Ada beberapa perkara dalam sejarah, terutamanya sejarah feudal yang telah terserap ke dalam konsep Perlembagaan Malaysia.

Salah satunya adalah perkataan “Raja” dan “kerja” disatukan untuk menjadikan kerajaan di mana Sultan atau Raja adalah lambang kuasa dan kedaulatan.

Negeri Melayu yang berdaulat bertakhtakan Raja atau Sultan masih lagi subur di dalam negeri-negeri yang diketuai Sultan di Semenanjung pada masa ini.

Kini, Raja digelar sebagai Raja Berperlembagaan tetapi hakikatnya mereka masih mempunyai kuasa dan pengaruh yang besar ke atas masyarakat khususnya orang Melayu.

Sesungguhnya selewat tahun 1931 apabila Braddell menceritakan kedudukan Negeri-Negeri Melayu di sisi undang-undang, titah atau arahan dari seorang Sultan Melayu masih dianggap undang-undang. Kedudukan mereka yang istimewa di dalam Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu, Perlembagaan Merdeka dan Perlembagaan 1963 adalah terpelihara.

Hakikatnya, Raja-raja telah menggunakan kuasa-kuasa Perlembagaan dan juga politik di peringkat-pe­ringkat Persekutuan dan nege­ri serta telah me­nikmati pe­nga­ruh yang luas ke atas banyak aspek kerajaan.

Misalnya di peringkat negeri-negeri, mereka melantik Menteri Besar manakala di peringkat Persekutuan, Yang di-Pertuan Agong melantik Perdana Menteri walaupun demikian baginda kena memilih calon yang dalam pandangan baginda mungkin mendapat keyakinan bilangan besar ahli Parlimen.

Dan atas sebab inilah dipercayai Raja-Raja Melayu amat mengambil berat sehinggakan merasakan perlu untuk mengadakan perbincangan khas berhubung kedudukan Peguam Negara.

Ini ditambah dengan hujah-hujah banyak pihak bahawa Tommy Thomas tidak sesuai dilantik sebagai Peguam Negara kerana boleh mendatangkan kerumitan kepada penggubalan dan pelaksanaan dasar-dasar kerajaan yang me­nyentuh isu-isu membabitkan Islam.

Begitupun tanpa mengaitkan sebarang perkara berkaitan kedudukan Peguam Negara yang heboh diperkatakan, Tumpang lalu ingin meminjam ulasan bekas menteri yang juga pakar Perlembagaan dan Undang-Undang, Tan Sri Dr. Rais Yatim dalam bukunya bertajuk Kabinet Malaysia: Mengimbas Kembali Tadbir Urus Kabinet terbitan 2006 yang pada fikiran Tumpang lalu amat sesuai untuk dijadikan renu­ngan dalam mengulas mana-mana era pentadbiran kerajaan negara ini.

Antara ulasan beliau di halaman 421:

“Seperti yang dapat dilihat, banyak kerja dalaman Kabinet telah mengubahkan kedudukan Raja-raja Melayu. Dengan majo­riti yang besar, Parlimen di dalam tangan sebuah parti, seperti yang ditunjukkan dalam krisis Perlembagaan 1993-94, eksekutif menjadi sangat kuat dan sememangnya boleh membuat dan mewujudkan hasil-hasil yang banyak.

“Sementara itu, terutamanya dengan kemunculan penglibatan pendapat-pendapat yang bebas dalam dunia siber, beberapa ahli kerabat Diraja Malaysia telah menjadi subjek-subjek cemuhan, tidak dihormati, malahan hasutan. Malah lagu Negaraku telah dikhianati oleh pihak-pihak ter­tentu dalam Internet.

“Ia seolah-olahnya tidak ada penguatkuasaan yang mencu­kupi di bawah undang-undang dalam bidang ini. Gaya hidup dan nilai-nilai berubah dari semasa ke semasa, ia boleh dijangkakan bahawa kerabat Diraja Malaysia satu hari nanti akan tertakluk kepada ‘keadaan bahaya pada kerabat Diraja’ dari beberapa segmen masyarakat Malaysia.

“Sebagai perbandingan, Putera Charles dan pasangannya di England juga menerima padah yang sama daripada orang ramai. Di Malaysia, terutama di Ipoh, kerabat Diraja telah mengalami beberapa insiden yang nyata tidak menghormati kerabat Diraja oleh individu-individu yang bermotifkan politik.

“Insiden-insiden ini mungkin tidak diberi perhatian sangat oleh orang ramai tetapi tanda-tanda kesukaran malangnya telah bermula dan akan berterusan. Beberapa langkah pencegahan dan pembetulan sewajarnya diambil sebelum keadaan menjadi lebih buruk dan memalukan.”

Semoga hari ini Raja-Raja Melayu dapat merungkai kekusutan kedudukan jawatan Peguam Negara yang baharu.

Daulat Tuanku!