Cuma Rasulullah SAW mengingatkan manusia tentang sifat tamak dan haloba. Ia sebagaimana hadis baginda yang bermaksud: “Andai seseorang itu memiliki satu lembah emas, nescaya ingin memiliki satu lembah lagi. Tidak ada yang dapat mengisi mulutnya (hawa nafsu) melainkan tanah (maut). Dan Allah menerima taubat sesiapa saja yang bertaubat kepada-Nya.” (Riwayat Muslim)

Atas sebab itu barangkali Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman mengusulkan supaya ketua bahagian dan ketua cawangan parti itu diberikan projek kerajaan.

Tujuannya, memperoleh lebih wang dan peluang bagi mempertahankan parti dan Pakatan Harapan (PH) dalam pilihan raya akan datang.

Cadangan itu bagaimanapun ditolak mentah-mentah oleh Pengerusi Bersatu, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan beberapa pemimpin muda Bersatu termasuk sayap parti itu, Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) yang menyifatkan ia akan mengundang salah faham dalam kalangan ahli di peringkat akar umbi.

Sememangnya realiti hidup memerlukan duit. Walaupun duit bukan segala-galanya tetapi segala-galanya memerlukan duit. Pendek kata, “kalau tak ada duit rasa macam nak mati”.

Mahu cari kekayaan, kemewahan dan pangkat, silakan. Yang dilarang adalah mencari kekayaan, pangkat dan wanita dengan cara yang salah iaitu menipu, menganiaya, rasuah, salahguna kuasa dan yang sewaktu dengannya.

Ini ditegaskan menerusi firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan janganlah sebahagian kamu memakan harta sebahagian yang lain di antara kamu dengan jalan yang batil dan (janganlah) kamu membawa (urusan) harta itu kepada hakim, supaya kamu dapat memakan sebahagian daripada harta benda orang lain itu dengan (jalan berbuat) dosa, padahal kamu mengetahui. (Al-Baqarah: 188)

Memberi projek kerajaan kepada golongan tertentu menyebabkan berlaku penganiayaan dan mempopularkan budaya kronisme. Penganiayaan sudah semestinya kepada golongan kontraktor lain yang layak dan terbukti kemampuan mereka dalam melaksanakan projek terlibat.

Lebih parah, anugerah projek tersebut akhirnya tidak dilaksanakan mengikut standard yang sepatutnya menyebabkan bangunan yang baharu siap itu runtuh, retak dan ada pula yang meragut nyawa.

Ini bukan pula menafikan terus hak ahli parti politik mendapat kontrak kerajaan. Seperti kata Dr. Mahathir, projek kerajaan dianugerahkan secara tender. Dengan kata lain, sesiapa juga berhak masuk tender. Jika cukup syarat dan layak, mereka akan dapat tender tersebut.

Ini baru adil. Bukannya tender diberi kerana kita ada ‘kabel’ dengan pemimpin tertentu walaupun syarikat itu tidak ada kelayakan atau pengalaman melaksanakan kerja yang ditawarkan.

Di dalam Islam keadilan didefinisi sebagai ‘meletakkan sesuatu pada tempat yang sepatutnya’. Ini bermakna keadilan bukan sahaja tuntutan agama malah ia juga adalah tuntutan moral.

Meletakkan sesuatu pada tempatnya yang sesuai adalah konsep yang diterima pakai oleh manusia sejagat. Keadilan adalah suatu yang perlu diamalkan oleh setiap Muslim. Ia sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan apabila kamu menjalankan hukuman di kalangan manusia maka hendaklah kamu berhukum dengan adil”...(al-Nisa’: 58)

Umar Abdul Aziz selepas dilantik sebagai khalifah berpesan kepada orang ramai supaya bertakwa, zuhud kepada kekayaan dunia dan mendorong mereka cintakan akhirat.

Sebagai seorang yang zuhud, kehidupannya semasa menjadi Gabenor Madinah dan khalifah adalah sama seperti kehidupannya semasa menjadi rakyat biasa. Harta yang ada termasuk barang perhiasan isterinya diserahkan kepada Baitulmal dan segala perbelanjaan negara berdasarkan konsep jimat-cermat dan berhati-hati atas alasan ia adalah harta rakyat.

Ini terbukti apabila beliau dengan tegas menegur dan memecat pegawai yang boros dan segala bentuk jamuan negara tidak dibenarkan menggunakan harta kerajaan.

Diceritakan pada hari kedua dilantik sebagai khalifah, beliau pulang ke rumah dan menangis sehingga ditegur isteri: “Apa yang Amirul Mukminin tangiskan?” Beliau menjawab “Wahai isteriku, aku telah diuji oleh Allah dengan jawatan ini dan aku sedang teringat kepada orang-orang yang miskin, ibu-ibu yang janda, anaknya ramai, rezekinya sedikit, aku teringat orang-orang dalam tawanan, para fuqara (golongan orang fakir) kaum muslimin. Aku tahu mereka semua akan mendakwaku di akhirat kelak dan aku bimbang tidak dapat jawab hujah-hujah mereka sebagai khalifah kerana aku tahu, yang menjadi pembela di pihak mereka adalah Rasulullah SAW.” Isterinya turut mengalirkan air mata.

Semoga Malaysia mempunyai ramai pemimpin persis Khalifah Umar.