BISMILLAHI Rahmani Rahim.

Assalamualaikum, Salam Sejahtera, Chow An.

Beta bersyukur kerana dapat sekali lagi berangkat ke Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Sam Tet. Ketika berangkat ke sekolah ini pada 14 April 2007, beta berangkat secara berseorangan, atas nama Raja Muda, kerana pada masa itu beta masih belum beristeri. Pada hari ini beta berangkat, ditemani Raja Permaisuri, beta juga telah bertaraf ayah kepada seorang putera dan seorang pu­teri di samping dengan penentuan Ilahi telah ditabalkan sebagai Sultan Perak ke-XXXV.

Ketika berangkat ke sini pada tahun 2007, negara hampir mencapai usia sambutan Jubli Emas, lima puluh tahun kemerdekaan. Pada tahun ini, negara telah me­nyambut ulang tahun Jubli Intan, enam puluh tahun kemerdekaan. Negara terus berada dalam kea­daan aman dan sejahtera, rak­yatnya hidup dalam harmoni dan bahagia, negara dan rakyat terus mencatat pelbagai kemajuan.

Rakyat berperanan utama di dalam menentukan tahap kemajuan sesebuah negara. Rak­yat yang rajin dan kuat bekerja, rakyat yang mengamalkan hidup berdisiplin, rakyat yang me­lakukan tabungan dan pelaburan yang ti­nggi, rakyat yang meminimumkan berhutang kerana mahu hidup secara mewah, rakyat yang menguasai pengetahuan dan memiliki kemahiran serta rakyat yang hidup secara harmoni dan rukun akan membantu negara mencapai prestasi kemajuan yang cemerlang.

Pada masa yang sama, rakyat yang memahami landskap sosial, landskap budaya, landskap ekonomi dan landskap politik negaranya, akan dapat membantu usaha-usaha untuk menstabilkan negara. Malaysia adalah sebuah negara yang rakyatnya terdiri daripada pelbagai agama, pelbagai kaum, pelbagai budaya dan pelbagai bahasa. Keadaan ini wajib difahami dan diterima oleh setiap rakyat. Kepelbagaian tersebut, hendaklah dilihat sebagai aset kurniaan Ilahi kepada bumi ini. Setiap makhluk di bumi ini adalah ciptaan Ilahi yang wajib dikenali dan wajib dihormati. Masa hadapan negara amat bergantung kepada persefahaman yang berjaya dijalin dan hubu­ngan harmoni yang berjaya dipupuk di dalam kalangan rakyat yang pelbagai itu.

Para pengasas negara ini ketika menggubal Dasar Pelajaran Kebangsaan dan Penyata Razak te­lah memperkenalkan konsep satu aliran persekolahan dikenali sebagai sekolah kebangsaan berlandaskan premis bahawa sekolah adalah sebaik-baik tempat untuk menyatupadukan rakyat yang terdiri daripada pelbagai latar belakang, agar dapat saling mengenali, saling memahami dan saling menghormati antara satu sama lain, lantas menjalin hubu­ngan harmoni sejak daripada usia remaja. Namun dinamik yang berlaku pada kemudian hari, telah menampilkan pelbagai cabaran baharu yang memerlukan beberapa pengubahsuaian dilakukan. Sekolah vernakular lalu diberikan kebenaran untuk terus beroperasi.

Pendirian terbuka kerajaan ini wajib dihargai dengan membuk­tikan bahawa premis mahu menjadikan sekolah sebagai tapak memupuk perpaduan masih dapat dilaksanakan melalui sekolah vernakular. Keupayaan berkomunikasi antara rakyat pelbagai kaum adalah prasyarat kepada kemungkinan berlakunya inte­raksi. Bahasa adalah medium yang dapat menjalinkan dan me­rapatkan hubungan manusia.

Keupayaan menguasai bahasa pertuturan dan bahasa penulisan yang sama adalah prasyarat memungkinkan berlakunya komunikasi. Sekolah vernakular, sewajibnya menunjukkan komitmen ke­pada kerajaan dan rakyat di negara ini, bersedia mengambil tanggungjawab memastikan setiap pe­lajar yang mengikuti persekolahan di sekolah vernakular, berupaya menguasai bahasa Malaysia de­ngan tahap kefasihan yang setanding atau lebih tinggi daripada pelajar di sekolah kebangsaan.

Bahasa kebangsaan negara me­rupakan identiti kepada sesebuah negara bangsa. Adalah ja­nggal dan ironis jika terdapat seseorang yang bertaraf warganegara Malaysia, dengan mendapat segala nikmat dan keistimewaan seorang warganegara tetapi tidak boleh memahami, tidak boleh bertutur, tidak boleh menulis dan tidak boleh membaca di dalam bahasa kebangsaan negaranya.

Usaha untuk memfasihkan setiap pelajar di sekolah vernakular menguasai bahasa kebangsaan hendaklah diterima sebagai satu cabaran dan pencapaian pelajar menguasai bahasa kebangsaan, dijadikan salah satu indeks utama pengukuran pencapaian sekolah.

Kejayaan sekolah vernakular mem­fasihkan anak didik mereka menguasai bahasa kebangsaan akan dapat membantu usaha membina negara bangsa yang bersatu padu di samping turut memini­mumkan perasaan tidak selesa sebahagian masyarakat di negara ini, terhadap sekolah vernakular.

Beta disembah maklumkan, ketika ini, terdapat 2,151 orang pelajar di sekolah ini terdiri daripada 2,102 orang pelajar Cina, 23 orang pelajar Melayu, 23 orang pelajar India, seorang pelajar Siam, dan seorang lagi pelajar berketurunan campuran Cina dan India. Daripada 151 orang guru yang berkhidmat di sini, 75 orang guru Cina, 40 orang guru Me­layu, 34 orang guru India dan dua orang guru daripada kaum lain.

Pelajar Melayu dan India bukan sahaja merupakan minoriti tetapi mereka merupakan kaum minoriti yang tersangat kecil pe­ratus kehadirannya, satu peratus pelajar Melayu dan satu peratus pelajar India. Daripada kalangan pendidik, guru Melayu adalah 26.5 peratus dan guru India terdiri daripada 22.5 peratus, berbanding 49.7 peratus guru Cina; bermakna walaupun guru Melayu dan India merupakan minoriti, tetapi kehadiran mereka adalah kehadiran yang signifikan.

Pelajar, begitu juga guru Me­layu dan India di sekolah ini berada dalam kedudukan yang lebih terdedah, berpeluang mengenali secara dekat kaum Cina dan budaya masyarakat Cina. Pelajar dan guru Cina, berpeluang untuk membuktikan sifat-sifat positif kaum Cina kepada orang Me­layu dan orang India. Apa juga pe­ngalaman yang dialami oleh orang Melayu dan orang India semasa berada di Sekolah Sam Tet, akan membentuk persepsi sepanjang hayat mereka terhadap kaum Cina.

Pada masa yang sama, murid serta guru Melayu dan India, akan dilihat sebagai spesimen yang mewakili kaum masing-masing. Ke­jayaan kaum Melayu dan kaum India mempamerkan adab dan tertib, sifat positif lagi dihormati serta membuktikan kesungguhan dan kejayaan akan melakarkan warna dan gambaran di kalangan rakan-rakan sebaya Cina terhadap masyarakat Melayu dan India.

Persefahaman hubungan dan jalinan harmoni antara kaum yang berjaya dipupuk, berpe­ngaruh besar untuk membina masa hadapan Malaysia yang lebih bersatu dan lebih gemilang. Tuntutan ini tentunya lebih mencabar bagi ibu-bapa, guru dan pelajar di Sekolah Sam Tet yang komposisi warga sekolahnya da­ripada kalangan rakyat bukan berketurunan Cina adalah kecil.

Untuk itu warga sekolah se­perti ini, perlu bersifat proaktif, me­nerokai ruang yang membolehkan berlangsungnya inte­raksi yang lebih bermakna dalam kalangan pelajar daripada pelbagai agama dan pelbagai kaum, pelbagai budaya dan pelbagai bahasa, supaya mereka lebih dapat memahami dan bekerjasama antara satu sama lain. Adalah menjadi tanggungjawab setiap rakyat dan institusi di bawah payung naungan negara ini untuk mengamalkan sikap terbuka, mengelak sebarang prasangka, menolak suara ekstremisme sama ada atas nama kaum atau agama.

Malaysia subur kerana kepelbagaian; pelbagai agama, kaum, budaya dan bahasa yang berjaya dianyam secara harmoni; itulah identiti negara bangsa Malaysia; negara yang telah menjangkau usia 60 tahun sebagai negara berdaulat dan merdeka. Identiti negara bangsa ini perlu dipertahankan bersama.

Beta mengucapkan tahniah kepada para pelajar yang mencipta kejayaan cemerlang, mencapai tahap diiktiraf untuk dikurniakan anugerah. Kejayaan para pelajar adalah atas dorongan dan doa ibu bapa serta hasil daripada asuhan, didikan dan bimbingan para guru. Setiap pelajar wajib mengenang jasa bakti dan pengorbanan ibu bapa dengan memuliakan mereka, serta menghargai jasa guru dengan bersikap hormat kepada mereka. Semoga para pelajar akan terus mencapai kejayaan lebih gemilang, dan menjadi warga yang berjasa kepada raja dan negara.

Wabillahi taufiq walhidayah
Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.