Di Arab Saudi, kos perkahwi-nan mencecah ratusan ribu ringgit untuk majlis resepsi yang dia-dakan dari pagi hingga malam dan kadang kala sehingga pukul 3 pagi.

Belanja hangus minimum RM100,000 diperlukan dengan anggaran kadaran tukar mata wang RM1 bersamaan satu Riyal untuk menampung sewa tempat biasa­nya di dewan khas atau di hotel, makan minum termasuk berpuluh ekor kambing panggang dan kos lain berkaitan majlis keraian tersebut. Selain itu, pengantin lelaki juga perlu menyediakan sebuah rumah dan sebuah kereta.

Secara berseloroh, Rashid, pemandu van yang membawa peserta program Umrah Khas Muhsinin berkata, kos sekali kahwin di Arab Saudi sama dengan kos 18 kali kahwin di Malaysia.

Tentunya kos perkahwinan ini membebankan dan kini hangat diperbincangkan dalam kalangan ulama di sana bagi mengatasinya.

Mujur, Wakaf Saleh Al Rajhi - penaja program Umrah Khas Muhsinin ini, bersikap prihatin dengan menyediakan dana bagi meringankan bebanan yang ditanggung oleh pasangan yang ingin mendirikan rumah tangga buat kali pertama.

Setakat ini, sejumlah 2,594 orang menerima manfaat dana perkahwinan ini yang melibatkan peruntukan sebanyak RM20.5 juta. Walaupun tidak dapat menampung keseluruhan kos namun sekurang-kurangnya majlis ijab kabul dapat dilaksanakan secara sederhana mengikut tuntutan syarak.

Sebenarnya, dana kebajikan Wakaf Saleh Al Rajhi tidak terhad dalam isu perkahwinan sahaja tetapi juga merangkumi pelbagai bidang lain seperti kesihatan, pendidikan dan kemasyarakatan.

Dalam bidang kesihatan, wakaf ini menyediakan bantuan mesin dialisis untuk pesakit buah pinggang manakala biasiswa pendidikan pula diberikan kepada pelajar yang layak.

Wakaf ini, melalui dapur keba-jikan dan bakeri kebajikan turut menyediakan bantuan makanan percuma setiap hari kepada masyarakat setempat yang memerlukan. Bakeri kebajikan yang dikendalikan lima pekerja menyediakan 2800 buku roti percuma setiap hari dan bilangan berganda pada bulan Ramadan.

Dapur Kebajikan pula menye-
diakan pek makanan ketika musim haji yang jumlahnya mencecah 200,000 pek makanan sehari. Setiap pek mengandungi air minuman, kurma dan makanan yang diberikan percuma kepada jemaah haji di Mekah.

Pada bulan Ramadan, wakaf ini turut menyediakan elaun kepada imam-imam di seluruh dunia termasuk di Malaysia bagi mengimamkan solat Tarawih.

Dalam skala yang lebih besar, Wakaf Saleh Al Rajhi telah menyumbang sebanyak RM31 bilion bagi membantu umat Islam yang ditimpa musibah di seluruh dunia antaranya mangsa tsunami di Indonesia dan Sri Lanka, orang kebuluran di Somalia, rakyat Pakistan yang dilanda gempa bumi dan banjir besar, pelarian Syria dan penduduk Gaza.

Bagaimanapun, berbuat kebajikan bukanlah milik golongan yang berada sahaja. Malah, sebenarnya sesiapa pun boleh berbakti dan berbuat kebajikan mengikut kemampuan masing-masing.

Di dua tempat suci umat Islam – di Masjidil Haram, Mekah dan di Masjid Nabawi, Madinah - jemaah membuat amal dengan mengambilkan al-Quran, mengedarkan cawan minuman berisi air zamzam, berkongsi minyak atar dan bersedekah kurma.

Di luar dua masjid ini, sikap ­ingin membuat kebajikan di Ta­nah Haram masih menebal dan terus menjadi amalan termasuk di restoran makanan segera po­pular, Al Baik yang menjual ayam goreng ala KFC tetapi versi Arab Saudi.

Terliur dengan cerita kelazatan ayam goreng Al Baik mendorong penulis bersama wartawan penyiaran TV AlHijrah, Muhammad Syafiq Azman pergi ke restoran itu pada lewat malam sebaik sahaja tiba di Madinah.

Namun hasrat untuk membeli terencat kerana bilangan pembeli yang beratur panjang. Masa me­nunggu minimum setengah jam. Nasib baik di luar premis ada warga Pakistan yang membeli set Al Baik dengan banyak dan menjualnya semula kepada orang ramai.

Kami sudah skeptikal, pasti harganya berkali ganda. Untuk tidak kempunan, kami nekad membelinya. Ternyata dugaan kami silap, warga Pakistan itu menjualnya pada kadar harga yang sama iaitu RM12 per set. Satu set ada empat ketul ayam goreng, satu roti ban dan kentang goreng berserta sos tomato dan sos bawang putih. Memang sedap dan menyelerakan.

Sesungguhnya sikap murni Wakaf Al Rajhi, para jemaah umrah dan warga Pakistan penjual semula Al Baik itu wajar dicontohi agar dapat menjauhkan kita daripada sikap materialistik.

Berbuat kebajikan bukan sahaja dapat menjana ekonomi ummah tetapi yang lebih pen­ting amalan ini dapat menyucikan jiwa daripada sikap tamak, den­g­ki dan bakhil.