Isu Islam di Malaysia seperti juga agama lain adalah sensitif. Ia boleh menyebabkan konflik dan salah faham antara penganut berlaku sekiranya kritikkan sudah sampai tahap menghina. Kita harus memahami rasional me­ngapa peruntukan penggubalan Perlembagaan pada masa lalu untuk menjaga maslahah perpaduan dan tolak ansur supaya persefahaman boleh terjadi.

Kelompok liberal dan pluralis agama seperti G25, kumpulan antihadis dan Sisters in Islam yang tidak henti-henti mencabar autoriti agama seperti Jakim, Majlis Agama Negeri dan Majlis Fatwa mengenai kewibawaan mereka melaksanakan dasar-dasar Islam dan boleh mencetuskan kekeliruan dan perpecahan dalam kalangan masyarakat Islam dan masyarakat Malaysia.

Bila individu Muslim dan kelompok orang Islam sudah berani mencabar autoriti Islam dan Islam itu sendiri semakin rancak orang dan pemimpin bukan Islam ikut serta seolah-olah mencabar Islam dan sekali gus mencabar Perlembagaan, kuasa raja-raja, sultan dan Yang di-Pertuan Agong.

Ini semacam suatu kebangkitan Islamophobia di negara ini sedangkan kebebasan menganut agama di negara ini dijamin dan perayaan-perayaan yang bercorak keagamaan diberi kebebasan tanpa gangguan.

Negara ini amat memerlukan asas persefahaman yang tinggi dalam kalangan penganut agama kerana tanpa persefahaman perpaduan tidak akan berlaku. Jika perpecahan berlaku sesama Islam dan bukan Islam maksud murni dalam Perlembagaan tidak akan kita hayati.

Dasar Malaysia memilih jalan wasatiyah atau kesederhanaan bukannya ekstrem dan pelampau bagi menjaga ketenteraman dan keamanan dalam negara. Sebab itu, kemunculan Daesh diperangi dan sikap melampau dipantau dan diambil tindakan.

Pendekatan wasatiyah memilih jalur sederhana dan berimbang. Sesuatu pendekatan yang diambil hatta ­berasaskan agama pun mesti mengambil kira sensitiviti pihak lain dan rasa tolak ansur harus wujud sekiranya terdapat perbezaan yang memerlukan dialog dan tidak segera membuat kenyataan melampau dan ­menghina.

Kehadiran Islam di bumi Malaysia bukanlah baharu. Sebagai Agama Persekutuan ia berlandaskan undang-undang dan tidak menyalahi Perlembagaan. Antara ­peranan Majlis Raja-Raja ialah menjaga status Islam sebagai agama Persekutuan.

Sesuatu harus dilakukan terhadap kecenderungan melampau dan menghina baik dalam kalangan individu dan kelompok Islam dan juga pemimpin dan parti politik bukan Islam kerana isu agama adalah amat sensitif. Penentangan terhadap isu Islam akibat ­kedangkalan kefahaman terhadap Islam itu sendiri atau Islam sentiasa dianggap sebagai agama yang disalahfahamkan. Mereka yang dangkal memahami Islam harus belajar ikut kaedah yang betul bukan didorong dengan fahaman sekular ­menganggap semua agama sama manakala ­liberalis meng­anggap Islam harus ditafsir semula supaya umat Islam maju. Bagi mereka untuk umat Islam maju, fahaman Barat harus dijadikan landasan sedangkan masyarakat Barat cenderung membebaskan diri daripada agama. Lalu maksud hak asasi manusia tidak merujuk kepentingan agama dan bercanggah dengan kehidupan yang ­fitrah.

Umat Islam diajar supaya menghormati agama lain. Al-Quran dalam Surah al-Kaafirun menyatakan Laqum deenuqum walya deen - kamu agama kamu dan kami agama kami. Sahifah Madinah yang dirintis oleh Rasulullah SAW memberikan asas kerjasama antara Muhajirin dan Ansar, Khaus dan Khazraj serta kaum Yahudi supaya menjaga kepentingan Madinah dari musuh luar dan diberi kebebasan untuk mengamalkan agama masing-masing.

Sekiranya semangat Sahifah Madinah ini disuburkan dalam konteks wasatiyah, persefahaman dalam kalangan penganut berbagai agama bakal wujud dan ia baik untuk rakyat dan juga negara ini.