WAN SHAMSUDIN MOHD. YUSOF
WAN SHAMSUDIN MOHD. YUSOF 

Satu-satunya kota bersejarah yang dibina oleh orang Melayu (lain-lain kota sejarah dibina penjajah) di era pemerintahan Sultan Sulaiman Shah II iaitu Sultan Kedah ke-12 (1602-1626) juga berfungsi sebagai benteng pertahanan laut ketika itu.

Ketika zaman pemerintahan Sultan Muhammad Jiwa II (1710-1778), tiga kali cubaan merampas kota tersebut. Kota Kuala Kedah pernah diserang oleh Bugis, Acheh dan Siam.

Pada 12 November 1821, Siam sekali lagi menyerang kota berkenaan sehingga menyaksikan lebih 1,000 orang Melayu terbunuh termasuklah mereka yang bergelar bendahara dan temenggung.

Seterusnya syuhada-syuhada itu dikebumikan di tapak menempatkan Masjid Zahir, Alor Setar (wujud sehingga kini).

Diceritakan juga bahawa Sultan Kedah ketika itu (Sultan Ahmad Tajuddin Halim Shah II 1804-1845) terpaksa melarikan diri ke Pulau Pinang dan seterusnya Melaka menyebabkan Kedah terputus sistem beraja sehingga 20 tahun lamanya.

Namun sebaik sahaja Siam dikalahkan, baginda diambil semula untuk menaiki takhta seterusnya menyambung pemerintahan beraja Kedah.

Kehebatan sejarah Kota Kuala Kedah turut disentuh Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah.

Baginda bertitah supaya sesuatu dilakukan bagi memastikan khazanah berharga ini bukan sahaja dipulihara untuk tatapan generasi masa depan tetapi diperhebatkan lagi sebagaimana negara-negara maju memelihara sejarah mereka.

Selain itu, tidak ramai yang mengetahui bahawa Kuala Kedah juga menjadi tempat kelahiran Kolonel William Light. William merupakan pengasas sebuah bandar terkenal di Australia iaitu Adelaide.

Berdasarkan sejarah, William adalah anak kepada Francis Light (1740-1794), hasil perkahwinan dengan seorang wanita kacukan Portugis dari Siam iaitu Martinha Rozells. Martinha ialah anak angkat Sultan Kedah ketika itu.

Perkara itu disahkan oleh Pengerusi Persatuan Sejarah Malaysia Cawangan Kedah, Datuk Dr. Wan Shamsudin Mohd. Yusof.

Tambah Wan Shamsudin, ketika zaman kegemilangan Kota Kuala Kedah yang juga disebut sebagai Kota Kuala Bahang ketika itu, ia menjadi tumpuan pedagang-pedagang dari seluruh dunia.

Selain berfungsi sebagai pusat hubungan serta pertukaran dagangan, kota tersebut juga menjadi pusat pendidikan.

“Zaman kegemilangan Kota Kuala Kedah ada­lah ketika era Sultan Abdul Hamid Halim Shah (1882-1943). Sultan Abdul Hamid juga digelar sebagai bapa pemodenan Kedah yang menyaksikan perkembangan ekonominya bertumbuh pesat pada masa itu.

“Banyak pedagang masuk terdiri daripada Belanda, Inggeris dan India. Namun selepas Pulau Pinang dibuka, pelabuhan itu mula mati,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Kini, peninggalan sejarah hebat itu boleh dilihat di Muzium Kota Kuala Kedah yang mempamerkan kira-kira 61 buah artifak seperti struktur batu-bata asal, meriam, peluru, benet tentera Jepun, wang dan serpihan seramik.

Selain artifak tersebut, muzium berkenaan yang terletak bersebelahan muara Sungai Kedah turut mempamerkan tinggalan seperti tembok kota, tapak istana lama, pintu gerbang penjajah British, rumah pelita dan pintu gerbang Kancha­puri.

Menurut Ketua Muzium Kota Kuala Kedah, Azhar Mohamed Noor, muzium di bawah pentadbiran Jabatan Muzium itu mempunyai seni bina unik kota tinggalan yang berusia ratusan tahun.

Katanya, apa yang menarik di muzium berkeluasan 2.2 hektar itu adalah lebih 30 peratus tinggalan sejarah berkenaan merupakan binaan asal.

"Selain menjadi kota pertahanan yang dikelilingi beberapa meriam, kota ini juga dahulunya adalah pusat perdagangan yang disinggahi pedagang melakukan pelbagai perniagaan secara barter trade (tukaran barang)," katanya.