Ini selepas mendapat inspirasi dari pengalaman Negeri Sembilan di mana Adat Perpatih mengikut perlembagaan lama sentiasa bergilir kuasa sejak abad ke-15.

Semua syor mengenai agihan kuasa dan fungsi Yang di-Pertuan Agong yang terkandung dalam Laporan Suruhanjaya Reid kemudiannya dipindahkan ke dalam Perlembagaan Persekutuan sekarang.

Peruntukan di bawah Bahagian IV Perlembagaan, khususnya Artikel 32-43, menggariskan kuasa Persekutuan dan Eksekutif:-

Kuasa Persekutuan, Eksekutif

i) Yang di-Pertuan Agong sebagai Ketua Negara Persekutuan diperuntukkan di bawah Artikel 32 yang menyatakan: “Maka hendaklah adanya seorang Ketua Tertinggi Persekutuan digelar Yang di-Pertuan Agong dan hendaklah baginda diberi keutamaan ke atas semua penduduk di dalam Persekutuan dan baginda tidak boleh dikenakan apa juga prosiding di dalam mana-mana mahkamah kecuali dalam Mahkamah Khas yang ditubuhkan di bawah Bahagian XV” dalam Perlembagaan.

Baginda mempunyai seorang timbalan dikenali sebagai Timbalan Yang di-Pertuan Agong dilantik mengikut syarat di bawah Artikel 33 Perlembagaan.

Timbalan Yang di-Pertuan Agong juga dilantik mengikut giliran oleh Majlis Raja-Raja dan bertugas bila Yang di-Pertuan Agong ke luar negara atau dalam ketiadaan baginda melebihi 15 hari.

ii) Bahawa Yang di-Pertuan Agong mesti bertindak ke atas nasihat Kabinet atau mana-mana anggotanya yang bertindak di bawah kuasa am dijelaskan dalam Artikel 40.

Baginda mempunyai kuasa untuk melantik Perdana Menteri dan Kabinet serta Timbalan-timbalan Menteri. Anggota Pentadbiran yang tidak dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong adalah Setiausaha-setiausaha Politik. Mereka dilantik oleh Perdana Menteri menurut Artikel 43A dan 43B.

iii) Setiap Yang di-Pertuan Agong bertakhta selama lima tahun seperti ditetapkan oleh Majlis Raja-raja menurut terma-terma dan tatacara dinyatakan di bawah Jadual Ketiga Perlembagaan dan Senarai Awam disebut dalam Perenggan 58 Laporan Suruhanjaya Reid yang dinyatakan di bawah Artikel 35(2).

Walaupun Yang di-Pertuan Agong tidak boleh berkhidmat melebihi lima tahun, Perdana Menteri dan Menteri-menteri yang dilantik baginda di bawah Artikel 43 selepas setiap pilihan raya umum mempunyai tempoh kolektif lima tahun menurut hayat Parlimen tetapi mereka mungkin dilantik semula jika mendapat kepercayaan rakyat.

Komander tertinggi

Kedudukan baginda sebagai Komander Tertinggi angkatan tentera seperti yang disyorkan oleh Suruhanjaya diperuntuk di bawah Artikel 41.

Baginda mempunyai kuasa untuk memberi pengampunan, penundaan dan penangguhan sementara atas semua kesalahan yang dilakukan dalam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya (Artikel 42).

Bagi Pulau Pinang, Melaka, Sabah dan Sarawak, mereka mempunyai Yang Dipertua Negeri sebagai ketua negeri tetapi perkara berkaitan Islam dan adat istiadat Melayu adalah di bawah kuasa Yang di-Pertuan Agong.

Satu lingkungan kedaulatan Yang di-Pertuan Agong yang tidak terbatas di bawah Perlembagaan merangkumi tiga perkara:

* Pelantikan seorang Perdana Menteri.

* Menangguh persetujuan atas permintaan pembubaran Parlimen.

* Permohonan rasmi mesyuarat Persidangan Raja-raja melibatkan keistimewaan, kedudukan, kehormatan dan maruah Raja-raja serta kes-kes lain yang ternyata dalam Perlembagaan.

Yang di-Pertuan Agong mempunyai hak dari sudut Perlembagaan untuk mengetahui mesyuarat Majlis Raja-raja, diiringi Perdana Menteri.

Setiap awal pagi sebelum mesyuarat Kabinet, Perdana Menteri menemui baginda untuk memaklumkan perkembangan negara dan perkara-perkara yang mungkin menarik perhatian baginda. Baginda boleh menggunakan sesi itu untuk memberi pandangan kepada Perdana Menteri.

Pada masa lalu Yang di-Pertuan Agong bebas untuk menyuarakan pendapat dalam pelbagai perkara. Baginda boleh mencadangkan sesuatu kepada Perdana Menteri atau memberi teguran mengenai tandas kotor atau jamuan negara yang menjemukan pada malam sebelumnya.

Dari keselamatan ke pembinaan istana, dari permasalahan Islam berbilang mazhab kepada pembinaan hotel - semua ini pernah dibangkitkan oleh Agong sebelum ini.

Kedudukan istimewa

Yang di-Pertuan Agong juga boleh menitah mana-mana menteri untuk memberi taklimat kepadanya. Realitinya, Yang di-Pertuan Agong menikmati fungsi eksekutif jika tidak kuasa de facto eksekutif.

Kedudukan Perlembagaan Raja-raja di Malaysia mempunyai sejarah yang lama. Kedudukan mereka yang tidak boleh dipertikaikan sebagai Raja-raja mutlak boleh dikesan sejak berzaman lamanya dan hanya pada 1874 dengan munculnya perlindungan British, kuasa-kuasa dan keistimewaan-keistimewaan mereka mula berkurangan.

Sesungguhnya selewat tahun 1931 apabila Braddel dalam bukunya The Legal Status of The Malay States, Singapura menceritakan kedudukan Negeri-negeri Melayu di sisi undang-undang, titah atau arahan daripada seorang Sultan Melayu masih dianggap undang-undang.

Kedudukan mereka yang istimewa di dalam Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu, Perlembagaan Merdeka dan Perlembagaan 1963 adalah terpelihara.

Malaysia satu-satunya negara di dunia mempunyai paling ramai Raja yang memerintah dalam sembilan daripada 14 negeri dalam pertubuhan persekutuan moden ini.