Projek tajaan kerajaan negeri Pulau Pinang ini, jika dilaksanakan akan menghubungkan Bagan Ajam (Seberang Perai) dengan Jalan Gurney (bahagian utara Pulau Pinang). Impak positifnya akan dapat dirasakan oleh penduduk Kedah, Perlis, selain penduduk Butterworth dan Bukit Mertajam kerana terowong sepanjang 7.2 kilometer ini akan menjadi laluan alternatif lebih cepat lagi kepada perkhidmatan feri dan jambatan pertama dan kedua. Ia akan memudahkan warga utara Semenanjung berulang alik dari Seberang Perai ke bahagian pulau. Umum mengetahui ramai pekerja di pulau itu mempunyai rumah di Seberang Perai, Kulim dan Sungai Petani.

Malangnya bagi kerajaan ne­geri Pulau Pinang, sejak awal lagi projek ini mengundang kontroversi disebabkan beberapa ‘faktor luaran’. Untuk kita memahami kenapa kontroversi ini timbul, kronologi ringkas projek tersebut dinyatakan dalam ruangan ini.

Pada 14 November 2011, Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng menyatakan matlamat utama projek terowong ini adalah menyelesaikan masalah kesesakan lalu lintas di pulau itu. Dianggarkan menelan belanja antara RM5 bilion hingga RM8 bilion, dengan bayaran kepada kontraktor yang membina projek itu akan dibuat bukan dalam bentuk wang tetapi menerusi pertukaran tanah (land swap). Tanah yang akan diserahkan kepada kontraktor sebagai ganti bayaran bernilai tinggi di­sebabkan lokasinya yang strategik, iaitu di Gurney Drive Tourist Belt. Projek ini dijangka siap pada 2020 ataupun mungkin awal sedikit.

Pada 1 Mac 2013, kerajaan negeri melantik syarikat Consortium Zenith BUCG Sdn. Bhd. untuk melaksanakan projek itu dengan nilai kontrak berharga RM8 bi­lion. Konsortium adalah syarikat usaha sama antara Zenith Construction Sdn. Bhd. dan China Railway Construction Co Ltd (CRCC) serta beberapa syarikat lain. Mengikut Pengerusi Consortium Zenith, Datuk Zarul Ahmad Zulkifli, kajian feasibility projek itu dijangka siap pada akhir 2014.

Selain membina terowong dasar laut menghubungkan Bagan Ajam dengan Gurney Drive, projek yang diserahkan kepada Consortium Zenith juga meliputi pembinaan tiga jalan raya baharu - iaitu bypass pertama menghubungkan Gurney-Drive dengan Lebuh Raya Tun Dr. Lim Chong Eu, bypass kedua menghubungkan Lebuh Raya Tun Dr. Lim Chong Eu dengan Bandar Baru Air Hitam dan satu lagi jalan baru menghubungkan Tanjung Bungah dengan Teluk Bahang.

Apa yang dirancang oleh kerajaan negeri Pulau Pinang ini pa­da prinsipnya tidak menyalahi apa-apa undang-undang atau bertentangan dengan amalan semasa. Mana-mana negeri yang ingin membangunkan projek infrastruktur mega tetapi tidak ada kekuatan kewangan atau kepakaran melaksanakannya dibenarkan mencari mana-mana entiti lain (dalam negeri atau di luar negara) untuk melaksanakan kerja yang dikehendaki. Dan sebagai balasan, akan diberi kesempatan untuk melakukan kerja tambak laut di mana akhirnya sebahagian tanah yang baharu wujud itu akan diserahkan sebagai ‘bayaran’ kepada kontraktor.

Malangnya bagi kerajaan ne­geri, pengumuman awalnya mengenai projek ini dipersoal. Ada yang menyoal kenapa kerajaan negeri terburu-buru meneruskan projek ini? Ada yang berkata, pembinaan terowong dasar laut serta beberapa batang jalan raya baharu tidak akan menyelesaikan masalah kesesakan lalu lintas di pulau itu. Ada pula mengatakan sepatutnya kerajaan negeri mendapatkan mandat baharu dari rakyat dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) sebelum memulakan projek bernilai tinggi ini.

Pada Julai 2017, satu laporan polis dibuat oleh Parti Cinta Malaysia (PCM). Ia dibuat selepas dimaklumkan projek itu telah diserahkan kepada sebuah syarikat bermodal kecil ketika ia dianugerahkan kontrak itu pada Mac 2013.

Pada 11 Oktober 2017, kerajaan negeri Pulau Pinang mengakui gagal menyerahkan laporan kajian feasibility projek itu kepada Kementerian Kerja Raya dengan alasan tarikh jangkaan pelaksanaannya masih jauh lagi iaitu pada 2023. Pada 10 Januari (2018) lalu beberapa pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyerbu beberapa pejabat agensi kerajaan negeri di Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar) serta pejabat Ewin-Zenith Sdn. Bhd, 555 Capital Sdn. Bhd. dan Konsortium Zenith.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Azam Baki memberitahu media bahawa serbuan itu dibuat bagi membantu siasatan kes berkaitan projek tersebut. Pada tarikh sama, seorang pengarah syarikat bergelar Datuk dibawa ke Mahkamah Majistret Putrajaya untuk direman bagi membantu siasatan SPRM berhubung projek terowong dasar laut itu.

Susulan operasi SPRM itu, Guan Eng membuat kenyataan bahawa Kerajaan Pulau Pinang akan meneruskan projek terowong dasar laut itu walaupun SPRM sedang menyiasatnya. Tegas beliau, setakat ini tiada mana-mana pihak termasuk mahkamah mengarahkan projek itu ditangguhkan. Sementara itu, mengikut laporan media terkini, CCRC telah menarik diri dari projek ini dan tempatnya telah diambil alih oleh sebuah syarikat fesyen.

Terbaharu pada 25 Januari lalu, SPRM menangkap pengerusi sebuah firma perunding kejurute­raan bergelar Datuk Seri untuk membantu siasatan berhubung rasuah dalam projek pembinaan terowong bawah laut ini.

Tidak cukup dengan beban menangani kontroversi projek terowong dasar laut ini, Guan Eng kini berdepan dengan satu pro­siding kes jenayah rasuah yang dijadualkan bermula di Mahkamah Tinggi pada 26 Mac nanti. Beliau dituduh melakukan jenayah itu bersama seorang usahawan wa­nita, Phang Li Koon. Soalnya, apakah beliau akan ‘bercuti’ sementara waktu untuk menumpukan segala tenaga dan fikirannya terhadap kes ini?

DATUK SALLEH BUANG ialah bekas Profesor Tamu Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Skudai, Johor.