Terowong itu menyimpan seribu satu cerita bersejarah yang masih tidak terungkai sehingga sekarang. Selain berfungsi sebagai kubu yang dibina penjajah British, masih banyak misteri yang ‘dikunci’ di sepanjang laluan bawah tanah yang berselirat di dalam terowong itu.

Peminat sejarah Perang Dunia Kedua, Mohd. Marzuki Zakaria, 34, berkata, dia menghabiskan cuti hujung minggu dengan meneroka terowong bawah tanah yang terletak di kawasan bekas kompleks pertahanan zaman penjajahan British itu.

Mohd. Marzuki yang bertugas sebagai pegawai keselamatan di pekan Pengerang berkata, kawasan tersebut merupakan tinggalan sejarah yang menarik untuk tatapan generasi masa kini.

“Hanya tinggalan sejarah ini yang masih kekal di Pengerang. Kampung-kampung asal di kawasan ini sudah tiada kerana telah dijadikan kawasan industri minyak dan gas.

“Jadi, ini antara tarikan yang wajar dikekalkan. Sebenarnya, masih banyak lagi misteri yang belum diterokai di Pengerang Battery ini,” katanya kepada S2.

Terowong bawah tanah itu merupakan sebahagian kawasan kompleks pertahanan zaman penjajahan British. Lokasi ini terletak di Bukit Pengerang yang kini menjadi milik Pangkalan TLDM KD Sultan Ismail.

Terletak bersebelahannya adalah Kompleks Kastam dan Imigresen yang mula beroperasi sejak 1990-an.

Tanjung Pengelih terletak kira-kira satu jam setengah dari Johor Bharu.

Setelah dijadikan kawasan yang sedang dibangunkan untuk industri minyak dan gas, Tanjung Pengelih masih kekal tidak terusik memandangkan terdapat kem TLDM di situ, sementara kampung-kampung kecil yang dihuni penduduk asal telah dipindahkan ke kawasan lain di mukim itu beberapa tahun lalu.

Namun, pemandangan itu tidak menghalang orang ramai untuk mengunjungi tapak kompleks pertahanan zaman penjajahan British tersebut.

Pengerang Battery merupakan kompleks pertahanan yang lengkap dengan pelbagai infrastruktur termasuk hospital, tempat simpanan makanan, senjata dan peluru, kubu bawah tanah serta terowong rahsia yang dibina bagi menghadapi serangan tentera Jepun pada awal 1940-an.

Namun, kemudahan di kompleks pertahanan tersebut tidak sempat digunakan apabila tentera Jepun tidak menyerang Singapura melalui Pengerang, sebaliknya menggunakan laluan Johor Bharu sebelum berjaya mengalahkan British pada Februari 1942.

Bukit Pengerang yang menempatkan Pengerang Battery itu mempunyai ketinggian kira-kira 200 meter dan menjadi tempat strategik bagi pertahanan ketenteraan British ketika itu.

Kata Mohd. Marzuki, ketika menyelusuri di dalam terowong bawah tanah itu, laluan yang dimasukinya seolah-olah tidak berpenghujung.

“Namun sampai satu ketika, saya terpaksa berpatah balik ke pintu masuk kerana keadaan terlalu gelap dan tidak tahu apa yang ada di hadapan. Faktor keselamatan juga harus diambil kira bagi mereka yang mahu memasuki terowong ini,” katanya.

Selain terowong, terdapat beberapa binaan bangunan yang telah usang di sekitar Bukit Pengerang. Antara binaan itu adalah bangunan hospital dan pusat pemerintahan tentera British bagi menghadapi serangan tentera Jepun dari laut.

Namun kesemua prasarana itu tidak sempat digunakan dan ditinggalkan begitu sahaja apabila tentera Jepun menyerang dan menawan Singapura, sementara British pula menyerah kalah.

Kawasan bersejarah di Tanjung Pengelih itu tidak sukar dilawati memandangkan ia terletak tidak jauh dari bandar Penawar, Tanjung Balau dan Desaru yang menyediakan pelbagai kemudahan terutama penginapan resort dan calet.