Maka, ia dengan sendiri memberi peringatan kepada semua pihak bahawa Malaysia tidak perlu campur tangan asing. Khususnya, dalam soal menyelesaikan masalah berkaitan 1MDB. Maka, saya berpandangan tegas bahawa tindakan Jabatan Keadilan (DoJ) Amerika Syarikat yang memfailkan saman sivil baru-baru ini atas alasan mahu mendapatkan semula aset-aset yang didakwa diselewengkan daripada 1MDB, adalah tidak perlu.

Tindakan itu sangat tidak rasional dan profesional. Seolah-olah satu konspirasi yang pernah menjadi perhatian kira-kira dua tahun yang lalu berterusan untuk menjatuhkan pentadbiran kerajaan Malaysia di bawah Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Kita beranggapan segalanya sudah selesai. Sebaliknya tidak. Konspirasi politik yang tidak henti-henti. Ia berterusan untuk me­ngundang pihak ketiga dan kuasa luar untuk menjatuhkan kerajaan dan melumpuhkan negara.

Kita sedia maklum siasatan yang dijalankan sebelum ini tidak menunjukkan apa-apa penyelewengan dikaitkan dengan perdana menteri. Hasil siasatan ini turut ditegaskan oleh Peguam Negara bahawa tidak terdapat bukti-bukti berasas untuk dihadapkan ke mahkamah. Justeru, tindakan saman DoJ ini sangat meragukan lebih-lebih lagi ia langsung tidak merujuk mana-mana pihak berkuasa seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Jabatan Peguam Negara dan Polis Diraja Malaysia yang masing-masing ada ruang perundangan sendiri untuk dikuatkuasakan seperti Akta SPRM dan Kanun Keseksaan.

Kerajaan mempunyai asas yang kukuh bahawa tindakan DoJ seolah-olah didorong motif politik pihak-pihak tertentu yang cemburu dengan apa yang dilakukan kerajaan dalam melakukan transformasi negara.

Kemungkinan ada pihak yang mahu menggunakan DoJ sebagai modal politik ketika pilihan raya umum akan datang.

Dalam hal ini, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Hussein yang ditanya sama dakwaan terbaharu DoJ akan memberi kesan kepada UMNO dalam menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 berkata, walaupun terdapat banyak isu berkaitan nasional pada hari ini, masyarakat di peringkat akar umbi mahu melihat nasib mereka terbela di peringkat setempat.

“Pengundi mahu nasib mereka terbela dan bagi mereka masalah setempat lebih penting, saya ya­kin dengan cara dekati rakyat yang betul kami pasti boleh melawan kenyataan DoJ,” kata beliau yang juga Menteri Tugas-Tugas Khas.
Apa yang disaksikan minggu lalu menunjukkan ini kali kedua DoJ mencampuri urusan berkaitan 1MDB. Kita tidak menafikan DoJ sebagai agensi penguat kuasa Amerika Syarikat ada hak untuk menguatkuasakan undang-undang pengubahan wang haram di negara itu, tetapi mendakwa ke­salahan dilakukan oleh pemimpin-pemimpin negara dan mencampuri hal ehwal Malaysia, sudah tentu satu konspirasi mencampuri hal ehwal negara berdaulat.
Sudah ini pasti menjadikan DoJ bukan sahaja bertindak melulu bahkan juga menuduh tanpa usul periksa, seperti ditegaskan oleh Pengarah Komunikasi Strategik Barisan Nasional (BN)  Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan. Tidak ada sebab untuk kita mempercayai kenyataan yang dikeluarkan oleh DoJ.

“Sebagai sebuah negara berdaulat, Malaysia telah melakukan penyiasatannya sendiri. Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara yang berpengaruh dan bersifat dwi pemihak khususnya, yang dianggotai pemimpin kanan daripada pihak kerajaan dan pembangkang, tidak menemukan sebarang DoJ khususnya Amerika Syarikat perlu menghormati kedaulatan negara lain. Hubungan Malaysia-Amerika Syarikat bukan sesuatu yang baharu.

Justeru, kita berharap Amerika Syarikat akan menghargai hubung­an kukuh ini demi kebaikan jangka panjang kedua-dua negara.

Ingatan kita akan apa yang berlaku pada tahun 1998 masih segara. Pemimpin kedua tertinggi negara itu melaungkan “reformasi” semasa berucap di negara ini.

Kita pernah mengecam teruk tentang pendirian mereka yang secara terang-terang mahu mencampuri hal ehwal Malaysia.

Perkara ini juga secara ringkas ditekankan oleh Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr. Salleh Said Keruak dalam blognya semalam. Beliau mengambil contoh mengenai campur tangan Amerika Syarikat dalam politik Malaysia semasa tahun 1998 hingga 2003, Salleh berkata bekas perdana menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad sa­ngat marah dengan Amerika Syarikat kerana apa yang dikatakan campur tangan kuasa besar itu dalam politik Malaysia.

Salleh menyebut bahawa, bagi Dr. Mahathir, politik Malaysia adalah urusan dalaman Malaysia dan pihak luar tidak harus campur tangan dalam hal ehwal dalaman Malaysia. Beliau menegaskan bahawa sebenarnya, itu telah menjadi amalan antarabangsa untuk sekian lama.

“Negara-negara, sudah tentu, boleh mengulas mengenai hal ehwal dalaman negara lain jika ia melibatkan seperti hak asasi manusia, kebebasan sivil, buruh kanak-kanak, seks kanak-kanak, pembunuhan beramai-ramai dan sebagainya. Selain daripada itu, anda perlu menghormati kedaulatan negara lain,” kata beliau.
Mana-mana pentadbiran ada kelemahan. Tiada negara yang lengkap, termasuk Amerika Syarikat sendiri. Tidak diceritakan apa yang sedang berlaku di negara itu. Malah banyak keputusan dibuat oleh negara itu ke atas negara-negara lain kononnya atas dasar demokrasi dan hak asasi manusia semuanya berakhir de­ngan kegagalan.

Kepimpinan Najib sudah menjanjikan untuk menangani apa jua kelemahan dan kekurangan yang wujud. Begitu juga dalam isu berkaitan pengurusan 1MDB. Pelan pembetulan sedang dilaksanakan sebagaimana dijanjikan. Kita perlu beri masa untuk melihat kejayaan pelaksanaan.

Apakah kepimpinan Dr. Mahathir sebagai Perdana Menteri 22 tahun yang lalu tidak pernah melakukan kesilapan? Rakyat tahu menilai. Justeru jangan ha­nya mencari kesalahan pihak lain, dalam situasi hari ini kepimpinan Najib.

Kita masih berkeupayaan untuk menyelesaikan krisis dan kemelut mengikut sistem sosiopolitik negara. Sebenarnya siasatan berkaitan 1MDB masih berjalan. Jika ada bukti baharu sudah pasti akan diambil kira oleh agensi-agensi terbabit. Untuk kita bergantung kepada kuasa asing adalah satu langkah tidak bijak. Kata orang, jangan buka pintu empang­an untuk mencari nahas jangka panjang.

Kita perlu bijak menilai tindakan kuasa asing. Belajar daripada sejarah. Jangan sampai kita hilang pedoman mengundang campur tangan asing sembarangan sehingga menggadai maruah negara.

PRU14 akan membuktikan usaha konspirasi asing adalah sia-sia dan satu fitnah serta tidak berasas sama sekali. Bagi pembangkang, biar kita guna gelanggang negara sendiri untuk menyelesaikan apa jua isu. Percayalah pada sistem keadilan dan kehakiman Malaysia.

DATUK SERI DR. IRMOHIZAM IBRAHIM ialah Ahli Majlis Tertinggi UMNO dan Ahli Parlimen Kuala Selangor.