berlainan dengan haiwan liar yang mungkin nampak agresif ketika serangan pada mangsa. Virus yang berada di dalam kelenjar air liur haiwan itu akan memasuki luka kecederaan lalu menyerang sistem saraf dan otak mangsa selepas digigit atau dilukai oleh haiwan yang berjangkit. Tiada jangkitan antara manusia ke manusia pernah berlaku melainkan seseorang itu telah menunjukkan kesan gejala rabies atau melalui pemindahan organ tercemar dengan virus.

Tanda mula jangkitan berlaku adalah seperti seseorang itu mengalami demam selesema, demam, sakit badan, tidak selesa, atau sakit kepala selama beberapa hari. Kawasan kulit yang kena gigit juga berada gatal, sakit dan tidak selesa. Selepas dua atau 10 hari, bergantung kepada dos virus, lokasi gigitan, usia dan sistem imun badan mangsa, ada kemungkinan juga sehingga tujuh tahun, tanda rabies mula kelihatan. Pada ketika ini, rawatan perubatan tidak dapat membantu lagi dan sering membawa maut.

Tanda teruk penyakit rabies adalah seperti rasa takut, takut air, silau mata pada cahaya, batuk, kurang tidur, halusinasi, agresif, meracau, sawan, dan akhirnya tidak sedarkan diri atau koma. Ada juga pesakit yang mengalami lumpuh, kekeliruan, koma dan akhirnya meninggal dunia.

Dari aspek toksikologi, virus rabies ini memasuki kulit, melipatgandakan bilangan di dalam tisu otot lalu menyerang saraf sensori dan motor untuk ke saraf tunjang. Dari situ, virus ini akan naik ke sistem otak pusat dan menyebabkan inflamasi yang teruk. Apabila bilangan virus telah banyak, ia akan turun kembali melalui sistem saraf ke organ lain dalam tubuh mangsa lalu menyebabkan iritasi neuron dan kelumpuhan. Virus rabies tidak menjangkiti darah mangsa. Gangguan teruk pada sistem otak pusat menyebabkan pernafasan turut terhenti dan menyebabkan kematian. Toksisiti adalah akibat penghasilan sitokinen berlebihan yang merosakkan sel utama otak iaitu neuron.

Oleh itu, usaha pengawalan adalah amat penting bagi membendung wabak rabies ini. Dalam mengawal penyakit ini, pastikan kawasan rumah atau kampung adalah bersih yang boleh me­ngundang kedatangan haiwan reservoir. Pokok buah-buahan yang ada perlu diselenggara dan di­bersihkan agar haiwan liar seperti kelawar tidak datang. Tutup tingkap dan pintu pada waktu malam agar tidak dima­suki kelawar yang tertarik kepada cahaya. Reban dan kandang ternakan hendaklah dibersih dan dipantau agar tiada potensi untuk pencerobohan haiwan liar.

Haiwan peliharaan hendaklah divaksinkan mengikut nasihat Jabatan Veterinar. Pelihara haiwan tersebut di dalam rumah, jangan dibiarkan berkeliaran di luar rumah atau pagar. Sekiranya digigit atau dicederakan oleh haiwan peliharaan, kurung haiwan berkenaan berasingan sekurang-kurangnya 10 hari untuk memastikan haiwan itu bebas dari rabies. Dapatkan suntikan antitetanus dan nasihat pihak kesihatan de­ngan segera untuk vaksin rabies.

Jika ada kematian dalam kalangan haiwan ternakan atau ada yang tidak sihat, segera lapor pada pihak berkenaan. Jangan sentuh haiwan tersebut kerana risiko jangkitan virus rabies adalah tinggi walaupun haiwan tersebut telah mati.

Daging haiwan ternakan yang sakit atau mati tidak boleh dijual atau dimakan kerana ia mungkin mengandungi virus rabies. Pengambilan daging secara mentah mempunyai risiko yang lebih tinggi untuk dijangkiti. Hentikan tabiat memakan daging haiwan liar.

Anjing yang digunakan sebagai haiwan memburu, perlu divaksin dan dipantau kesihatannya, sebaiknya oleh doktor haiwan bagi memastikan tidak terdedah atau menghidapi virus rabies akibat dedahan semasa memburu di dalam hutan.

Anjing dan kucing liar di kawasan penduduk atau pe­rumahan hendaklah dikawal agar jumlah populasi mereka tidak mendatangkan masalah kepada masyarakat setempat. Perlu ada pusat penjagaan sementara bagi haiwan-haiwan berkenaan sebelum diambil sebagai haiwan peliharaan atau dilupuskan mengikut keperluan dan ke­adaan semasa.

Setiap tahun, seramai 55,000 orang dijangkiti dan mati akibat virus rabies terutama di negara Afrika dan Asia. Ia adalah 100% boleh dicegah dengan mengamalkan persekitaran yang bersih dan bebas sampah dan sisa makanan, di samping vaksinasi haiwan mengikut garis panduan oleh pihak berkuasa dan pemeriksaan kesihatan haiwan secara berkala di klinik-klinik.

Prof. Madya Dr. Mohd. Hasni Jaafar ialah Pakar Kesihatan Persekitaran dan Toksikologi Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Artikel Berkaitan
Video Pilihan
Artikel Lain