Dalam hal ini, dua perkara yang nyata iaitu pertama, elitnya gelaran Dr. sehingga ramai yang sanggup mengeluarkan wang yang begitu banyak untuk mendapatkannya. Kedua, PhD cepat yang diperoleh dengan bayaran sekali gus mencerminkan terdapat kelompok dalam masyarakat kita dan sering terpedaya dengan sesuatu yang segera seperti skim cepat kaya dan sebagainya.

PhD sebagaimana umum ketahui adalah hasil penyelidikan yang mempunyai sumbangan kepada bidang pengetahuan mahupun kehidupan. Dahulunya, PhD dikaitkan dengan penyelidikan sepenuhnya, namun dalam konteks kini ada juga terdapat bentuk lain iaitu PhD mod campuran dan PhD penerbitan. PhD mod campuran melibatkan gabungan kerja kursus dan penyelidikan dan komponen penyelidikan dihasilkan dalam sebuah disertasi.

Sementara itu, PhD penerbitan akan mengambil kira penerbitan yang dijalankan pelajar dan diperakui layak untuk dijadikan tesis PhD. Di Malaysia, kesemua tatacara berkaitan kelayakan proses dan sebagainya digariskan dalam Standard Sarjana dan Ijazah Kedoktoran Agensi Kelayakan Malaysia (MQA). Bukan sahaja di Malaysia malah di seluruh dunia, semua universiti tertakluk kepada badan akreditasi masing-masing bagi memastikan kualiti PhD setara dengan taraf tinggi kesarjanaannya.

Bukan mudah membuat keputusan untuk menyambung pengajian peringkat PhD. Pengorbanan wang, masa, tenaga dan perasaan bukan sedikit sepanjang pengajian PhD. Adalah biasa mengaitkan PhD dengan bertungkus lumus dan bersusah payah memerah otak, siang dan malam untuk tempoh masa tiga hingga enam tahun bagi program sepenuh masa dan jika separuh masa sehingga tujuh ke lapan tahun.

PhD dengan pantas dan kilat sebagaimana yang didakwa oleh sesetengah yang menawarkan program memantaskan PhD agak membimbangkan. Tentunya tempoh tiga tahun ditetapkan atas sebab tertentu yang mana pelajar perlu menjalani fasa kajian, pengumpulan data, penulisan, analisis, pengesahan keputusan kajian dan peperiksaan. Sehubungan itu juga Kementerian Pendidikan Tinggi menetapkan tempoh graduate on time adalah sehingga 42 bulan. Malah Standard MQA bagi Ijazah kedoktoran dengan jelas menunjukkan tempoh minimum mengikuti pengajian PhD.

Jika dikaitkan dengan kehidupan, proses PhD adalah laksana menanam sepohon pokok yang akhirnya jika dijaga dan dibajai dengan baik akan memanfaatkan seluruh isi alam. Proses menanam pokok ini dimulai dengan mengenalpasti apakah pokok yang perlu ditanam, menyediakan tanah yang sesuai dan pemilihan anak benih yang baik. Dengan cara menanam yang betul, baja yang mencukupi dan penjagaan yang betul, tentunya pokok ini akan tumbuh subur merendang yang boleh menjadi tempat berteduh malah jika ia berbuah akan dapat dimakan oleh manusia dan haiwan. Malah pokok yang baik akan memberikan benih untuk lebih banyak pokok dapat ditanam.

Jika dikira kos, biaya mendapatkan pemegang PhD men­cecah ratusan ribu ringgit Malaysia (RM) jika dihantar ke luar negara bergantung kepada kadar tukaran asing. Jika di United Kingdom, yuran pengajian luar negara boleh mencecah lebih £80,000. Jika mengikuti pengajian PhD dalam negara, kos yuran ­keseluruhan sahaja boleh mencapai RM50,000 di universiti awam dan boleh mencapai lebih RM100,000 bagi universiti swasta di Malaysia. Kebanyakan pelajar menerima tajaan yang kebanyakan berbentuk pinjaman. Berdepan dengan risiko berhutang jika tidak dapat menghabiskan pengajian dalam masa ditetapkan namun masih ramai sanggup berjuang demi mendapatkan PhD.

Dengan bayaran RM20,000 untuk mendapatkan PhD, ternyata sesuatu yang tidak masuk akal, terlalu murah dan tidak munasabah. Jadi berapakah sebenarnya ‘harga’ PhD? Harga PhD tidak dapat ditentukan dalam apa jua bentuk mata wang kerana elemen penat lelah, trauma dan masa yang diambil bukan dapat diterjemahkan dalam nilai RM dan sebagainya.

Apakah nilai PhD? PhD dinilai daripada sumbangan ilmu yang sentiasa mengalir dan diturunkan daripada generasi ke generasi. Bayangkan seorang profesor di Cambridge University telah mengraduankan lebih 20 pelajar PhD. Salah seorang bekas pelajarnya menjadi profesor di Universiti of Aberdeen dan mengraduankan lebih 10 pelajar PhD. Salah seorang graduan ini kembali ke Malaysia dan berjaya menyelia lebih 10 pelajar PhD malah daripada kelompok ini ada yang telah mengraduankan pelajar PhD.

Ilmu diperturunkan daripada satu generasi ‘baby boom’ ke generasi X, Y dan pastinya akan berterusan ke Generasi Z. Budaya penurunan dan pengembangan ilmu adalah falsafah yang tersembunyi dalam PhD. Bukan setakat ilmu diturunkan tetapi penyelidikan yang dijalankan pelajar tentunya diperluaskan dan dibuat dalam konteks kehidupan semasa dan memberi manfaat kepada kehidupan selaras dengan falsafah penyelidikan PhD itu sendiri.

Inisiatif kerajaan untuk mewujudkan daftar PhD adalah suatu yang bijak dan perlu disegerakan. Hanya mereka yang mempunyai PhD tulen akan didaftarkan dan dengan itu Malaysia akan dapat menyimpan rekod pemegang PhD negara. Ini sekali gus dapat menjadi pusat rujukan bagi mereka yang berkepentingan kesahihan PhD. Semoga usaha ini menjadi satu perjuangan untuk membanteras pemalsuan PhD di negara kita.

PROFESOR MADYA DR. AMINAH MD. YUSOF ialah Timbalan Dekan (Pembangunan Program dan Hubungan Pelanggan), Sekolah Pengajian Siswazah, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) yang juga merangkap Setiausaha Majlis Dekan Pengajian Siswazah Malaysia.