Di samping mereka berdua, kejayaan pelari pecut Khairul Hafiz Jantan yang memecahkan rekod kebangsaan 200 meter berusia 49 tahun milik Dr. M. Jegathesan (20.92s) dengan catatan 20.90 s pada Kejohanan Olahraga Pra Sukan SEA 2017 turut mencuri tumpuan ramai yang mana Khairul disebut-sebut bakal dinobatkan pelari pecut terbaik Asia Tenggara kelak.

Pada masa sama kita turut di­ceriakan dengan kejayaan hebat atlet paralimpik di pe­ringkat antarabangsa. Muhammad Ziyad Zokefli meneruskan kecemerlang­an dengan memecah satu lagi rekod dunia acara lontar peluru lelaki F20 pada Kejohanan Olahraga Paralimpik Dunia 2017 di London, baru-baru ini. Seorang lagi atlet paralimpik Abdul Latif Romly turut cemerlang dengan meraih emas dan memperbaiki rekod lompat jauh yang dicipta­nya sendiri pada 2015.

Kejayaan mereka semua membuktikan atlet Malaysia juga mampu pergi jauh dan mencipta kegemilangan di peringkat antarabangsa. Namun kita seringkali masih berhadapan dengan masalah ketandusan atlet ter­utamanya barisan pelapis untuk beberapa sukan.

Misalnya, kita belum pasti dan jelas siapa pengganti jaguh perseorangan badminton negara, Datuk Lee Chong Wei dan juga jaguh skuasy dunia Datuk Nicol David. Kedua-dua atlet ini mi­salnya berada dalam kelas mereka tersendiri. Mereka adalah jaguh dunia yang tidak dapat dipertikaikan lagi.

Sudah banyak kali mereka mengharumkan nama negara dan memastikan lagu Negaraku berkumandang megah di pentas antarabangsa. Kita bersyukur dan bertuah kerana memiliki atlet hebat seperti mereka namun apakah kita sudah berpuas hati dengan itu? Persoalan klise yang masih belum terjawab sehingga sekarang adalah siapa pengganti Chong Wei dan Nicol? Apa yang pasti kedua-dua mereka sudah pun berada di ambang persaraan.

Dan penulis percaya jika ke­adaan seperti ini masih berterusan kita akan hadapi masalah yang sama selepas Jun Hoong, Pandelela, Khairul, Ziyad dan juga Abdul Latif. Ini kerana kita cukup teruja dan selesa dengan pencapaian semasa semata-mata tanpa melihat dengan serius keperluan untuk melahirkan atlet pelapis dari sekarang. Inilah masalah utama pengurusan bakat sukan di negara ini. Kita tidak konsisten dalam melahirkan atlet sukan yang hebat di peringkat antarabangsa. Bila ada seorang muncul secara tiba-tiba kita hanya fokus pada orang tersebut tanpa sekali lagi pedulikan pelan penggantian kepada atlet tersebut.

Sudah penat kita memikirkan hal ini. Tampuk kepemimpinan persatuan sukan sering bertukar ganti malah tidak kurang hebatnya individu yang terpilih untuk mengetuai sesebuah persatuan sukan namun hakikatnya keadaan sama masih terus berlaku. Masing-masing masih gagal untuk melahirkan barisan atlet bertaraf antarabangsa secara konsisten.

Penulis cukup yakin negara ini tidak pernah ketandusan bakat baharu. Baik dalam sukan olahraga, badminton mahupun bola sepak misalnya ramai yang berbakat namun ke mana hala tuju atlet muda dan baru ini? Siapa yang menjaga mereka, menguruskan mereka dan memastikan kumpulan pelapis ini terus diasah serta dipersiapkan untuk mengambil alih dari atlet utama bila tiba masanya? Akhirnya kerana ada pelbagai kerenah birokrasi, ia menghancurkan masa depan atlet muda berbakat begitu sahaja. Inilah masalah dan dilema sukan negara.

Justeru penulis ingin menyeru semua persatuan sukan di negara ini buatlah anjakan paradigma. Jangan terus bersandiwara dan bersembunyi di sebalik bayangan kejayaan seorang dua atlet tetapi lupa kita tidak ada pengganti apabila atlet tersebut bersara kelak.

Semak dan nilai semula pelan pembangunan bakat baharu yang sedia ada, itu pun kalaulah ada. Jangan sampai pelan tersebut pun tidak dapat dibangunkan sehingga sekarang. Bukan sedikit wang ringgit dibelanjakan oleh kerajaan mahupun korporat untuk membantu pelbagai program pembangunan bakat baharu jadi janganlah membazirkan segala inisiatif dan perbelanjaan tersebut begitu saja.

Setiap persatuan sukan dan kepemimpinan persatuan perlu ada misi, visi dan hala tuju jelas dalam melahirkan bakat baharu secara berterusan. Jangan sekadar mahu jawatan untuk pelbagai kepentingan peribadi tetapi culas melaksanakan tanggungjawab ha­kiki yang diamanahkan. Malah ramai juga yang menaburkan pelbagai janji sebelum dipilih tetapi setelah mendapat jawatan tidak mampu menunaikan janji-janji tersebut.

Untuk itu, kita berharap agar pihak Kementerian Belia dan Sukan dapat memainkan peranan yang sewajarnya dengan memantau secara rapi pencapaian setiap persatuan dalam mencapai pelan pembangunan bakat baharu. Harus diingat tatkala negara jiran yang satu ketika dahulu jauh ketinggalan daripada kita sudah semakin maju dan hebat di pentas dunia termasuk mampu melahirkan atlet baharu secara konsisten, kita pula masih bergelut dan berada di tahap yang sama. Kalau situasi ini berterusan kita terpaksa berpuas hati dengan status jaguh kampung semata-mata untuk selamanya.

PENULIS ialah Timbalan Pendaftar, Fakulti Kejuruteraan Universiti Putra Malaysia (UPM).