Namun, apa perbezaan kopitiam dengan kedai kopi biasa dan kenapa dipanggil kopitiam. Lazimnya kopitiam adalah sebuah kedai makan yang sinonim dengan masyarakat Cina.

Melihat sejarah kopitiam itu sendiri, National Geographic memberitahu asal-usul perkataan ‘kopitiam’ adalah gabungan daripada dua perkataan dalam dua bahasa berbeza iaitu ‘kopi’ dan ‘tiam’.

‘Kopi’ adalah perkataan dalam bahasa Melayu, sementara ‘tiam’ adalah perkataan daripada dialek Hokkien yang bermaksud gerai atau kedai.

Justeru, gabungan dua perkataan daripada bahasa berbeza itu menjadi ‘kopitiam’. Kopitiam begitu terkenal di negara Asia Tenggara seperti Singapura, Malaysia dan Indonesia yang mempunyai penduduk Cina berasal dari Fujian (Xiamen).

Dari segi budaya pula, seorang pengusaha restoran Ramly Kopitiam, Ramli Hashim, 54, memberitahu, keunikan restoran berkonsepkan kopitiam adalah kerana budaya warisan yang turun temurun.

“Kita boleh tengok hari ini, banyak kedai makan berkonsepkan kopitiam telah dibuka. Ini kerana orang ramai melihat kedai makan stail kopitiam lebih ringkas dan mudah.

“Namun tidak banyak kopitiam milik orang Melayu mengamalkan konsep hailam. Kalau orang datang ke kedai kopitiam dengan konsep ini, mereka pasti akan ingat hailam.

“Ciri-ciri kopitiam hailam sangat berkait rapat dengan air panas. Selain minuman panas, roti juga akan dikukus sebelum dihidang,” katanya ketika ditemubual S2.

Tambah beliau, selain makanan dan minuman, air panas juga dikaitkan dengan penjagaan kesihatan dan kebersihan.

“Itu antara budaya warisan di kedai saya. Sejak lebih 90 tahun lalu, konsepnya tetap sama. Meskipun telah berubah pemilik yang berbeza kaum dan agama, ia masih sama.

“Kita cuci peralatan memasak, cawan dan piring menggunakan air panas. Cawan yang hendak digunakan akan direndam dahulu di dalam air panas.

“Ini merupakan budaya masyarakat Cina. Sebab itulah, rasa kopi yang dihidang lebih sedap dan tahan lama, selain cawan lebih bersih. Cara ini juga dipercayai lebih bermanfaat untuk kesihatan,” jelasnya.

Ramli memberitahu, banyak ciri-ciri budaya masyarakat Cina di kedai itu dikekalkan hingga hari ini. Justeru, tidak hairanlah bapa angkatnya percaya kepadanya untuk meneruskan perniagaan kopitiam.