MARIA CHIN
MARIA CHIN

Penulis sedikit pun tidak berasa gentar dan khuatir dengan keadaan ini. Untuk ramai rakan dalam Pemuda UMNO, niat, kemahuan dan serakah aktivis Bersih untuk berada di dalam arus perdana politik sudah kami hidu sejak dari hari pertama mereka beria-ia menyuarakan ketidakpuasan hati berkenaan sistem pilihan raya. Baik pemimpin dahulu, mahupun pemimpin sekarang - NGO seperti Bersih hanya menjadi ‘mandur politik’ kepada rakyat yang mudah dimomokkan dengan mentaliti sekawan (herd mentality). Suara dan keinginan sebenar mereka, berselindung di sebalik perjuangan demokrasi dan tempikan pembersihan sistem pilihan raya.

Sudah acapkali perjuangan Bersih ini hanya menjadi modal politik pembangkang sebelum pilihan raya. Namun, kali ini Bersih mahu terbabit sendiri de­ngan pilihan raya kerana mereka tahu dan menjangka sistem PRU Malaysia yang difitnahnya ‘punah, ranap dan tidak demokratik’ inilah yang mampu memberi mereka gelar ‘Yang Berhormat’ (YB) sedikit masa lagi.

Keterlibatan mandur dan pe­nggawa NGO Bersih dalam PRU-14 yang akan datang adalah satu pengiktirafan kepada sistem pilihan raya di Malaysia. NGO yang konon dahulunya ‘bersih’ juga rela terpalit sama dengan kekotoran sistem pilihan raya. Apakah ini satu undi percaya (vote of confidence) kepada sistem pilihan raya Malaysia? Ia wajar dilihat begitu!

Semua penggerak dan pengikut Bersih seharusnya meminta kepastian kepada ‘mandur politik’ mereka bahawa sistem Malaysia sudah cukup adil untuk menobatkan individu seperti S. Ambiga dan Maria Chin sebagai ‘YB’ sedikit masa lagi? Apakah ini juga petanda perjuangan Bersih sudah sampai kepada niat asalnya iaitu - menyediakan ‘karpet merah’ kepada pemimpin utama mereka?

Mungkin jutaan agaknya hati dan minda rakyat Malaysia yang percaya bahawa Bersih adalah sebuah gerakan yang ‘bebas, neutral, tidak berpihak dan hanya mahukan Malaysia yang lebih baik’.

Rupa-rupanya Bersih mempunyai agenda dan keinginan sendiri. Dalam pemimpin utama mereka bertempik bahawa sistem pilihan raya Malaysia rosak dan punah, pada hal mereka sebenarnya mencari jalan politik sen­diri.

Kepada penulis, gerakan Bersih hanyalah ‘peranti’ dan ‘perkakas’ politik untuk membentuk gelombang sokongan kepada pembangkang. Tidak lebih dan tidak kurang daripada itu.

Bekas pemimpin utama nega­ra juga terpedaya walaupun ke­terlibatan beliau hanya memperkukuh gambaran hipokrasi politik. ‘Budaya pop’ dalam po­litik di Malaysia ini diberikan warna oleh gerakan Bersih. Pada suatu ketika mereka memang ada kredibiliti. Tetapi hari ini, mereka sudah meranapkan imej dan kredibiliti mereka sendiri.

S. AMBIGA
S. AMBIGA

Kawasan Parlimen urban dikatakan menjadi kawasan selamat kepada para mandur NGO Bersih. Penulis ingin mengacum kalangan aktivis Bersih untuk bertanding di luar bandar. Ja­ngan berselindung di sebalik budaya pop dan protes jalanan. Mari belajar dan mendidik diri dengan politik khidmat bakti di luar bandar.

Kita harap rakyat tidak akan tertipu lagi dengan ‘wajah’ NGO seperti ini di masa hadapan. Menarik keringat dan sokongan rakyat atas nama ‘demokrasi’ dan akhirnya melampias serakah politik sendiri.

DATUK SHAIFUL HAZIZY ZAINOL ABIDIN ialah Ketua Pemuda UMNO Kedah.