Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Salleh Said Keruak dan wartawan Malaysia yang bergabun
Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Salleh Said Keruak dan wartawan Malaysia yang bergabun

Ibu kota kepulauan Maluku yang pernah menyaksikan sejarah hitam pergaduhan agama pada 1999 bagi rakyat Indonesia sendiri adalah wilayah yang tidak menjadi pilihan untuk dikunjungi. Barangkali ini kerana Ambon agak terpinggir daripada pembangunan selain sejarah hitam perang agama.

Umum juga mengenal Ambon dengan orangnya yang berbadan tegap dan berambut kerinting serta sering dikaitkan dengan kegiatan samseng atau dipanggil preman di Jakarta. Perang 1999 pun dikaitkan dengan kumpulan preman yang 'dihalau' dari Jakarta.

Umum juga mengenal orang Ambon dengan suara yang merdu selain cantik dan tinggi lampai. Sebut sahaja Glenn Fredly, Broery Marantika, Harvey Malaiholo, Melly Goeslaw dan Ruth Sahanaya, semuanya dari Maluku, Ambon di Indonesia Timur dengan perbezaan waktu dua jam berbanding Jakarta dipromosikan sebagai kota muzik.

Komuniti asal Indonesia ditambah dengan peranakan campuran Arab-Ambon, Sepanyol-Ambon, Portugis-Ambon dan Belanda-Ambon menjadikan kota ini sebenarnya penuh warna-warni. Barangkali kepelbagaian ini yang masih asli membuatkan tetamu tetap sabar berada di dalam khemah menyaksikan setiap atur cara termasuk persembahan kebudayaan berlangsung.

Suasana panas yang kurang selesa itu turut disentuh oleh Ketua Umum Persatuan Wartawan Indonesia, Margiono yang dalam ucapannya menyatakan bertemu dengan Presiden Indonesia adalah detik yang begitu menyenangkan sehingga lain-lain hal termasuk cuaca panas menjadi tidak penting.

Beliau sehubungan itu meminta Jokowi terus mengunjungi rakyatnya kerana seperti dirinya ia mendatangkan rasa senang mereka.

Menyentuh hal yang lebih serius sesuai dengan peranannya, Hari Wartawan Indonesia kali ini yang mengumpulkan semua kekuatan negara memeterai persefahaman untuk memerangi berita palsu atau hoax yang kini bukan sahaja menjadi cabaran baharu republik ini tetapi semua negara dunia.

Indonesia pun kini sedang panas. Pilihan raya daerah secara serentak pada 15 Februari ini turut diwarnai dengan penyebaran berita palsu, berita bohong dan fitnah yang dibimbangi banyak pihak boleh memecah belahkan perpaduan rakyat.

Dibimbangi

Media dan kewartawanan yang menjadi pilar keempat demokrasi yang dipegang teguh dalam konsep pentadbiran negara ini, kini diancam terpinggir oleh arus deras media sosial. Media sosial tanpa tuan yang menyebar berita palsu dengan pantas dan meluas jika terus dibiar boleh membunuh kewartawanan arus perdana.

Inilah yang dibimbangi. Dan, Indonesia sudah mempersiapkan segalanya untuk memerangi berita palsu. Daripada wartawan media cetak, elektronik dan digital sehingga komponen kerajaan dan masyarakat sepakat bergandingan memusuhi berita palsu.

Dalam memerangi berita palsu ini, Presiden Indonesia sendiri menyatakan tekadnya. Begitupun Jokowi tetap menaruh keyakinan media arus perdana tidak akan hilang walaupun digempur media sosial. Seperti radio tidak hilang dengan adanya televisyen.

Kedua-duanya saling melengkapi untuk memenuhi dahaga maklumat masyarakat. Bagaimanapun ada syarat mesti dipenuhi seperti dinyatakan Jokowi

"Media arus utama tidak boleh runtuh dalam menjunjung tinggi etika kewartawanan, yang menuntut fakta, menuntut objektiviti, yang menuntut disiplin dalam melakukan pengesahan."

Selain kempen anti-hoax, Dewan Wartawan iaitu sebuah badan bebas yang berperanan untuk mengembangkan dan melindungi dunia kewartawanan di Indonesia melakukan audit atau semacam persijilan kualiti ke atas setiap syarikat media. Ini bagi menjamin tahap profesionalisme media dan perlindungan ke atas wartawan. Audit seperti ini dapat memberikan masyarakat maklumat media mana yang boleh dijadikan rujukan dan boleh dipercayai.

Ini cara Indonesia. Malaysia juga tidak tertinggal sedang digempur dengan gejala berita palsu. Walaupun kedua-dua negara memiliki sejarah kewartawanan dan media yang berbeza, banyak yang boleh dipelajari daripada negara jiran ini.

Penentangan terhadap berita palsu bukan sekadar melalui penguatkuasaan undang-undang tetapi menyuntik kesedaran masyarakat agar bersama-sama menolak berita palsu. Gerakan ini bukan sekadar dijayakan oleh pihak kerajaan tetapi lebih penting kumpulan wartawan yang mewakili suara rakyat.

Rakyat Indonesia dan orang Ambon faham benar tentang bahana berita palsu ini. Ambon terbakar pada 1999 dalam perang Kristian-Islam dipicu oleh berita palsu walaupun ketika itu belum ada media sosial. Semasa itu, berita palsu sengaja disebar oleh tangan-tangan ghaib untuk memancing amarah dua kelompok agama.

Banyak yang boleh dipelajari dari Ambon yang panas ini. Kita pun ada pengalaman 13 Mei. Apa yang berlaku di Ambon pada 1999 mahupun di Malaysia pada 1969 boleh berulang apatah lagi kini berita palsu yang memancing emosi terlalu mudah untuk disebarluaskan.