Sewaktu memohon mendapatkan izin tersebut, perayu perlu menyatakan secara terperinci persoalan undang-undang yang mahu diputuskan oleh Mah­kamah Persekutuan. Ini bermakna andainya Mahkamah Persekutuan berkenan memberi izin, tugas panel hakim yang mendengar rayuan di peringkat Mahkamah Persekutuan itu tertumpu kepada memutuskan persoalan undang-undang yang telah ditentukan itu sahaja, tidak lebih dari itu.

Inilah yang berlaku dalam ra­yuan M. Indira Gandhi baru-baru ini terhadap tiga responden - iaitu Pengarah Jabatan Agama Islam Perak, Pendaftar Mualaf dan Kerajaan Negeri Perak. Tiga persoalan undang-undang yang perlu diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan adalah seperti berikut:

l Apakah Mahkamah Tinggi Sivil ada bidang kuasa menyemak semula tindakan Pendaftar Mualaf selaku pihak berkuasa awam melaksanakan kuasa statutori?

l Apakah Seksyen 96(1) dan 106(b) Enakmen Pentadbiran Agama Islam Perak 2004 perlu dipatuhi sepenuhnya sebelum Pendaftar Mualaf boleh mendaftarkan pemelukan agama Islam seorang kanak-kanak (di bawah 18 tahun)?

l Apakah izin kedua-dua ibu bapa kanak-kanak itu perlu diperoleh terlebih dahulu sebelum satu Perakuan Memeluk Agama Islam kanak-kanak itu boleh dikeluarkan?

Sewaktu kes ini dibicarakan di Mahkamah Tinggi, peguam responden berhujah bahawa Mahkamah Tinggi tidak ada bidang kuasa kerana kes ini melibatkan perkara yang terletak di bawah bidang kuasa Mahkamah Syariah.

Hujah ini ditolak oleh hakim bicara yang memutuskan Mah­kamah Tinggi sivil ada bidang kuasa eksklusif mendengar kes itu. Apabila kes ini dirayu ke Mahkamah Rayuan, mahkamah menyatakan (keputusan majoriti) bahawa Mahkamah Tinggi tidak ada kuasa mempersoal keputusan Pendaftar Mualaf lalu mengetepikan keputusan hakim bicara. Da­ripada keputusan Mahkamah Rayuan inilah Indira kemudian diberi izin untuk me­rayu ke Mahkamah Persekutuan.

Dalam keputusan bertulisnya setebal 100 halaman, Tan Sri Zainun Ali HMP menghuraikan beberapa isu perundangan penting – antaranya struktur asas Perlembagaan, kuasa kehakiman Mahkamah Tinggi sivil, semakan kehakiman, serta perbezaan antara mahkamah sivil dengan mahkamah syariah.

Dalam perenggan 53 penghakimannya, Zainun menyata­kan (sambil merujuk kepada­ kes Latifah Mat Zain lwn Rosmawati ([2007] 5 MLJ 101) bahawa kedudukan mahkamah syariah adalah sama tarafnya de­­­ngan mahkamah sesyen dan mahkamah majistret iaitu mahkamah bawahan (inferior courts).

Mengenai bidang kuasa mah­kamah syariah, beliau menyatakan (dalam perenggan 57) bahawa bidang kuasa mahkamah syariah untuk memutuskan suatu pertikaian hendaklah dinyatakan secara khusus dalam Enakmen negeri. Dalam perenggan 58 berikutnya, beliau menyatakan da­lam kes Indira ini, soalnya apakah terdapat peruntukan khusus dalam Enakmen Perak 2004 itu yang memberi bidang kuasa kepada mahkamah syariah “memutuskan isu keesahan pemelukan agama Islam”? (validity of a person’s conversion to Islam).

Di perenggan 62, beliau menjawab persoalan ini dengan me­nyatakan bahawa tidak ada peruntukan khusus dalam seksyen 50(3)(b) Enakmen itu yang memberi bidang kuasa kepada mahkamah syariah untuk memutuskan isu tersebut. Zainun selanjutnya menyatakan (dalam perenggan 64) bahawa mahkamah sivil dan mahkamah syariah berada di kedudukan yang berbeza.

Beliau menambah, persepsi bahawa dua mahkamah ini mengamalkan satu dasar timbal balas untuk tidak mencampuri satu sama lain adalah silap. Sebaliknya, beliau menegaskan (dalam perenggan 65) bahawa di bawah Perkara 121(1) dan (1A), mahkamah sivil dan mahkamah syariah wujud bersama dalam ruang mereka masing-masing.

Setelah merujuk kepada beberapa kes di luar negara, Zainun merumuskan (dalam perenggan 86) bahawa Perkara 121(1A) tidak mengetepikan bidang kuasa mahkamah sivil dan juga tidak memberi apa-apa kuasa kehakiman kepada mahkamah syariah.

Beliau menambah (dalam perenggan 92) bahawa tanggapan bahawa Perkara 121(1) mengetepikan bidang kuasa mahkamah sivil adalah salah (flawed) sambil merujuk kepada kes Subashini lwn Saravanan (2007) dan kes Habibulah lwn Faridah (1992) 2 MLJ.

Zainun menyatakan (dalam perenggan 106) bahawa mengikut fakta kes, ketiga-tiga anak perayu tidak hadir di hadapan Pendaftar Mualaf dan tidak melafazkan syahadah seperti dikehendaki oleh seksyen 96 Enakmen berkenaan. Di bawah seksyen 106(b) pula, ada dinyatakan sekiranya kanak-kanak di bawah usia 18 tahun hendak memeluk agama Islam, ibu bapa atau penjaganya hendaklah memberi izin bertulis mengenai perkara itu.

Tegas Zainun, kedua-dua peruntukan penting ini (seksyen 96 dan 106) mesti dipatuhi sepenuhnya oleh Pendaftar Mualaf. Memandangkan ketiga-tiga anak perayu tidak hadir di hadapan Pendaftar Mualaf dan tidak melafazkan syahadah apabila Pendaftar Mualaf mengeluarkan Perakuan Memeluk Agama Islam kanak-kanak itu, dia telah bertindak secara ultra vires.

Zainun menegaskan (dalam perenggan 126) bahawa apa yang dicabar oleh perayu dalam kes ini bukan fakta pemelukan agama Islam dan pendaftaran kanak-kanak sebagai mualaf. Apa yang dicabar adalah keesahan (legality) pemelukan agama Islam dan pendaftarannya.

Kesimpulannya, Mahkamah Persekutuan memutuskan bahawa Pendaftar Mualaf tidak ada bidang kuasa mengeluarkan perakuan Pemelukan Agama Islam anak perayu secara bertentangan dengan seksyen 96 dan 106(b) Enakmen Perak 2004 dan me­nyalahi Perkara 12(4) Perlembagaan Persekutuan dan seksyen 5 dan 11 Guardianship of Infants Act 1961 (yang memerlukan izin ke­dua-dua ibu bapa kanak-kanak). Oleh itu, keputusan dan perintah Mahkamah Rayuan diketepikan, dan keputusan dan perintah Mahkamah Tinggi dikekalkan.

Bagi responden, pengajaran yang boleh mereka ambil adalah memastikan ada peruntukan yang jelas dalam Enakmen negeri yang memberi bidang kuasa kepada Mahkamah Syariah memutuskan isu-isu tertentu.

Selain itu, pastikan juga segala tindakan oleh warga kerjanya menepati kehendak undang-undang bertulis di negeri itu. Kegagalan berbuat demikian mendedahkan tindakan itu disemak semula dan dipersoal oleh Mahkamah Tinggi sivil.

Bagi pengamal undang-undang syarie dan warga kerja institusi kehakiman Islam di negeri, mereka perlu memikirkan apa yang wajar dilakukan untuk memastikan Mahkamah Syariah tidak terus dipandang rendah, dianggap sebagai mahkamah bawahan yang sama taraf dengan Mahkamah Sesyen dan Mahkamah Majistret dan bagaimana keputusan dan perintah mahkamah itu tidak terus boleh dipersoal dan diketepikan oleh Mahkamah Tinggi sivil?

Mula diperkenalkan pada Jun 1988 lalu (tiga dekad sudah berlalu), barangkali sudah sampai masanya pihak cerdik pandai kita melihat semula Perkara 121 dan mencadangkan penambahbaikan.

DATUK SALLEH BUANG ialah bekas Profesor Tamu Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Skudai, Johor.