Ini sekali gus memperlihatkan jika ada pihak yang mengharapkan UMNO luntur dan runtuh, semalam dan hari ini membuktikan UMNO tetap utuh, tetap kukuh, tetap padu dan perkasa.

Saya ingin memetik mutiara kata Yusuf Al-Qaradawi, yang menyebutkan bahawa setiap penyakit ada penawarnya, setiap masalah pasti ada jalan penyelesaiannya dan setiap persoalan pasti ada jawapannya.

UMNO KEKAL UTUH

Benar kita menghadapi kemelut dan benar menghadapi permasalahan yang pelbagai. Tidak ramai yang sanggup membebani permasalahan sebagai mana yang kita hadapi, hanya yang mempunyai daya tahan, daya juang dan daya saing yang terus sanggup untuk berada bukan sahaja di atas pentas di dewan ini, tetapi saya memperkirakan jika di luar sana mengharapkan UMNO runtuh tetapi dengan semangat ini, UMNO insya-Allah terus kukuh, kekal dan gagah.

Saya lihat apa yang diharapkan oleh para pembahas terutamanya perkara yang menyentuh mengenai imej parti, dan juga mengenai persoalan-persoalan berkaitan dengan kesinambungan perjuangan kita yang menjadi tajuk utama yang terus membarakan semangat bukan sahaja dalam kalangan para pembahas tetapi saya yakin ia suara hati daripada jurucakap yang mewakili negeri-negeri berkenaan.

Saya melihat dengan dekat tentang soal tawaduk dalam kalangan kita, tentang bagaimana kita harus menyantuni jiwa masyarakat keseluruhannya. Kita amat peka, di luar sana rakyat sesungguhnya sangat mengharapkan kita dan mereka sering mendoakan agar kekuatan terus ada pada kita, ya, kita akan terus diuji-diuji, diuji dan diasak. Saya menghargai lontaran pandangan pembahas-pembahas terutamanya wakil Pulau Pinang, Datuk Mohd. Zaidi Said yang memberikan mandat kepada kita semua untuk melakukan apa sahaja yang terbaik demi kepentingan UMNO, demi kepentingan kesinambungan perjuangan kita, demi kepentingan orang Melayu, Islam dan rumpun Melayu keseluruhannya.

Kagum juga saya dengan mak long, saya kira mak long sebelum berucap tentu pakai kain merah dan baju kurung. Rupanya mak long adalah pilihan yang tepat, Datuk Jamil Khir memilih Wakil Kedah untuk menjadi jurucakap tahun ini, tiada banyak suara. Kalau Datuk Seri Najib (Tun Razak) kalau ada di sini mungkin akan jatuh hati dengan beliau. Kawan lelaki, DJ radio yang boleh memiliki pelbagai suara, Datuk Jamil kalau tahun depan saya mahu kalau boleh mak long berucap lagi.

TUNTUT ASET UMNO

Saya faham rakan-rakan saya yang lain menjadi pembahas dan jurucakap negeri telah melontarkan banyak perkara, mereka cukup prihatin tentang soal pengurusan aset UMNO. Saya ingin memaklumkan yang melontarkan pandangan bahawa Majlis Tertinggi telah memberikan mandat kepada saya untuk melantik Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor (Bendahari UMNO) untuk memperoleh semua aset UMNO daripada penama-penama atau trustee yang selama ini dipegang oleh orang itu untuk dikembalikan kepada UMNO dengan segera.

Pengembalian ini akan kemudiannya dibawa ke jawatankuasa pengurusan dan dibentangkan secara terus transparent pada ahli-ahli Majlis Tertinggi kerana bayangan yang ada bahawa seolah-olah kita mempunyai aset yang bernilai berbilion-bilion ringgit. Tetapi apabila saya melihat aset dan liabiliti daripada laporan yang diberikan oleh rakan-rakan kita yang menjadi CEO kepada syarikat-syarikat dan juga pemegang saham kepada bagi pihak UMNO ini, saya lihat harta kita tidak sebanyak itu.

Tetapi, saya dapati ada kalangan penama ini yang Presiden dahulu telah meletakkan kepercayaan padanya bagi pihak UMNO apabila ditemui menyatakan bahawa saham atau aset itu mereka punya. UMNO akan mengambil tindakan undang-undang untuk memperoleh balik aset-aset itu.

Trustee adalah pemegang amanah, kita tidak mahu orang yang tidak amanah memegang amanah bagi pihak kita. UMNO menuntut balik segala-galanya. Saya tak perlu memohon mandat daripada tuan -tuan dan puan-puan kerana saya yakin di hati semua telah memberikan mandat kepada saya untuk melakukan sebaik-baiknya.

Selain itu saya juga ingin memaklumkan di dalam pemerkasaan UMNO, kita mempunyai angka 1, 7 dan 21. Satu adalah matlamat kita untuk menjadi kerajaan. Tidak ada tempoh atau waktu tertentu. Tujuh adalah tujuh teras yang telah saya lontarkan malam tadi manakala 21 adalah langkah-langkah yang telah digarapkan. Maka 1,7 dan 21 ini, maka saya pohon ia dilaksanakan segera dengan kerjasama Majlis Tertinggi dengan dokongan perwakilan di peringkat negeri, bahagian dan cawangan. Saya sendiri akan jadi sekretariat pelaksanaan hala tuju UMNO ini.

Ertinya, apabila saya sendiri menjadi pengerusi sekretariat pelaksanaan ke21an langkah-langkah ini berlandaskan maka ertinya saya sendiri ambil kepedulian langkah ini untuk laksanakan langkah-langkah ini.

Dulu siapa kata yang UMNO tiada hala tuju, bila dikemukakan malam tadi ada 21 hala tuju berdasarkan teras, dia kata hala tuju UMNO tidak cukup kalau pemimpin tidak disukai. Hala tuju tak dapat dilaksanakan, itu pendapat peribadi.

Mandat telah diberikan kepada mereka dan kepada yang diberikan mandat ini perlu diberikan kepercayaan sepenuhnya untuk melaksanakan langkah itu. Malah saya telah berbincang dengan Yang Berhormat (YB) sama dengan Timbalan Presiden. Blueprint 2030 itu kita amat setuju Pemuda, Puteri dan Wanita laksanakan.

Saya memberi tempoh 60 hari supaya ketiga-tiga sayap duduk dan memastikan dikemukakan pada Majlis tertinggi untuk keputusan parti.

PENURUNAN KUASA

Soal penurunan kuasa , maksud saya sama dengan maksud Timbalan Presiden. Apabila cawangan-cawangan dan bahagian diturunkan kuasa ertinya, mereka harus melihat bahawa soal kepopularitian ini, populariti, minible, likeable dan winnible candidate without cable.

Setelah penubuhan negeri mengadakan perundingan dan perbincangan maka penurunan kuasa itu dengan melihat barang siapakah paling layak termasuk insya-Allah jika PRU akan datang sebagaimana yang diperlukan oleh Ketua UMNO Bahagian Batu Sapi dari Sabah, yang mewakili negeri Sabah yang mewakili Pergerakan Pemuda insya-Allah saya berjanji bukan tiga orang tidak kurang daripada 30 peratus calon Parlimen di kalangan pemuda.

Bagaimana perundingan-perundingan yang kita lakukan mengambil kira semua aspek, dengan demikian penurunan kuasa ini saya dan Timbalan mempunyai pandangan yang sama, bukan kuasa kita. kerana beliau khuatir saya pun khuatir bila kuasa diturunkan sepenuhnya kepada bahagian-bahagian, stop kita leave. Diharapkan jangan berlaku begitu. insya-Allah kita akan melakukan pemantauan.

USAHA PERKASAKAN SAYAP

Begitu juga saya ingin mengumumkan beberapa persetujuan dari lontaran pandangan pembahas-pembahas dari pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri. Dengan ini saya umumkan bahawa permintaan Pergerakan Wanita UMNO Malaysia untuk menjenamakan Wanita UMNO sebagai hanya Wanita UMNO Malaysia dipersetujui.

Dan ini akan dimuktamadkan setelah Mesyuarat Agung Luar Biasa memberikan pengesahan dan endorsement (sokongan) kerana ia termaktub dalam Perlembagaan UMNO itu sendiri dan peraturan UMNO. Jadi kita sidang Perwakilan jika bersetuju sepenuhnya, kita akan formalisedkan dalam AGM akan datang. Saya juga diminta oleh ketua wanita supaya program dambak media sosial diadakan setiap tahun.Dan ini saya setuju sepenuhnya untuk dilaksanakan.

Pergerakan Pemuda memohon perkara-perkara berikut dan saya setuju agar pengkaderan untuk mahasiswa, kelab UMNO dan pengkaderan Pemuda keseluruhan yang diselaraskan oleh Biro Latihan bagi golongan anak-anak muda diberikan mandat sepenuhnya Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia.

Begitu juga dengan pasukan mahasiswa dan kelab UMNO yang terletak di bawah sebuah sekretariat kita serahkan sepenuhnya di bawah Pergerakan Pemuda UMNO sepenuhnya. Begitu juga Akademik Pemuda dengan kepelbagaian dan juga pemikiran dan aktiviti profesional akan diselaraskan dalam sistem pengkaderan ini di samping mereka akan explore untuk memanfaatkan trainees atau pelatih-pelatih yang disebutkan oleh wakil Terengganu dan beliau tidak terkecuali untuk masuk dalam kumpulan ini bagi membantu pemuda-pemuda.

PENUBUHAN SEKOLAH PATRIOTISME

Dan memberikan mandat kepada sayap Pemuda, Wanita dan Puteri untuk membantu Pengerusi, Timbalan Pengerusi dan Setiausaha Agung BN melihat gagasan baharu penjenamaan BN diberikan perincian. Saya telah memandatkan sebuah task force diwujudkan dan saya memberi mereka 100 hari untuk menyiapkan cadangan-cadangan melalui task force ini.

Puteri telah mencadangkan beberapa perkara selain apa yang telah dilontarkan di dalam ucapan oleh Ketua Puteri dan telah saya respon malam tadi. Mereka memohon supaya Sekolah Patriotisme Wanita Muda diwujudkan, saya ingin mengumumkan bahawa kewujudan sekolah ini dipersetujui.

Yang keduanya untuk Puteri, adalah penyusunan aktivis media sosial yang dapat juga dibantu mereka. Dan juga penyemaian aktivis media ini mesti digarap oleh mereka. Jadi saya mengambil kira permintaan ketiga-tiga pergerakan kita itu. Tentunya ini adalah tambahan kepada tujuh teras dan 21 hala tuju yang telah saya umumkan. Maka segala yang dipersetujui itu akan dipantau melalui satu sekretariat yang saya akan pengerusikan.

Dalam keadaan itu, saya meminta supaya kita yang berada di cawangan, bahagian atau sebagai ahli biasa harus bersama pergerakan, rakan-rakan lain agar terlibat sama menjadi cybertrooper tanpa sebarang adanya pulangan.

Saya ingin ucapkan terima kasih kepada sukarelawan cybertrooper media maya yang membantu kita selama ini. Kita tepuk atas usaha-usaha mereka secara percuma selama ini.

Kerana mereka sekarang telah berbeza. Kerana dahulu mereka cukup taat kepada dua forces iaitu political masters and paymasters. Itu dahulu, tetapi saya ingin ucapkan penghargaan kepada mereka kerana tiada political masters atau paymasters, mereka hanya ada satu iaitu UMNO dan BN kerana mereka mahu kita bersatu dan menang semula.

Ini sesuatu yang baharu kerana mereka semua bersatu di dalam satu fikrah untuk menjuarai isu-isu rakyat. Dalam penjuaraan inilah kita harus wahdatul fikr (penyatuan pemikiran) dan wahdatul amal (penyatuan gerak kerja).

PERMUAFAKATAN POLITIK

Saya juga ingin memberi tumpuan terhadap tafsiran yang pelbagai tentang permuafakatan politik. Saya lihat respon daripada perwakilan malam tadi, memperlihatkan bahawa kita lebih selesa untuk menyatupadukan kesepakatan dalam gagasan kepembangkangan.

Ertinya, kita perlu memperkuatkan saf barisan kita, kita perlu memperkuatkan perpaduan parti dari akar umbi, bahagian, negeri dan nasional. Kalau kita kuat sebagai satu gagasan pembangkang bersama parti-parti lain, insya-Allah dengan dukungan pengundi yang bersama BN, dicampur dengan undi-undi barisan pembangkang yang merupakan sebahagian daripada gagasan kita, insya-Allah ini akan memperlihatkan terdapat lebih lima juta pengundi sedia ada akan bersama kita.

Jika usaha ini dapat dilakukan, saya yakin bukan sekadar lima juta yang akan kita peroleh apabila pemikiran disatukan di antara rakan-rakan parti politik dalam gagasan, pada hemat saya, dengan ketidakpuasan hati pengundi-pengundi yang merasakan janji-janji itu adalah janji palsu, saya fikir bahawa jumlah sedia ada akan ditambah daripada kalangan mereka yang tidak berpuas hati itu. Insya-Allah, apa juga usaha untuk menyerang kita dari luar tetapi kalau kita kuat dari dalam mereka tidak boleh berbuat apa-apa. Kekuatan kita tetap ada.

Kerana saya lihat bahawa biarpun ada pandangan mengatakan bahawa konsep government in waiting tidak boleh dilaksanakan, tetapi harus difahami bahawa tiada kerangka masa spesifik atau tempoh waktu terperinci.

Kerana sama ada ia berlaku dalam lima tahun akan datang, tiga tahun, empat tahun atau esok. Kita harus tidak jumud kerana sesebuah parti politik itu tidak statik, ia adalah dinamik. Jadi kita tidak tahu dalam mana-mana pilihan raya kecil (PRK). Kita tidak akan tahu apa akan berlaku, jika berlaku satu per satu PRK. Kita tidak tahu.

KUATKAN UMNO

Maka, kita seharusnya terbuka untuk memberi perubahan. Jangan kritik sebelum melihat. Ya, saya meraikan kritikan tetapi jangan melakukannya secara melulu. Apa sahaja kita lakukan tidak betul. Yang betul, orang itu sahaja. Ketepikanlah sikap itu.

Yang kita hendak kuatkan adalah UMNO, yang kita mahu tarik adalah kepercayaan semua dalam kalangan rakyat dan ahli. Kita ada dalam kalangan yang menebuk kapal dari dalam supaya kapal itu tenggelam, apabila kapal itu dimasuki air akibat bocor, maka itu saya fikir itu bukan perbezaan pendapat. Itu ertinya pengkhianat kepada parti.

Sudah-sudahlah berbeza pendapat, berbincanglah dalam hikmah wadah hasanah dengan kebijaksanaan, tatasusilaan dan ketertiban. Ya, saya amat terbuka, tetapi keterbukaan saya apabila diasak ke dinding, saya ada had. Ya, saya meraikan semua itu. Anda tahu DNA perjuangan saya.

Saya tidak mahu memperlihatkan warna sebenar kerana saya membayangkan bahawa jika ada harimau betina dalam badan saya atau kambing, sama ada kambing jantan atau kambing betina pun, asalkan pada situasi keseluruhan.

Tapi dalam hal ini saya fikir kita mesti bersatu hati. Cukup-cukuplah, pintu saya sentiasa terbuka, pintu pejabat saya sentiasa terbuka, tak payah buat appointment kalau saya tahu orang itu mahu ingin memberikan lontaran pandangan berbeza atau datang ke pejabat saya masih lagi di tingkat 38B PWTC. My door is open.

Kenapa cerita dalam rumah? Kenapa cerita dalam kelambu? Mungkin sekarang kita tidak tidur dalam kelambu atau di bilik tidur kita, kita mahu menceritakan di depan anak-anak ketika makan atau family hall. Lebih teruk lagi cerita masalah dalam bilik tidur di tepi jalan di hadapan rumah kita.

Kalau kita bijaksana, kita ada teknologi yang boleh difahami. Oleh yang demikian, saya harap sangat ini demi kepentingan UMNO secara keseluruhan, yang saya harapkan housekeeping dalam kalangan kita supaya permasalahan dalam parti diselesaikan.

Saya faham sangat apa yang berlaku di bahagian-bahagian. Saya tidak mahu berkongsi perkara itu sebab saya tidak mahu cerita apa benda dalam bilik tidur di pejabat UMNO tetapi saya dipertanggungjawabkan amanah ini dan saya akan lakukan sebaik-baiknya di peringkat kepemimpinan kita.

TINDAKAN BERSAMA BUKAN PINTU BELAKANG

Saya tidak mahu juga usaha-usaha di pintu belakang, nak berunding nak bawa seorang, nak bawa 17 orang (Ahli Parlimen), nak bawa 30 orang, saya tahu. Usahalah, tetapi saya telah diberikan mandat sebagai ketika itu pemangku Presiden UMNO dan ketika itu saya dengan rakan-rakan saya menjalankan tugas sebagai Pengerusi BN, apa sahaja tindakan yang kita dilakukan mestilah tindakan bersama, perlu dilaksanakan secara enbloc.

Bukan untuk meracik-racikkan, bawa 10, 17, 30 dan sebagainya apabila saya dan rakan-rakan saya menyediakan badan alternatif daripada 17 orang disenaraikan yang kononnya mahu meninggalkan parti, 13 daripadanya ada datang sini, termasuk Ketua Penerangan. Kedudukan beliau dalam senarai itu nombor tiga, tentu harga mahal tetapi beliau sendiri mengesahkan no way. Tidak ada jalan untuk beliau meninggalkan UMNO ini. Begitu juga rakan-rakan lain ahli Parlimen di atas pentas ini sepatutnya harga paling mahal adalah Ahli Parlimen Pasir Salak tetapi inilah ahli UMNO tegar, orang UMNO tegar, apa pun tawaran tetap bersama dengan UMNO.

Begitu juga dengan ahli-ahli Parlimen lain. Saya pasti Bung Mokhtar, dia bergaduh. Saya minta maaf, saya gurau sahaja. Mereka pesan pada saya sebagai Presiden jangan gurau-gurau. Gurau pun tak boleh?

SENANG DAN SUSAH BERSAMA

Saya juga ingin menyebut apabila kita mahu membincangkan mengenai soal enbloc dan tentang collective decision atau keputusan bersama, kita harus ambil kebertanggungjawaban bersama, collective responsibility.

Oleh yang demikian, apabila keputusan telah dilakukan kita harus perlu diterjemahkan dengan amanah. Ya, kita tahu ada pelbagai kaedah yang dilakukan, lakukan sebaik-baiknya bersama dengan saya. Kita akan terbuka. Saya tidak pernah, saya tidak pernah untuk tidak berunding dengan timbalan, naib dan rakan-rakan kanan. Apa Datuk Seri Najib ajar pada saya sewaktu saya menjadi Setiausaha Politik hingga timbalan beliau, itulah yang saya lakukan.

Berunding! Berbincang! Lakukan engagement! Saya telah dinasihatkan, ini ilmu yang baik, apabila ilmu yang baik ini saya belajar, apabila saya terus melakukan engagement, bagi saya, pandangan saya, kalau rakan saya dulu kaya kini miskin, beliau tetap kawan saya. Kalau orang itu dulu menjadi perdana menteri kini tidak lagi, dia tetap kawan saya. sahabat saya.

Mana boleh paksakan kawan kamu, kawan aku, musuh kamu, tak boleh paksa jadi musuh aku. Kawan kamu, kawan aku, musuh kamu, aku tidak mahu jadi musuh kamu! Tapi bukan begitu, tiada perbedaan begitu. Mana boleh, dalam hal inilah, saya rasa kena istiqamah dalam perkara-perkara untuk menentukan. Kita senang bersama dan kita susah bersama.

Kini zaman susah sebab kalau dapat dihadamkan apa yang saya nyatakan bahawa jangan ambil kesesatan dalam keputusan kerana apa saya harap apa sahaja yang akan datang pada kita, sama ada positif atau soal tekanan sekarang atau akan datang, you said you serve, you silent you save.

Saya setuju dengan para perwakilan, no way for to be silent, tapi tidak semestinya kita ambil jalan yang kasar untuk berada di jalanan. Kita mengambil hikmah dengan penuh hasanah dan kebijaksanaan dalam apa yang dilakukan dan apa saya sebutkan tadi.

Saya diberikan tempoh hingga pukul 6.45, tetapi sebelum tamatnya waktu yang diberikan kerana saya tahu tuan-tuan dan puan-puan para perwakilan yang datang dari luar Kuala Lumpur akan balik ke destinasi masing-masing. Lazimnya kita melakukan pada hari Khamis dan Ahad lafazkan tetapi atas keadaan yang digunakan pada hari ini. Saya ucapkan selamat pulang ke rumah masing-masing. Bawalah bekalan pulang dengan apa yang saya lontarkan tapi sebelum itu saya minta tuan-tuan dan puan-puan jangan keluar dulu dan sila duduk dan tidak perlu berdiri. Duduk dan jangan lari, sama-sama berdoa dengan saya dalam keadaan duduk supaya kita lebih khusyuk dan tawaduk.

Ya Allah perbaikilah hubungan sesama kali Ya Allah, dalam jemaah UMNO ini. Juga sesama seluruh umat Islam dan lain-lain agama di tanah air kami. Ya Allah, Kau tautkanlah hati-hati kami. Tunjukkanlah jalan-jalan kesejahteraan yang perlu kami lalui. Lepaskanlah kami daripada kegelapan yang kami lalui. Hidayahkanlah kami kepada cahaya yang terang ini.

Ya Allah, selamatkanlah negara kami daripada cengkaman kuasa yang mencabar kuasanya. Tumbuhkanlah keharmonian dalam kalangan rakyat Malaysia terutamanya pada ahli UMNO agar kami hidup dalam aman dan sejahtera.

Ya Allah, kami mendambakan kesetiaan dalam kalangan kami. Ya Allah kami juga mendambakan kekuatan dalam kalangan pemimpin-pemimpin kami di semua lapisan dalam kalangan kami Ya Allah. Agar UMNO terus menjaga roh dan semangat kami. Semoga Kau berkati segala usaha kami dan makbulkan doa kami ya Allah. Sesungguhnya ya Allah, kami perlukan teman sejati. Teman sejati dan teman semati demi perjuangan UMNO ini.