Pernahkah anda dengar tentang SEBENARNYA.MY

Logo Kaji Selidik Pembaca

Pernahkah anda dengar tentang SEBENARNYA.MY ?

Pernahkah anda dengar tentang SEBENARNYA.MY ?




Sila respon kepada soalan di atas untuk menutup skrin ini

Show result

ISLAM  berjaya mengatur kehidupan manusia  dalam satu kesatuan
ISLAM berjaya mengatur kehidupan manusia dalam satu kesatuan yang kukuh, adil, berhikmah, bertoleransi dan bekerjasama termasuk melahirkan konsep satu ummah yang bersifat wasatiyyah. GAMBAR HIASAN/AFP

GAGASAN globalisasi yang pada mulanya di­ciptakan dalam tahun 60-an untuk merapatkan jurang perbezaan ekonomi di antara negara kaya dan miskin di dunia, akhir­nya gagal untuk direalisasikan ke­rana ketamakan dan cengkaman nafsu manusia yang mengakibatkan kemunculan 1001 masalah kemanusiaan; kemiskinan dan kebuluran, kepenggunaan dan pertumbuhan penduduk dunia yang berlipat ganda, beban hutang dan ketidakseimbangan perdagangan, malah jenayah, dadah, peperangan dan pelarian perang serta cita-cita murni yang di­harapkan akhirnya dalam tahun 70-an telah menjadi permasalahan global.

Umat Islam seharusnya dapat mempelajari isi kandungan al-Quran yang begitu banyak mengajar dan mendidik manusia seluruhnya dalam menghadapi cabaran masyarakat yang berbilang bangsa dan kaum, pelbagai budaya dan cara hidup, untuk menjadi umat bertamadun, ­kerana Allah telah menentukan bahawa anak Adam, iaitu manusia inilah yang dilantik untuk menguruskan alam ini seterus­nya.

Nabi Muhammad SAW sendiri sebenarnya telah mencipta satu era globalisasi apabila berhijrah dari Mekah ke Madinah pada tahun 622 Masehi, dan memeteraikan satu perjanjian dengan umat Islam yang terdiri daripada kaum Ansar di Madinah dan kaum Muhajirin yang datang bersama-sama baginda, serta beberapa golongan kaum Yahudi sedia ada di Madinah ketika itu.

Baginda ketika tiba di Madinah telah berjaya merapatkan tali silaturahim di antara kaum Muslimin di Madinah dengan umat Muslimin yang datang berhijrah bersama-sama baginda dari Mekah dan dalam masa sama membina jambatan kukuh memupuk perpaduan puak-puak Yahudi yang bermusuhan sesama mereka, malah diberikan kepercayaan untuk memimpin negara baharu ini sebagai pemimpin dalam kepelbagaian aspek pembangunan negara dan peradabannya.

Demikianlah dalam sejarah kemunculan manusia global di alam ini, Islam telah berjaya mengatur kehidupan manusia berbilang kaum dan agama dalam satu kesatuan yang kukuh, adil, berhikmah, bertoleransi dan bekerjasama dengan baik, termasuk dalam konsep satu ummah yang bersifat dengan sifat wasatiyah.

Kedatangan Islam sebenarnya tidak merupakan kemunculan agama yang ganas, menghukum dan mengambil sebarang tindakan keras terhadap umat lain yang tidak menganut Islam tanpa hak, sehinggakan bagi orang Yahudi, kedatangan Islam adalah satu rahmat yang memberikan perubahan lebih baik daripada situasi mereka di bawah pemerintahan sebelumnya.

Dalam sejarah ketamadunan seterusnya, peradaban Islam telah berjaya mencorakkan ­kesejahteraan masyarakat berbilang bangsa dan agama, ketika penganut Islam, Kristian dan Yahudi mampu berurusan dalam suasana harmoni, aman dan produktif, penuh mesra dan persahabatan, intelektual, dan nilai-nilai bersama yang baik.

Malah ketika Islam hadir di bumi Andalusia, di Sepanyol, Islam telah menyatukan umat berbilang agama dan keturunan bukan hanya berdasarkan kehidupan sejagat dan nilai-nilai kemanusiaan bersama, malah berasaskan kekayaan kreativiti komuniti dan asimilasi budaya Timur dan Barat.

Mengambil teladan dan inspirasi ini, maka bagi saya, Malaysia yang selama ini telah mengamalkan dasar toleransi dan kehidupan bersama secara aman dan damai dalam masyarakat berbilang agama dan kaum mestilah terus memperkukuhkan sejarah dalam pengertian baharu bagi nilai-nilai global yang mulai tercabar dengan hebatnya pada masa ini.

Toleransi dan saling menghormati mestilah menjadi asas kerjasama di antara kaum dan agama. Toleransi adalah rukun utama dalam Islam. Malah inilah yang dipertahankan selama ini dalam realiti masyarakat kini, ketika masyarakat dunia sedang mengalami krisis sejagat yang dipenuhi keganasan dan pepera­ngan. Pembangunan ekonomi dan kebendaan secara sihat dan dinamik juga menjadi prinsip Islam dalam mewujudkan masyarakat makmur.

Para sarjana kita amat menyedari akan kehadiran ramai intelektual dan ahli akademik bukan Islam dari luar terutamanya Barat yang sering menjalankan kajian tentang aspek-aspek ini dalam Islam. Mereka menyedari bahawa Islam dapat menyumbang kepada masyarakat bukan Islam dalam nilai-nilai kerohanian dan fizikal, tanpa mencabar kepercayaan masing-masing. Banyak pusat pengajian tinggi di Barat, di Eropah dan Amerika yang menawarkan pengajian ilmu keislaman.

Hal ini sepatutnya memberikan kita semangat dan dorongan yang lebih lagi dalam mengkaji dan menyerlahkan nilai-nilai dan rukun hidup keislaman pada zaman global yang serba mencabar ini.

Hal ini juga sebenarnya ­menyedarkan tentang diri kita sendiri yang sering berhadapan dengan persoalan kritikal, apakah kita serius menerokai bidang-bidang ketamadunan kita, atau mengkaji sumbangan besar Islam terhadap kemajuan manusia sejagat dalam menghadapi krisis global, juga kegonca­ngan masyarakat beragama yang dicabar oleh kempen-kempen menafikan kewujudan Tuhan di zaman teknologi maklumat dan komunikasi moden hari ini.

Apakah hal ini menjadi agenda kerja kita, atau hanya menjadikan Islam sebagai satu ruang sempit untuk membicarakan isu fatwa dan hukum semata-mata, sedangkan Islam adalah satu sistem hidup yang lengkap. Apakah definisi wasatiyah yang hendak kita jadikan dasar masyarakat kita dan global?

PROFESOR DATUK DR. ISMAIL IBRAHIM ialah Penyandang Kursi Sultan Mizan Zainal Abidin, Universiti Sultan Zainal Abidin (Unisza).

Artikel Berkaitan
Video Terkini
Video Pilihan
Artikel Lain