Nasib baik baju saiz M masih boleh pakai. Kalau ke L, jawabnya siapa nak pakai baju-baju ofis yang bersidai dalam almari?

Nak bagi anak-anak abang hensem yang dah besar panjang, tak mau mereka. Ya lah era hipster katakan dengan fesyen pelbagai istilah, asalkan slim fit.

Cerita pasal saiz seluar tadi, ha...itulah azam abang hensem masuk tahun baharu 2019 ini. Nak turunkan berat badan yang cecah 78 kilo sekarang ke 70 kilo dan rajin excercise untuk kesihatan.

 

Klise kan? Tapi abang hensem percaya 100 peratus itulah azam tahun baharu setiap tahun korangkan sejak 10 tahun lepas. Dan tak pernah tercapai pun.

Tapikan, kalau dah sarung seluar pun sendat, baju ketat dan naik tangga sikit dah mengah, memang wajiblah jawabnya untuk korang teruskan azam nak kurus ni.

Azam nak kurus atau jaga kesihatan ini abang hensem kira memang azam paling win. Ia samalah macam azam nak kaya, tapi tak kaya-kaya.

Di United Kingdom tempoh hari bila nak masuk 2018, satu tinjauan yang dibuat oleh YouGov, mendapati rata-rata rakyat Britain berjanji untuk mengubah tabiat pemakanan, ingin bersenam secara konsisten dan berbelanja secara berhemat.

Penjagaan kesihatan memang itulah azam manusia di planet ini. Azam yang lain-lain abang hensem kira pastinya nak keluar dari bebanan hutang atau simpan duit jangan boros.

Waima apapun, setiap azam perlu ada sasarannya. Kalau korang ‘nak kurus’, tetapkan sekurang-kurangnya 2 kilo sebelum bulan Mac nanti. Azam korang ada chance tinggi untuk berjaya jika dikecilkan skop seperti ini.

Begitupun abang hensem nak peringat satu perkara ini, dengan petik sikit pesanan Sahibus Samahah Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri untuk azam baharu. Hayati nasihatnya ini - iman dan ketakwaan penyelesaian kepada segala permasalahan hidup dan mati.

Bila renungkan detik-detik sebuah kumpulan muzik popular di negara tetangga dibaham tsunami beberapa hari lepas, abang hensem menarik nafas insaf. Dan bersyukur ke hadrat-Nya kerana masih bernafas di muka bumi Allah ini.