Pemilihan ini dibuat bukan ha­nya setakat di peringkat organisasi tetapi juga sehingga ke peringkat negara dan antarabangsa.

Manusia memerlukan pemim­pin sebagai ketua mereka. Tidak kurang juga pemimpin dipilih bagi mewakili mereka seperti mana pemilihan pe­mimpin dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) baru-baru ini.

Memilih pemimpin tidak boleh dibuat secara semberono ­kerana kesannya bukan kepalang. Masyarakat boleh menjadi haru biru dan kacau bilau. Justeru, dalam hal ini, pemilihan pemimpin yang berwibawa perlu me­lalui kriteria-kriteria penting.

Kriteria pertama tidak lain tidak bukan, seseorang yang dipilih sebagai pemimpin perlulah seseorang yang benar-benar amanah dan bertanggungjawab.

Beramanah dalam menjaga masyarakat dan bertanggungjawab membela nasib mereka.

Usahlah melantik pemimpin yang hanya mementingkan diri sendiri. Lebih-lebih lagi, yang tidak ber­amanah dalam menjalankan tanggungjawabnya. Banyak contoh yang boleh dilihat pada ketika ini yang mana pemimpin tidak bertanggungjawab telah menyebabkan rakyatnya sengsara.

Misalnya, di Myanmar melibatkan etnik Rohingya, di Syria dan negara-negara Arab menggambarkan pemimpin-pemimpin negara tersebut tidak bertanggungjawab terhadap rakyatnya sendiri. Pemimpin sebegini hanya ingin mengejar kekuasaan.

Bagi mereka, kekuasaan sebagai teras kebanggaan dalam kehidupan mereka. Walhal, ingatlah, menjadi pemimpin itu adalah satu amanah yang diberikan oleh Allah SWT. Mengejar kekuasaan untuk meningkatkan darjat bukanlah teras untuk menjadi pemimpin yang berwibawa. Sebaliknya, seseorang pemimpin yang berwibawa akan sentiasa bertanggungjawab dalam semua segi. Lebih-lebih lagi, bertanggungjawab terhadap dirinya sendiri sebelum bertanggungjawab terhadap keluarga dan masyarakat.

Kriteria seterusnya adalah seseorang pemimpin perlu adil dan saksama. Adil dalam menjalankan amanah dan saksama dalam membantu membela nasib rakyat bawahan. Pemimpin tidak boleh sesekali memilih bulu, kroni dan mereka yang tidak layak semata-mata untuk melebarkan pe­ngaruhnya terhadap masyarakat. Pemimpin perlu menjaga semua golongan masyarakat.

Pemimpin yang adil dan saksama tidak sesekali membuat keputusan yang menyakiti orang lain dengan mengambil hak orang itu. Ingatlah kekuasaan hanyalah sementara.

Setiap tindakan seseorang pemimpin yang hanya menitikberatkan kroni sehingga mengambil hak orang lain akan menyebabkan suasana tidak menjadi harmoni.

Lebih teruk lagi, tidak melaksanakan keputusan yang diputuskan berdasarkan musyawarah. Pemimpin juga tidak boleh berdolak dalik dengan sebarang masalah melibatkan orang bawahan. Hal ini cukup penting kerana sebarang keputusan yang adil dan saksama akan menjernihkan keadaan dengan menjadikan masyarakat menjalani kehidupan yang aman.

Selain itu, seseorang pemimpin perlulah berakhlak dan beradab. Dewasa ini, kita boleh lihat pelbagai ragam jelas kelihatan bagi seseorang yang ingin mengangkat dirinya menjadi pemimpin.

Baginya, dirinya sahaja yang layak untuk menjadi pemimpin. Maka, dipilihnya orangnya bagi menyokong dirinya untuk menjadi pemimpin. Pemimpin yang me­ngangkat dirinya sedangkan dirinya tidak layak dan tidak berwibawa sehingga sanggup menikam belakang orang lain demi kepentingan diri sendiri adalah seseorang pemimpin yang tidak berakhlak. Ditambah lagi dengan tidak menjaga adab dan tidak menghormati orang lain de­ngan menjaga maruah mereka.

Lebih parah lagi, golongan yang ingin mengangkat dirinya menjadi pemimpin mengadu domba de­ngan pelbagai fitnah, hasutan dan memaki hamun terhadap orang lain. Sikap sebeginilah yang akan merosakkan masyarakat. Pemimpin yang tidak beradab dan berakhlak selalunya akan menggunakan pendekatan matlamat menghalalkan cara demi mendapatkan kekuasaan. Pelbagai tohmahan dilakukan terhadap orang lain semata-mata untuk memuaskan nafsunya dalam me­nguasai tampuk kekuasaan.

Tidak hanya beradab dan berakhlak, seseorang yang ingin di­pilih sebagai pemimpin juga perlu memiliki ilmu pengetahuan yang luas. Hal ini penting kerana tanpa ilmu, mana mungkin seseorang pemimpin itu dihormati.

Malah, tanpa ilmu juga seseorang pemimpin itu mudah ditipu orang lain terutamanya oleh golongan yang sengaja ingin menjatuhkannya dengan cara yang tidak betul. Hakikatnya, ilmulah yang akan memandu seseorang terutamanya dalam membuat keputusan yang betul demi membela orang bawahan.

Bayangkan jika dirinya dikelilingi oleh penasihat-penasihat yang ingin merosakkan ke­wibawaannya sebagai pe­mimpin, maka bagi seseorang pemimpin yang berilmu, pastinya perkara ini dapat dikesan dengan cepat dan disedarinya dengan membetulkan keadaan.

Justeru, bukan mudah untuk menjadi pemimpin. Hanya mereka yang memenuhi kriteria pe­mimpin yang berwibawa layak di­pilih sebagai pemimpin. Justeru, selamat bertugas pemimpin yang dipilih rakyat. Semoga negara ini akan lebih sejahtera.

DR. ROHAMI SHAFIE ialah Pensyarah Kanan Perakaunan dan Kewangan, Pusat Pengajian Perakaunan Tunku Puteri Intan Safinaz, Kolej Perniagaan (COB), Universiti Utara Malaysia (UUM).